Sindiket penjualan bayi yang semakin berleluasa ini benar-benar membimbangkan semua pihak.
Tambahan pula, hasil penjualan bayi yang boleh mencapai sehingga RM20,000 bahkan lebih, berdasarkan kesempurnaan dan kecerahan warna kulit bayi tersebut. Hal ini memperlihatkan permintaan terhadap bayi juga amat tinggi, terutamanya bagi pasangan yang tidak mempunyai zuriat.
Hasil penjualan bayi yang tinggi ini, secara tidak langsung memberikan ruang dan alternatif yang mudah kepada pihak yang tidak mahukan bayi mereka lantas menjual bayi tersebut kepada pihak-pihak yang terlibat dengan sindiket ini. Sekalipun penjualan bayi juga terjadi kerana masalah kewangan keluarga dan desakan hidup, penjualan bayi kepada kumpulan sindiket namun ianya bukanlah jalan penyelesaian pantas buat mereka.
Bagi saya, masalah-masalah seperti pergaulan bebas dan pertambahan bilangan anak luar nikah akan menjadi lebih tidak terkawal sekiranya masalah ini tidak dibendung dengan segera dan pelbagai implikasi buruk turut boleh menjejaskan kesucian institusi kekeluargaan serta ketidakseimbangan institusi sosial masyarakat boleh berlaku.
Dari satu sisi, Islam melarang perbuatan zina dan dibimbangi sindiket penjualan bayi ini menjadi tiket dan titik permulaan perbuatan zina ini dan mungkin juga kesan jangka panjang akan terjadinya perkahwinan sesama ahli keluarganya sendiri. Umum menyedari bahawa anak luar nikah dinasabkan kepada ibunya dan agama Islam amat memelihara kemurnian dan kesucian keturunan penganutnya.
Dari satu sisi lain, perbuatan pemerdagangan orang adalah bercanggah dengan tabie manusia dan boleh dikira mencabul kehormatan manusia kerana tidak wajar manusia dinilai sebagai barang komoditi seperti bayi yang sempurna, kulit cantik akan di bayar mahal sedangkan bayi yang cacat mungkin tiada nilai di sisi sindiket itu. Seksyen 2, Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 pula mendefinisikan perdagangan orang sebagai perekrutan, pengangkutan, pemindahan, pelindungan, penyediaan atau penerimaan seseorang bagi maksud eksploitasi. Pengertian eksploitasi dalam Seksyen 2 mendefinisikan ia sebagai segala bentuk eksploitasi sama ada seks, kerja atau perkhidmatan paksa, perhambaan atau amalan yang menyerupai perhambaan, pengabdian atau aktiviti yang menyalahi undang-undang atau pemindahan organ manusia. Penguatkuasaan akta ini harus terus diperketatkan dan mendapat perhatian semua orang bagi membanteras masalah ini.
Solusi yang dicadangkan untuk diaplikasikan oleh pasangan yang tidak mempunyai zuriat, adalah seharusnya mengambil inisiatif dengan mengambil anak angkat daripada kalangan anak-anak yatim atau anak-anak daripada keluarga yang kurang berkemampuan bagi meringankan beban anak-anak dan keluarga tersebut sekaligus menjaga kejelasan dan kesucian nasab sesebuah keluarga. Pengambilan anak angkat tersebut, seharusnya dengan rasa tanggungjawab perkongsian dan persetujuan bersama antara ibubapa kandung yang memberi dan ibubapa angkat yang menerima, masing-masing menghargai bayi tiada nilai ukuran fizikal semuanya adalah anugerah dari Allah.
Saya sangat mengharapkan pihak yang bertanggungjawab segera mengambil tindakan tegas agar sindiket ini dapat diselesaikan secepat mungkin. Demikian itu, sebagai individu muslim dan masyarakat Islam yang prihatin, semua pihak harus berganding bahu dan membuka mata dalam melihat implikasi jangka panjang sekiranya masalah penjualan bayi ini tidak ditangani segera.
Norhamimah Ibrahim
Naib Presiden 2
Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)