Setiausaha Agung: Pembinaan kepimpinan ahli harus bermula dari JKP dan Ketua-ketua Cawangan

RABU, Bangi – Pasca program Himpunan Mahasiswa 2013 (HIMMAH 2.0) di Univeristi Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini menyaksikan kehangatan semangat dan gelombang ahli-ahli PEMBINA menyahut seruan PEMBINA Pusat agar mengisi kelompongan krisis kepimpinan generasi muda hari ini.
“Semangat ini harus terus disemarakkan sehingga ke peringkat akar umbi. Jawatankuasa Pusat (JKP), Ketua-ketua Cawangan dan seluruh ahli jawatankuasa di peringkat cawangan harus menjadi contoh pertama yang berani ke hadapan memimpin arus ini”, ujar Ust Salman Abdul Rahman, Setiausaha Agung PEMBINA.
Tambahnya lagi, krisis kepimpinan muda di dalam negara adalah realiti, dan harus difahami betul-betul oleh pimpinan PEMBINA di semua peringkat. Untuk satu tempoh yang agak lama, majoriti golongan muda berusia 20-40 tahun ini katanya, hanya menjadi pelaksana kepada keputusan-keputusan dan tidak dilibatkan di dalam proses merangka polisi penting, bahkan dalam menentukan halatuju di dalam organisasi yang mereka terlibat.
“Kepimpinan negara yang kita mahukan di masa akan datang harus bermula daripada barisan JKP dan JKC PEMBINA sendiri. Mengurus organisasi hanyalah sebahagian dari aspek kepimpinan, bahkan yang lebih penting daripada itu adalah membina ketokohan diri di dalam masyarakat. Manfaatkan segala peluang yang ada dengan keluar daripada zon selesa dan mencabar keupayaan diri. Kita tidak punya banyak masa dan tanggungjawab terhadap kepentingan ummah yang sangat banyak,” tegas beliau lagi.
Pada 19 Oktober baru-baru ini, PEMBINA berjaya menganjurkan Himpunan Mahasiswa 2013 (HIMMAH 2.0) di Dewan Pusat Kesenian & Kebudayaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM yang menghimpunkan kira-kira 1,000 orang belia dan mahasiswa dari seluruh negara dengan tema ‘Kepimpinan & Aktivisme’.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top