BANGI, 11 Februari – Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) mestilah terus mengekalkan identitinya yang unik dan neutral dalam menyatakan respon terhadap isu mahasiswa. Keadaan sebegini menjadikan PEMBINA terus rasional dalam memacu agenda memperkasa jatidiri mahasiswa.
“Sebagai sebuah persatuan belia Islam kita perlu melihat sesuatu perkara itu pada sudut pandang yang objektif dan neutral. Kajian yang terperinci serta merujuk kepada orang yang berpengalaman dan berilmu dalam perkara itu menjadikan pendirian kita lebih konsisten dan terpandu,” jelas mantan Presiden PEMBINA.
Mahasiswa mestilah cakna akan isu yang sebenar dan perlu mempunyai penglibatan secara terus dalam kepimpinan dan masyarakat kampus supaya mendapat maklumat yang lebih tepat dan telus.
“Penonjolan imej PEMBINA sebegini telah menarik perhatian Majlis Belia Malaysia serta pengurusan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan. Ini terbukti dengan kejayaan pendaftaran PEMBINA di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Royal College of Medicine Perak serta beberapa IPT awam dan tempatan yang lain”
Mesyuarat Agung Tahunan Kebangsaan PEMBINA kali-5 ini berlangsung di Dewan Budiman, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Norzafry Norhalim merupakan mantan Presiden PEMBINA bagi sesi 2011.