Di sebalik tuntutan kebebasan mahasiswa

Pagi 1 Januari 2012 yang lalu, kita dikejutkan dengan berita demonstrasi mahasiswa di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI). Demostrasi yang dipelopori oleh Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS) ini dilaporkan berhadapan dengan tindakan keras pihak polis sehingga menyebabkan kecederaan.

Saya tidak bermaksud untuk membela mana-mana pihak dalam insiden ini kerana pada zaman IT ini, sukar untuk kita pastikan kesahihan sesuatu berita. Sudah menjadi lumrah yang tidak perlu dijelaskan lagi, bahawa suatu demonstrasi berkemungkinan akan berdepan dengan tindakan keras pihak berkuasa. Setiap aksi demonstrasi pasti terdedah kepada tindakan provokasi yang mungkin boleh mendatangkan insiden yang tidak diingini.

Sebahagian daripada masyarakat menyatakan bahawa demonstrasi jalanan sebegini adalah merupakan suatu manifestasi amalan demokrasi tulen, yang bakal membawa kebaikan kepada rakyat. Akan tetapi, demonstrasi jalanan yang kita saksikan mutakhir ini di beberapa buah negara telah menatijahkan ketidakstabilan yang berpanjangan sehingga menjejaskan kehidupan rakyat. Lihat sahaja apa yang telah dan sedang berlaku di Mesir, Syria, Yaman dan beberapa buah negara lain di Timur Tengah. Lihat juga kepada negara jiran kita, Thailand, yang masih belum pulih daripada kesan revolusi yang menjatuhkan kerajaan Thaksin Shinawatra pada 2006.

Dalam konteks perjuangan mahasiswa, saya melihat pihak kerajaan telah memberi maklum balas positif terhadap tuntutan mereka. Ruang kepada perbincangan dan dialog terbuka kepada mahasiswa terbabit untuk turut terlibat. Keterbukaan kerajaan, khususnya Dato’ Saifuddin Abdullah, dalam melayani permintaan mahasiswa merupakan suatu keadaan yang jarang berlaku sebelumnya di negara kita. Oleh itu, saya berpandangan adalah lebih produktif bagi mahasiswa mengutarakan pandangan mereka dalam suasana yang tenang dan mesra tanpa slogan-slogan mahupun provokasi-provokasi yang berlebihan.

Mungkin para penunjuk perasaan yang berhimpun tidak berpuas hati dengan pihak kerajaan yang hanya menjanjikan pindaan kepada AUKU. Kepada mereka saya ingin bertanya, tidakkah sama, pindaan kepada akta sedia ada dengan mengubah beberapa peruntukan yang bermasalah, berbanding tindakan memansuhkan terus akta tersebut dan menggantikannya dengan akta lain? Pada saya, hasil akhir kepada kedua-duanya adalah sama, kecualilah jika kita memang berhasrat untuk memberi kebebasan mutlak kepada mahasiswa tanpa perlu terikat kepada apa-apa peraturan khusus; dan jika itu arah perjuangan kita, maka adakah kita yakin bahawa kebebasan tersebut akan mengangkat martabat mahasiswa ke peringkat yang lebih tinggi?

Terus terang saya katakan, yang saya tidak manganggap AUKU sebagai penghalang kepada pembangunan potensi mahasiswa. Dalam lain perkataan, kita masih mampu untuk melahirkan mahasiswa yang berkualiti di bawah AUKU sekiranya mahasiswa sendiri bersedia untuk melakukan anjakan paradigma dalam menentukan halatuju kehidupan mereka. Tambahan pula, dengan komitmen kerajaan untuk membenarkan mahasiswa terlibat dengan politik kepartian apabila mencapai umur 21 tahun, akan terbuka satu lagi peluang kepada mahasiswa untuk memberi sumbangan kepada kemakmuran rakyat dan negara.

Dalam konteks ini, saya bersetuju dengan pandangan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak yang disiarkan dalam akhbar Berita Harian 1 Disember 2011 yang lalu. Beliau menyatakan bahawa apa yang menjadi masalah ialah apabila ideologi parti, agenda politik kepartian yang bersifat memihak atau ‘partisan politics’ menular dalam kampus. Ini dikhuatiri menimbulkan masalah jika ia tidak terkawal. Beliau turut menggalakkan mahasiswa untuk mengikuti perkembangan dan berbahas mengenai keadaan politik negara dan dunia bagi menajamkan daya analisis dan pemikiran kritis mahasiswa. Beliau menegaskan bahawa tiada siapa pun harus menyekat mahasiswa daripada terlibat dengan aktiviti-aktiviti sebegini.

Pandangan ini, pada saya ada kebenarannya. Saya melihat punca kelesuan aktivisme mahasiswa yang kita saksikan selama ini terletak pada kurangnya minat mereka kepada isu-isu yang berlegar dalam masyarakat. Antara penyebab kepada gejala ini adalah penekanan berlebihan kepada pencapaian akademik, jadual pembelajaran universiti yang terlalu padat, serta penularan budaya hedonisme melalui program-program bercorak hiburan dan keseronokan. Penglibatan mahasiswa dengan politik seharusnya bersifat colourless, tanpa terikat kepada ideologi dan pendirian parti-parti politik tertentu. Setiap tindakan dan polisi pihak kerajaan mahupun pembangkang perlu dibahaskan secara objektif dan ilmiah agar penyelesaian terbaik kepada permasalahan rakyat dapat dijana.

Akhir sekali, saya ingin bertanya kepada mahasiswa yang terlibat dengan peristiwa demonstrasi tersebut, adakah anda benar-benar faham dengan tuntutan kebebasan yang anda laungkan itu? Adakah anda yakin, sekiranya ia berjaya, akan menjadikan universiti sebagai tempat yang lebih kondusif untuk pembelajaran dan pembangunan potensi mahasiswa? Adakah dengan kebebasan yang anda perjuangkan itu akan lebih menguntungkan umat Islam dan menjaga maqasid syarak? Atau adakah anda hanya terikut-ikut dengan sentimen yang kabur dan bertindak berdasarkan emosi yang didorong perasaan benci terhadap kerajaan? Sikap naive anda ini akan mendedahkan perjuangan anda kepada eksploitasi oleh golongan-golongan liberal bagi merosakkan jatidiri mahasiswa Islam, sehingga akhirnya, hasil perjuangan anda akan dituai oleh musuh anda sendiri. Gunalah kemampuan intelektual yang Allah kurniakan kepada anda untuk menilai setiap peristiwa yang berlaku. Seterusnya binalah sikap yang betul terhadapnya, supaya setiap titis peluh dan darah yang tumpah akan punya nilai di sisi Allah.

Salam perjuangan…

Dr Ahmad Kamsani Samingan,
Pengerusi Biro Pembangunan Belia,
Ikatan Muslimin Malaysia

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top