Alifah Ting: Lambang Keberanian Seorang Muslimah

Alifah Ting, seorang muallaf baru, dimana namanya menjadi sebutan di kebanyakan media massa baru-baru ini. Sejak isu beliau dibangkitkan baru-baru ini, inilah pertama kali kami bejumpa. Sudah lama saya mengimpikan untuk bertemu dengan beliau dan sungguh, perancangan Allah itulah yang terbaik. Satu majlis perbincangan mengenai agenda dan masa depan muslimah di Malaysia telah membibitkan satu pertemuan indah dengan muslimah yang saya kagumi ini. Jika masih ada yang belum mengenali beliau, saudari Alifah merupakan seorang mahasiswi institusi pengajian tinggi swasta yang baru mengucapkan dua kalimah syahadah. Apa yang menjadi tragedi, baru-baru ini beliau telah dilemparkan dengan ribuan tohmahan dan cacian hanya kerana mempertahankan sebuah keyakinan yang dipegangnya, iaitu Islam. Untuk makluman semua, beliau juga merupakan ahli PEMBINA dan telah mengikuti program-program PEMBINA sebelum memeluk Islam lagi.

Buah dari Pemerhatian Akhlaq

Peluang bersama saudari Alifah tidak saya sia-siakan. Seribu satu persoalan muncul di minda mengenai titik tolak pengislaman beliau. Bagi saya, ia merupakan satu perkara yang luar biasa kerana bukan semua orang terpilih untuk menikmati hidayah Allah. Perasaan saya kuat untuk mengetahui apakah motivasi yang mendorong beliau untuk menyahut lambaian hidayah ini. Lantas, satu-persatu persoalan dirungkai dengan penuh teratur dan teliti oleh Alifah. Ternyata, akhlaq Islamiyah yang indah yang ditonjolkan oleh muslimah-muslimah hebat yang setia menjadi pendamping beliau adalah faktor utama hati beliau terpaut dengan Islam. Jelas di raut wajahnya rasa damai tatkala menceritakan kebaikan rakan Islamnya yang sanggup menahan kelaparan namun dalam masa yang sama tidak lokek ketika membelanja rakan-rakan. Ukhuwah yang erat yang dipamerkan atas dasar keimanan serta pengamalan Islam yang baik oleh rakan-rakan Islam juga menjadi faktor utama beliau terpanggil untuk memeluk Islam. Meskipun pada pengamatan beliau, ramai di kalangan umat Islam hari ini yang celaru dan jauh dari pengamalan Islam yamg sebenar, faktor ini tidak cukup membuatkan beliau gagal dalam membezakan antara yang tulen dan yang palsu.

Mengikuti Perkembangan Isu Umat Islam

Langsung saya tidak menyangka, beliawanis yang baru memeluk Islam tidak lebih setahun ini adalah bukan calang-calang orang. Suka untuk saya memberitahu, penglibatan Alifah dalam PEMBINA adalah bermula sebelum beliau memeluk agama Islam lagi. Beliau telah membuktikan, syahadah yang meniti dibibir itu bukan percuma harganya. Dengan keyakinan yang tinggi pada kesaksian tauhid ini, beliau turut berjuang bersama rakan-rakannya membawa agenda untuk menyedarkan umat Islam berkenaan ancaman liberalisme dan feminisme dalam Unit Kajian PEMBINA. Karisma beliau semakin terserlah dengan minat membaca dan mengkaji yang semulajadi dalam diri. Beliau seorang yang rajin dan tidak pernah jemu untuk bertanya akan perkara yang tidak difahami. Bahkan antara buku yang dibaca beliau mungkin jarang disentuh umat Islam biasa pada hari ini. Antara bahan bacaan beliau adalah, buku-buku fiqh, hukum Islam, manhaj dakwah dan tidak ketinggalan buku-buku latihan asas jawi yang dirasakan penting untuk perkembangan potensi dalam diri beliau. Saya sempat menemani beliau di sebuah kedai buku. Kecenderungan dan minat yang mendalam beliau dalam kajian kadangkala dibimbangi oleh pensyarah pengajian Islam beliau di kolej, sehinggakan dinasihati oleh untuk fokus dahulu dalam mempelajari asas agama Islam. Namun, Alifah sedar apa yang dilakukannya itu bukanlah perbuatan yang terburu-buru. Dengan tenang beliau memberikan jawapan yang saya rasakan melambangkan sebuah kematangan fikiran seorang pemudi Islam. Jawab beliau, ‘masa saya banyak dan saya boleh pelajari banyak perkara secara serentak dan tersusun. Bahkan dengan menambah ilmu melalui kajian akan lebih meningkatkan kefahaman saya terhadap Islam’.

