Perkhemahan Belia Utara 2011


Sik, 17 Julai – Perkhemahan Belia Utara 2011 yang julung-julung kali menggabungkan golongan belia  dari Pulau Pinang, Kedah dan Perlis telah berjaya diadakan di Bendang Man Keda Resort.   Perkhemahan yang dihadiri oleh seramai 40 orang belia itu bermatlamat untuk membangunkan jati diri para belia di samping  dapat merapatkan ukhuwwah antara para peserta yang hadir.

Program padat selama 3 hari 2 malam yang bermula dari 15 Julai 2011 dan berakhir pada 17 Julai 2011 itu    benar-benar menguji kekuatan mental dan fizikal para peserta. Pada hari pertama para peserta dipecahkan kepada beberapa kumpulan kecil dan dikehendaki berbincang berkaitan nama dan tema kumpulan masing-masing. Selain itu, setiap kumpulan juga diberikan tajuk tugasan yang perlu dibentangkan dalam sesi perdebatan.  Sistem pemarkahan berkumpulan dilaksanakan dalam setiap aktiviti yang dilakukan.

Cabaran pada hari kedua bermula dengan aktiviti ‘jungle tracking’ selepas kuliyah subuh yang disampaikan oleh pengerusi Pembina Kedah.   Para peserta dikehendaki melepasi beberapa ‘check point’ sepanjang merentasi hutan dan dusun buah-buahan milik Keda Resort. Kumpulan yang berjaya mendapat markah tertinggi di setiap ‘check point’ diganjari dengan hadiah berupa makanan tambahan untuk santapan tengahari.   Di penghujung aktiviti ini, para peserta diberi masa untuk berehat sambil menyediakan juadah makan tengahari dalam kumpulan masing-masing sebelum solat zuhur berjamaah di tepi sungai Bendang Man.

Pada sebelah petang pula, para peserta diuji dengan aktiviti membaca kompas.  Setiap kumpulan ditugaskan mencari barang tersembunyi berpandukan arah bacaan kompas. Selepas solat asar berjamaah, aktiviti ‘iron man’ yang menguji kecekapan dan ketahanan para peserta dilakukan di bukit berhadapan dengan Keda Resort.  Makan malam disediakan oleh para peserta sendiri dalam kumpulan sebelum solat Maghrib berjamaah dan tazkirah yang disampaikan oleh pengerusi Pembina Pulau Pinang.

Para peserta diberi peluang menonjolkan bakat kesenian masing-masing dalam aktiviti Malam Kesenian Islam (MAKSIS) sebelum dibenarkan tidur pada jam 11.45 malam.  Pada jam 2.30 pagi, para peserta dikejutkan dengan aktiviti ‘War Game’ yang melibatkan peperangan tiga penjuru. Aktiviti ini diakhiri dengan solat sunat tahajud di ‘medan perang’.
Para peserta yang telah pun keletihan meneruskan aktiviti pada hari terakhir dengan perdebatan ala parlimen antara kumpulan setelah diberi sedikit masa untuk berehat dan mendengar pembentangan oleh pengerusi Pembina Perlis.

Acara penutup dirasmikan oleh Timbalan Presiden Pembina Pusat, Ustaz Ibrahim bin Mohd Hasan.  Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa belia yang cergas dan kuat amat diharapkan untuk bersama-sama masyarakat membina jati diri.  Beliau juga menyarankan agar para belia berusaha untuk memastikan  lima perkara ini dapat dilakukan oleh para belia iaitu memastikan tubuh badan yang sentiasa sihat, memperluaskan pengetahuan, menjaga masa, membuat penyusunan dalam setiap urusan dan sentiasa memberi manfaat kepada orang lain.

Majlis penutup diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada setiap kumpulan dan sesi bersalaman serta bergambar.
Rata-rata para peserta yang ditemui melahirkan rasa kesyukuran dan kepuasan kerana dapat menghadiri program ini.  Salah seorang peserta yang ditemui berkata: “Program ini amat mencabar ketahanan fizikal saya”.  Peserta lain yang mahu dikenali sebagai Zaki yang pertama kali menyertai program seumpama ini menyatakan bahawa beliau amat gembira kerana dapat berkenalan dengan rakan-rakan belia dari pelbagai tempat.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top