Penafian terlibat dalam kenyataan media & penjelasan atas salah faham yang berlaku

Kenyataan Rasmi : Penafian terlibat dalam kenyataan media & penjelasan atas salah faham yang berlaku

Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) menafikan terlibat bersama dalam kenyataan media bersama 17 badan sebagaimana yang disiarkan oleh laman web Merdeka Review. Berlaku sedikit salah faham di pihak yang mewakili gerakan mahasiswa yang terlibat di dalam peristiwa demonstrasi tersebut dalam jemputan kepada PEMBINA untuk menyatakan sokongan kepada pendirian rasmi tersebut.

 
PEMBINA berpandangan : 
 
1. Siasatan yang rapi dan telus perlu dijalankan untuk membuktikan bahawa polis bertindak ganas di luar prosedur tugas mereka atau pihak mahasiswa yang berdemonstrasi telah memulakan provokasi terlebih dahulu. PEMBINA berpandangan jika benar pihak penguatkuasa telah bertindak di luar prosedur atau bertindak secara tidak wajar selepas dibuktikan oleh satu siasatan yang telus, pegawai yang bersalah perlu diambil tindakan tegas. Begitu juga jika benar mahasiswa yang terlibat di dalam demonstrasi telah bertindak secara tidak wajar seperti melakukan tindakan provokasi dan merosakkan harta benda awam, mereka juga harus diambil tindakan yang tegas agar peristiwa yang memberikan gambaran buruk kepada imej pasukan polis dan mahasiswa tidak akan berulang lagi.
PEMBINA menolak sebarang bentuk keganasan dari mana-mana pihak sama ada pihak polis yang bertugas mahupun aktivis mahasiswa. Sebarang salahguna kuasa ataupun salahlaku para peserta demonstrasi wajar disiasat secara telus dan diambil tindakan tegas.
 
2. PEMBINA juga berpandangan motif sebenar demonstrasi pada malam tersebut masih diragui sama ada benar-benar tulen membawa aspirasi mahasiswa atau telah dicemari agenda politik kepartian dan bukan perjuangan akademik. Perjuangan mahasiswa seharusnya berada di atas landasan akademik yang bebas tanpa dicemari mana-mana warna politik. PEMBINA sebagai sebuah pertubuhan yang mengambil pendirian non-partisan dan mewakili golongan mahasiswa memandang sensitif perkara ini.
 
3. PEMBINA mengajak semua mahasiswa dan warga dunia akademik agar bersama-sama mengekalkan kestabilan negara dan tidak mengamalkan sikap ‘anti-establishment’ yang tidak berkesudahan. Perjuangan mahasiswa harus difahami dalam konteks yang lebih luas, produktif dan bertamadun.
 
4. PEMBINA berharap semua pihak dapat menggembeling tenaga dan potensi yang ada bersama-sama dalam membangun jatidiri mahasiswa dan kualiti dunia akademik negara ke arah melahirkan generasi harapan yang bakal memimpin negara di masa hadapan.

Yang benar,

Salman Abdul Rahman
Setiausaha Agung
Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)


*Berikut laman yang menerbitkan kenyataan rasmi tersebut :

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top