Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) menyambut baik dan menyokong tindakan Kerajaan Negeri Kedah tidak membenarkan operasi pusat-pusat hiburan sepanjang bulan Ramadhan tahun ini. PEMBINA melihat tindakan ini selari dengan kehadiran bulan Ramadhan yang mulia bagi umat Islam.
Kehadiran Ramadhan yang mulia ini sepatutnya dihayati dan digunakan sepenuhnya oleh seluruh umat Islam untuk memaksimakan ibadah kepada Allah s.w.t.
Sesiapa yang mendirikan (solat & ibadah) di malam Lailatul Qadar dengan penuh iman dan mengharap ganjaran Allah, diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu. Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh iman dan mengharap ganjaran Allah, diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.
(Al-Bukhari).
Banyak ibadah-ibadah sunat yang dianjurkan oleh Islam untuk diamalkan pada bulan Ramadhan seperti solat terawih pada malam hari, solat tahajjud, berzikir, membaca Al-Quran dan bersedekah. Oleh yang demikian, umat Islam disaran untuk memaksimakan setiap masa yang ada untuk mendapat ganjaran pahala yang berlipat kali ganda ini.
PEMBINA berharap usaha proaktif Kerajaan Kedah ini dapat dicontohi oleh negeri-negeri lain dalam usaha memuliakan bulan Ramadhan sebagai bulan ibadah. Disamping itu, pihak lain terutama bukan Islam diharap dapat berlapang dada danmenghormati hak orang Islam dalam memelihara kesucian bulan yg mulia ini.
Kenyataan rasmi disediakan oleh:
Tengku Asyraf Izam
JKP PEMBINA (Informasi)