Saya terpegun. Kerana keghairahan dan kegigihan beliau dalam menguasai ilmu-ilmu Islam serta isu-isu semasa hari ini, beliau telah dilantik menjadi ahli Unit Kajian PEMBINA. Apa yang mengkagumkan saya, meskipun masih baru memeluk agama Islam dan baru mengenali isu-isu perbincangan mengenai Islam, beliau ternyata boleh mengikuti isu semasa dengan baik dan boleh memberikan pendapat dan hujah tersendiri.

Keberanian Atas Sebab Keyakinan

Sempat saya tanyakan tentang kenyataan beliau baru-baru ini yang menyatakan pentingnya tonggak kepimpinan dipegang oleh pemimpin Melayu-Islam. Kali ini, nampaknya keyakinan beliau atas kenyataan sebelum ini lebih terserlah. Bahkan beliau menambah, bahawa sesungguhnya beliau yakin dan percaya tentang masa depan umat Islam bergantung kepada kekuatan tonggak Melayu. Beliau menegaskan, sedikitpun tidak tersinggung bila berbicara mengenai isu bangsa, dan menganggap ianya bukan isu berbentuk perkauman. Ini adalah hasil buah fikiran yang jernih dan jauh ke hadapan. Menurut beliau “Apabila ada individu yang mengaku berbangsa Melayu tanpa perlu ditanya, sudah pastilah Islam agama yang dianuti mereka”. Beliau tidak langsung tergugah dengan bentuk-bentuk kejian yang dilemparkan dalam isu baru-baru ini, bahkan lebih yakin dengan jalan dan pendirian yang dipilihnya

Srikandi Teladan

Saudari Alifah Ting merupakan salah satu contoh individu Muslimah yang mempunyai keteguhan dan keberanian. Biarpun masih ‘bayi’ dalam Islam namun telah membuktikan usia bukan alasan untuk rasa rendah diri dan tidak menyumbang kepada dakwah Islamiyah.

Para muslimah, sekiranya anda menelurusi kembali sirah dan perjalanan sahabiah Rasulullah SAW, begitu ramai model muslimah yang luar biasa dari bidang dan aspek yang berbeza. Namun ada satu persamaan antara mereka. Kehebatan mereka lahir dari sebuah keyakinan, iaitu keimanan kepada Allah dan Rasul dan keteguhan dalam memegang prinsip Al-Quran dan as-Sunnah.

Keislaman syahidah pertama Sumayyah yang hanya singkat tidak dijadikan alasan mengambil keuzuran untuk menurut perintah tuannya yang musyrik. Ini kerana, Sumayyah sedar akan ketinggian Islam dan tidak sanggup melihat agamanya dicalar dan dirobek kemuliaannya. Contoh yang lain pula,iaitu Khaulah al-azwar yang menyamar di medan perang bagi mempertahankan Rasulullah. Apabila Khaulah sedar daripada pengsan kerana bertempur, perkara pertama yang ditanya kepada para sahabat adalah keadaan Rasulullah s.a.w. Tidak kurang juga tokoh wanita Islam kontemporari yang terkenal dengan gelaran Ibunda Zainab Al-Ghazali. Siapa yang tidak kenal dengan wanita kental itu dalam episod beliau menghadapi siksaan tentera Jamal Abdul Nasir. Sejarah wanita hebat itu dinukilkan dalam buku ‘Hari-hari Dalam Hidupku’. Sesungguhnys, buku inilah juga yang menjadi inspirasi dan pembakar semangat saudari Alifah.

Wahai muslimah, ambillah ruh dan semangat yang mengalir dari sosok-sosok wanita tersebut. Wanita Islam sememangnya mempunyai kekuatan tersendiri yang luar biasa apabila menancapkan keimanan yang teguh kepada ketauhidan Allah di dalam hati dan sanubari.

 

Tulisan oleh;

Roszida bt Kamaruddin,
Ketua Beliawanis PEMBINA Pusat
Timbalan Presiden II PEMBINA Pusat

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top