Serdang, 19 Feb – “Dalam situasi hari ini, COMANGO merupakan satu ancaman kepada kita semua sebagai umat Islam kerana tuntutan COMANGO sama sekali tidak menghormati kedudukan Islam sebagai agama persekutuan negara kita ”
Mantan Presiden PEMBINA UPM dan juga Timbalan Naib Yang Dipertua Biro Kebajikan, MPP UPM, Luqman B. Abd Hamid berkata demikian dalam satu diskusi ilmiah bertajuk “COMANGO Pengkhianat Negara” di Surau Serumpun, UPM selepas selesai solat maghrib berjemaah.
Saudara Luqman turut berkongsi kepada mahasisiwa mengenai beberapa tuntutan dalam laporan COMANGO. Antaranya ialah menuntut supaya Malaysia menandatangani dan memeteraikan International Covenant on Civil & Political Rights (ICCPR). Ini mengizinkan umat Islam untuk murtad tanpa boleh diambil tindakan.
“COMANGO juga menuntut agar negara mengiktiraf hak golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) yang mengamalkan seks songsang. Tuntutan ini amat bertentangan dengan ajaran agama Islam malah jauh dari nilai ketimuran kita sebagai orang Melayu”, ujar Luqman dengan tegas.
COMANGO juga membuat tuntutan supaya menghapuskan Fasa 153 Perlembagaan yang memberikan hak keistimewaan kepada orang Melayu.
Luqman menegaskan supaya hak-hak sebagai orang Melayu perlu dipertahankan kerana keistimewaan yang diperoleh sehingga hari ini adalah hasil perjuangan orang Melayu itu sendiri dalam sejarah kemerdekaan selepas penjajahan Barat.
“Mahasiswa juga harus kongsikan keprihatinan dengan menyebarkan maklumat ancaman COMANGO melalui Facebook, Twitter dan semua saluran media sosial yang ada pada masa kini serta melakukan bacaan dan kajian lanjut mengenai isu ini”, tegas Luqman mengenai peranan mahasiswa.
COMANGO – Coalition of Malaysian NGOs – merupakan gerakan liberal yang berniat hendak mengubah perlembagaan Malaysia dengan menghasut negara-negara luar agar menekan kerajaan Malaysia untuk tunduk kepada undang-undang hak asasi manusia sejagat dalam sesi persidangan The Universal Periodic Review (UPR) Of Human Rights di Geneva tahun lepas.
Noor Khairina
Wartawan PEMBINA UPM