AUKU dan hero mahasiswa

Rentetan isu dan peristiwa berkaitan mahasiswa khususnya di Malaysia banyak membuka mata dan mengetuk minda saya. Saya mengikuti sekadarnya, dan akhirnya, ada dua perkara penting yang saya kira perlu dijadikan noktah renungan buat diri saya, dan semua yang membaca.

1. Tanpa menafikan di dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 ada yang boleh kita pertikaikan, persoalan yang lebih asasi yang perlu kita ukur ialah, sudahkah mahasiswa khususnya di Malaysia menggunakan ruang yang sedia ada semaksimumnya?

Kebimbangan saya (dan nampaknya mutakhir ini banyak peristiwa menjadi bukti) ialah fokus dan prioriti mahasiswa tertumpu kepada perkara yang dikatakan menyekat dan menjadi pertikaian. Tenaga, masa, dan pemikiran dialirkan kepada isu-isu ini, sedangkan jika ditilik-tilik, di dalam komuniti mahasiswa sendiri terdapat banyak lagi isu lain yang lebih besar peratus kewujudannya, dan lebih patut dirisaukan lantaran kesannya yang besar kepada peribadi seorang mahasiswa, khususnya yang beragama Islam. Contoh yang saya kira paling jelas ialah budaya hedonisme di kalangan mahasiswa.

Di sini kita mampu mengukur satu realiti yang sedang terjadi – kebanyakan semangat mahasiswa tidak dilatari oleh kefahaman yang sepatutnya terhadap Islam dan tanggungjawab asasi seorang Muslim. Lebih spesifik, kebanyakan mahasiswa melihat aktivisme dan perjuangan menegakkan kebenaran dalam definisi yang teramat terhad, dan sangat bersifat jangka pendek.

Sebagai seorang pelajar di Universiti Al-Azhar, saya berkesempatan menyaksikan aktivisme para mahasiswa Ikhwan Al-Muslimin ketika rejim Mubarak masih berkuasa. Saya kira sekatan dan ancaman ke atas aktivisme mereka jauh lebih ganas dan menekan berbanding yang dihadapi mahasiswa di Malaysia.

Meskipun begitu, ruang yang sedia ada mereka gunakan sebaiknya. Mereka merupakan mahasiswa yang paling aktif menawarkan khidmat bantuan akademik kepada mahasiswa lain, dan mereka juga yang paling aktif menyuburkan kefahaman terhadap isu Palestin dan dunia Islam.

Yang membezakan mereka, dan yang menjadi faktor mereka terus aktif dan bergerak meski ditekan sekuatnya ialah kefahaman yang tepat dan luas terhadap Islam, dan tanggungjawab mereka sebagai seorang Muslim.

Barangkali mahasiswa di Malaysia juga harus memikirkan hakikat ini, dan kembali mencari ruang yang lebih layak diberi prioriti, dalam keadaan Islam di Malaysia semakin hari dikikis kedaulatannya.

2. Hero-hero mahasiswa yang muncul di dalam akhbar tempatan mutakhir ini membuktikan kepada masyarakat seluruhnya, bahawa mahasiswa dan pemuda sentiasa mempunyai potensi untuk melakukan perkara-perkara di luar jangkaan. Keberanian, kelantangan, kelasakan menghadapi risiko, adalah nilai-nilai emas pada insan bergelar mahasiswa.

Bayangkan nilai-nilai ini dimanfaatkan bukan sekadar pada ruangan aktivisme politik sahaja?

Pandangan saya, yang menjadi perhatian para pimpinan di Malaysia, baik kerajaan mahupun pembangkang, ialah bagaimana nilai-nilai ini dialirkan menjadi satu kekuatan kepada agenda politik mereka. Ini tidak salah pada pandangan saya.

Yang salah ialah, dalam hal berkaitan aktivisme mahasiswa di Malaysia yang berhubung rapat dengan politik dan pengurusan kuasa pemerintahan, para mahasiswa diberi panduan dan sokongan yang cukup baik. Manakala dalam hal-hal lain, seperti perkembangan kajian akademik, pembinaan jatidiri dan peribadi yang komprehensif, pengembangan kemahiran kerja, dan lain-lain lagi, perhatian yang diberikan tidak pula sebegitu rupa.

Harus diingat, jika semangat orang muda tidak dipandu oleh kebijaksanaan orang lama, pelbagai musibah boleh berlaku. Jika tidak sekarang, ia akan berlaku pada masa akan datang.

* * * *

Dalam urusan membina dan mengembangkan keperibadian seorang mahasiswa, ketelitian yang diperlukan ialah seumpama ketelitian mengurus aset dan saham dalam urusan kewangan, kerana mahasiswa sesungguhnya, ialah aset dan saham bukan sahaja untuk negara, malah untuk dunia dan umat Islam seluruhnya.

 

Syed Ahmad Israa’ B Syed Ibrahim

BA Syariah Al-Azhar Kaherah, Mesir

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top