PEMBINA Terengganu anjur SPKK Terengganu 2010

Kemaman, 23 Julai – PEMBINA Terengganu dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan dan swasta telah berjaya mengadakan Seminar Pengurusan Kewangan dan Keusahawanan (SPKK) Terengganu 2010. Bertempat di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman, seminar ini berjaya menarik kehadiran hampir 600 peserta yang rata-ratanya merupakan pelajar IPT dari seluruh negeri Terengganu. SPKK telah dirasmikan oleh En. Ruhisyam Ibrahim, Pegawai Belia di Jabatan Belia dan Sukan daerah Kemaman.

 


Pengerusi PEMBINA Terengganu dan Pengarah SPKK bersama VIP

Bertemakan ‘Memperkasa Belia Membangun Ekonomi Ummah’, SPKK Terengganu 2010 menampilkan 3 tokoh kewangan daripada institusi-institusi terkemuka negara. Tn. Hj. Nasharuddin, Pengarah Urusan Usahawan Bistari Ayamas Sdn Bhd telah berjaya memukau para peserta seminar dengan perkongsian pengalaman dan pembentangan kertas kerja beliau bertajuk “Penguasaan Bisnes Strategik dan Kepentingan Bisnes Sebagai Kerjaya Pilihan”. Antara lain, beliau menekankan kepentingan masyarakat Melayu mengambil peluang dan menguasai pasaran halal Malaysia serta dunia.

Tn Hj Nasharudin
Tn. Hj. Nasharuddin, Pengarah Urusan Usahawan Bistari Ayamas Sdn Bhd, memukau para peserta

Pembentangan kertas kerja kedua bertajuk “Bijak Ringgit Dari Perspekstif Islam” telah disampaikan oleh Ustaz Annuar Saleh, Pengurus Agensi Takaful Etiqa yang juga merupakan YDP ISMA Daerah Hulu Langat. Beliau turut mengingatkan para peserta untuk merancang kehidupan terutamanya perihal kewangan sedari awal zaman belia. Perkara ini selaras dengan ajaran Islam yang meletakkan matlamat kejayaan ummah di dunia dan akhirat.

Pembentangan terakhir telah disampaikan oleh En. Muhammad Hilal dari Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit. Para peserta bagai tidak kering gusi mendengarkan nasihat serta tips berguna yang disampaikan beliau dengan gaya yang begitu santai dengan kertas kerja bertajuk “Celik Wang”. Majlis tamat pada jam 5 petang.

Rata-rata peserta sangat berpuas hati dengan program yang dianjurkan ini. Ramai di kalangan mereka yang mula menanam azam untuk memastikan kestabilan ekonomi negara, paling tidak memulakannya dengan diri sendiri. SPKK yang dianjurkan buat julung-julung kalinya di Terengganu dilihat telah mencapai objektifnya untuk menanam kesedaran di kalangan golongan belia elit di Terengganu perihal pengurusan kewangan serta kepentingan orang Melayu bangkit memajukan sektor ekonomi negara.

Peserta SPKK Terengganu 2010
Diharapkan PEMBINA Terengganu semakin maju ke hadapan dalam menerajui gelombang pembangunan potensi belia di Terengganu ke arah melahirkan pemimpin masa hadapan yang berkaliber. Komitmen yang tidak pernah luntur di kalangan ahlinya akan memastikan usaha ini terus berkembang melalui penganjuran pelbagai jenis program yang mensasarkan penglibatan belia khususnya dari Institusi Pengajian Tinggi di masa akan datang.
SPKK di Sinar Harian
SPKK Terengganu di Sinar Harian

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top