Peperangan Badar yang tercetus pada tahun ke-2 Hijrah adalah sangat sinonim dengan bulan Ramadhan Al-Mubarak lantaran masa berlakunya jatuh pada tanggal keramat, 17 Ramadhan. Peristiwa agung ini tersohor sebagai antara peperangan paling getir yang merupakan penentu landskap ketamadunan Islam ketika itu. Masakan tidak, Badar merupakan peperangan pertama dalam Islam dan menjadi simbol kebangkitan kuasa Islam terhadap kaum Musyrikin Mekah. Walaupun berlangsung dalam masa yang singkat namun impaknya begitu signifikan kerana semua pembesar kafir Quraisy terbunuh dalam peperangan ini kecuali Abu Sufian dan Abu Lahab lantaran mereka tidak ikut serta dalam pertempuran ini.
Terlalu banyak mutiara-mutiara iktibar serta pengajaran yang dicerna peristiwa agung ini. Antara yang paling menonjol ialah keazaman serta keberanian para pemuda yang merupakan tunggak kepada kejayaan yang dikurniakan oleh Allah kepada seluruh umat Islam ketika itu. Keberanian dan ketangkasan pemuda Islam terbukti bahkan sebelum peperangan sebenar meletus iaitu ketika pertempuran satu lawan satu antara kedua-dua pasukan. Selain Hamzah Bin Abdul Mutalib, dua orang lagi panglima yang dipilih Nabi bagi menyahut cabaran tersebut adalah terdiri daripada golongan belia. Mereka adalah Ali Bin Abi Talib dan Abu Ubaidah Bin Jarrah. Kedua-dua mereka berjaya membunuh lawan masing-masing sebelum perang sebenar berkecamuk.
Masihkah kita ingat kisah Umair Bin Abi Waqqas yang juga merupakan adik kepada sahabat Nabi, Sa’ad Bin Abi Waqqas. Beliau yang masih remaja dan bertubuh kecil ketika itu cuba berselindung dan menyorok-nyorok di sebalik tentera-tentera Islam lantaran gusar Rasulullah s.a.w tidak akan membenarkannya untuk turut serta lantaran usianya yang terlalu muda. Apabila Rasulullah s.a.w menemuinya, Baginda melarang Umair ikut serta dalam peperangan Badar menyebabkannya menangis semahu-mahunya dan merayu untuk dibenarkan berperang bersama tentera-tentera Islam yang lain. Akhirnya Rasulullah s.a.w membenarkan Umair untuk ikut serta dan beliau membuktikan keazaman dan keberaniannya sehingga gugur syahid dalam medan Badar!
Badar juga merakamkan keberanian luar biasa dua orang pemuda yang baru berusia belasan tahun, Muaz Bin Amru dan Muawiz Bin Afra’ yang mencari kepala Musyrikin, Abu Jahal untuk membunuhnya. Setelah ditunjukkan oleh Abdul Rahman Bin Auf, kedua orang pemuda ini terus menerkam penuh berani ke arah benteng tentera yang melindungi Abu Jahal sehingga berjaya membunuhnya. Dalam pergelutan itu, Muaz Bin Amru terkena tetakan pedang Ikrimah Bin Abu Jahal hingga terkulai sebelah tangannya yang masih tersangkut dengan kulit. Malah setelah merasa beban berperang dalam keadaan mengheret tangannya yang terkulai layu, Muaz akhirnya memijak tangannya sehingga terputus dari tubuh badannya. Manakala Muawiz pula dikurniakan Allah dengan syahid dalam pertempuran Badar setelah berjuang bermati-matian dengan keberanian dan ketangkasan yang amat luar biasa.
Kisah-kisah di atas kini menjadi kisah ‘alam kayangan’, mistik serta idealistik. Sekadar dikhabarkan kepada generasi baru dalam tazkirah di mimbar-mimbar masjid, diajarkan di dalam kelas-kelas serta dijadikan cerita sebelum tidur (bed-time story), namun realiti yang mencengkam generasi muda belia kita hari ini adalah sebaliknya.
Kefahaman agama yang rapuh, pengamalan Islam yang semakin meruntuh, gejala sosial yang sudah membarah serta jatidiri yang seakan ditarah sudah cukup menceritakan kemelesetan kualiti yang melanda generasi pemuda pada hari ini. Keberanian serta keazaman sudah terkubur dan terpadam terus dalam diari hidup mereka. Jikalau masih tersisa sekalipun, disalurkan ke medan yang silap. Maka, dunia menyaksikan belia-belia hari ini yang berani berlumba haram di jalanraya demi pertandingan yang tidak membawa makna, berani mencuba sesuatu yang merosakkan seperti dadah, berani melanggar batas agama dan tatasusila bangsa dengan pergaulan bebas, seks luar nikah, pengguguran kehamilan serta pembuangan bayi yang tidak berkesudahan.
Jika dilihat dalam konteks yang lebih menyeluruh khususnya di negara kita, belia Islam yang berbangsa Melayu sentiasa ketinggalan dalam segenap aspek termasuklah pencapaian akademik di institut-institut pengajian awam mahupun swasta, bidang ekonomi dan keusahawanan, bidang inovasi dan pembangunan teknologi serta pelbagai bidang kemahiran lain.
Marilah sama-sama kira renung dengan penuh ikhlas dan waras, apakah rahsia mereka? Di manakah silapnya kita? Apakah bentuk didikan yang diberikan kepada para pemuda di zaman Rasulullah s.a.w hingga manifestasi keberanian mereka terpahat dalam sejarah tamadun dunia dalam bentuk yang amat luar biasa?
Pastinya jawapan akan kita temui dalam rahsia pensyariatan puasa itu sendiri, iaitu taqwa.
Tapi bukankah perkataan yang sama telah dibisikkan ke telinga sejak kita dilahirkan ke muka bumi ini? Kalimah taqwa jugalah yang diajarkan tanpa jemu oleh ibu bapa di rumah, para ustaz ustazah di bangku sekolah serta pak-pak imam di khutbah-khutbah setiap hari Jumaat. Namun, aplikasinya amat sukar ditemui di alam nyata.
Ternyata kata-kata, ceramah dan kuliah semata tidak mampu membina taqwa. Formula untuk menjana taqwa ialah menterjemahkan kefahaman dan keimanan kepada perbuatan. Hasilnya ialah generasi yang bergerak, bangkit melakukan anjakan serta pembaharuan. Ianya hanya dapat dilakukan dengan adanya pembimbing yang berkemahiran, sistem pengajaran yang lengkap dan suasana yang menggalakkan. Pendek kata perlu wujud satu sistem pendidikan Islam yang bersifat Rabbani, holistik serta dinamis. Inilah yang disebut sebagai tarbiah.
Inilah formula yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w dalam membina generasi sahabat yang merupakan kelompok Muslim terbaik yang pernah hidup di atas muka bumi ini. Inilah rahsia yang melahirkan individu-individu seperti Ali, Abu Ubaidah, Umair,Muaz, Muawiz dan seluruh para sahabat yang berjuang memenangkan agama Allah sehingga disegani di persada dunia suatu ketika dahulu.
Hanya keberanian yang didasari taqwa mampu mengubah nasib generasi muda kita hari ini. Tiada jalan pintas melainkan proses pembinaan manusia berlandaskan Al-Quran dan Sunnah, kemudian menggerakkan mereka untuk bekerja dan mengubah kepincangan umat. Jalan yang perlu dilalui pastinya panjang dan penuh liku, tetapi destinasinya pasti!
Engr. Muhammad Lukman Al Hakim Bin Haji Muhammad