PEMBINA sedia menjadi menyambung obor aspirasi perjuangan negarawan yang telah memperjuangkan tanah air demi membangunkan agama, bangsa dan negara.
Sempena dengan penganjuran Malam Inspirasi Perjuangan, PEJUANG 2015, Ibrahim menyatakan bahawa belia hari ini sudah lama meninggalkan sejarah dibelakang sehingga lupa betapa peritnya pejuangan dahulu untuk memartabatkan bangsa dan negara daripada penjajahan, kemiskinan dan kejahilan.
Jika dahulu penjajahan adalah dalam bentuk fizikal, hari ini, era globalisasi telah mewujudkan penjajahan bentuk baru iaitu penjajahan pemikiran dan budaya.
Hari ini, segelintir belia kita terlalu selesa yang sedia ada sehingga tenggelam dalam kemewahan dunia. Masalah sosial, hiburan yang melampau serta sifat pentingkan diri sendiri boleh menjadikan bangsa kita lemah. Begitu juga dengan kelompok yang mengagungkan falsafah barat dan pemikiran liberal yang cuba mengongkong minda kita daripada bebas menentukan haluan sendiri berdasarkan neraca Islam.
Oleh itu, PEMBINA ingin mengajak belia supaya bersama-sama kita membangunkan negara ini berasaskan jati diri dan nilai Islam yang syumul serta menyumbang dan berkorban untuk pembangunan negara sebagaimana yang ditunjukkan oleh generasi terdahulu.
Ustaz Ibrahim Mohd Hasan Al-Hafiz,
Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)