PEMBINA Meneraju Arus Mahasiswa: Bersediakah kita?

Ada apa dengan slogan “Meneraju Arus Mahasiswa”? Mungkin ini yang hadir dalam benak pemikiran sekalian ahli PEMBINA, bahkan sekalian mahasiswa dalam Malaysia saat mendengarkan slogan ini. Mungkin persoalan ‘Ada apa’ wajar ditukar kepada ‘Mengapa menggunakan slogan Meneraju Arus Mahasiswa?’. Slogan ini jelas menganjurkan supaya para aktivis PEMBINA bertindak sebagai pemimpin di lapangan masing-masing, bertindak sebagai pemimpin yang mempunyai sikap ar-Rijal, dan seterusnya melatih diri masing-masing untuk menguasai sikap pemimpin bercirikan sifat ar-Rijal.

Meneraju dalam erti kata lain adalah mengemudi, mengepalai dan memimpin. Meneraju Arus Mahasiswa boleh diertikan sebagai menjadi pengemudi, yang mengepalai dan memimpin arus pemikiran dan tindakan mahasiswa Muslim, khususnya, dan mahasiswa Malaysia, umumnya, kepada mewujudkan masyarakat yang harmoni. Masyarakat yang hidup berpandukan Syariah, bukan berpandukan nafsu manusiawi semata-mata.

Hari ini kita melihat gerakan-gerakan mahasiswa yang mengaku sebagai suara mahasiswa. Antara seruan mereka adalah penghapusan AUKU, pemansuhan PTPTN dan penyerahan autonomi universiti kepada mahasiswa agar wujud kembali pentadbiran mahasiswa dalam Universiti. Adakah perjuangan mahasiswa memadai hanya setakat ini sahaja? Kumpulan-kumpulan ini bersikap lantang dan menarik perhatian ramai dengan melaungkan slogan-slogan mereka di dalam kampus, juga di jalanan. Agenda yang berpandu keadilan untuk manusia dari manusia, menjadi sangat hebat di mata yang memerhati. Apakah seruan melaksanakan keadilan untuk manusia berpandukan wahyu Ilahi tidak punya kekuatan seperti mereka? Dalam erti kata lain, tidakkah aktivis PEMBINA punya kekuatan untuk melaksanakan seruan mulia mereka, mengatasi seruan-seruan kumpulan-kumpulan mahasiswa yang lain?

Keberanian untuk melaungkan seruan kepada masyarakat tidak mungkin wujud tanpa kesedaran untuk menjadi pemimpin kepada masyarakat. Pemimpin adalah mereka yang mempunyai sikap proaktif dan sifat-sifat ar-Rijal. Seperti yang digariskan oleh asy-Syahid Imam Hassan al-Banna, ciri-ciri ar-Rijal adalah mereka yang mempunyai keyakinan kepada agenda mereka, jujur dalam melaksanakan tanggungjawab, bersemangat waja memperjuangkan agenda mereka dan bertindak secara berterusan dalam perjuangan.

Mari kita lihat salah satu contoh hidup sifat ar-Rijal, ataupun sikap pemimpin yang wujud dalam diri salah seorang peserta Misi Solidariti Gaza. Seorang pemuda, yang juga merupakan seorang mahasiswa, yang bertindak menjual kenderaan beliau untuk menyertai misi tersebut. Untuk seketika, beliau menolak tepi kepentingan dirinya kerana beliau yakin adanya misi yang perlu dilaksanakan demi memperjuangkan nasib saudara seaqidahnya di Gaza serta meyakini akan agenda yang lebih besar dan membulatkan tawakkal kepada Allah ‘Azzawajal, beliau berjaya mengharungi Misi Solidariti Gaza dengan jayanya.

Bagaimana pula dengan kita, sekalian aktivis PEMBINA? Adakah kita sanggup meletakkan kepentingan peribadi kita, barang sejenak, untuk menjayakan misi bersama kita, misi PEMBINA? Meninggikan seruan mendaulatkan syariah dalam hidup sekalian manusia, terutamanya dari kalangan golongan pemuda, sehingga dibumi kehidupan bersyariat dalam hidup juga sistem yang mentadbir alam?

Sedarilah wahai sekalian aktivis PEMBINA bahawa setiap jiwa kita ini punya tanggungjawab sebagai pemimpin. Bukankah nabi telah bersabda, ‘Semua kamu adalah pemimpin dan semua kamu akan ditanya mengenai pimpinannya’

”Dari Ibni Umar r.a sabda Rasulullah SAW: ”Semua kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap rakyat pimpinannya. Seorang Amir (Raja) memimpin rakyat dan ia akan ditanya mengenai pimpinannya, seorang lelaki adalah pemimpin ke atas keluarga rumahnya dan ia akan ditanya mengenai pimpinannya. Seorang wanita adalah pemimpin dirumah suaminya dan terhadap anak – anak suaminya dan ia akan ditanya mengenai pimpinannya. Seorang hamba sahaya adalah pemimpin atas harta benda tuannya dan ia akan ditanya mengenai pimpinannya. Ingatlah Semua kamu adalah pemimpin dan semua kamu akan ditanya mengenai pimpinannya.”

(Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim).

Sifat kepemimpinan ini bukan semata-mata wujud dalam diri seseorang sejak lahir lagi. Kepemimpinan adalah satu sikap yang lahir daripada latihan berterusan. Lihat sahaja bagaimana salah seorang Presiden Amerika, Abraham Lincoln, melatih dirinya untuk berhenti daripada sikap suka mengkritik sejak kecil, untuk menjadi seorang individu yang paling berpengaruh dalam kalangan rakyat Amerika. Lihat juga latihan yang dilalui oleh Sultan Muhammad al-Fateh yang sejak kecil dipandu untuk menjadi seorang pemimpin. Hatta, beliau telah diberikan tanggungjawab sebagai seorang khalifah seawal usia beliau 16 tahun! Mereka keluar daripada zon selesa orang yang dipimpin untuk menjadi pemimpin yang membentuk masa depan mereka, juga masa depan masyarakat yang mereka pimpin.

Sikap kepemimpinan mereka ini, para pejuang sekalian, adalah sikap yang dilatih atas kesedaran diri masing-masing dan sokongan daripada orang sekeliling. Apakah kita juga memilih untuk menambah nilai hidup kita, menjadi bermanfaat kepada orang lain, dengan cara melatih ciri-ciri kepemimpinan dalam diri masing-masing? Tanpa keyakinan kepada agenda perjuangan, tanpa kejujuran dalam mendokong aspirasi, tanpa semangat yang waja dalam perjuangan dan tanpa tindakan proaktif yang berterusan, bermimpilah kita untuk melihat masa depan yang kelam. Bukan melihat tertegaknya syariat Allah dalam jiwa umat Malaysia, apatah lagi dalam sistem pentadbiran dunia!

Ingat! Firman Allah SWT,

“Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia.” (Quran, 13;11)

Wahai sekalian pejuang, para aktivis PEMBINA, bangunlah dari lena yang panjang. Sedarlah akan tanggungjawab yang digalas atas bahu kita bersama untuk menjadi pemimpin kepada ummat hari ini. Selamilah sifat-sifat ar-Rijal dan latihlah diri kita hari ini untuk menjadi pemimpin pada hari esok. Dengan ini, kita pasti melihat slogan Meneraju Arus Mahasiswa ini bukan sekadar laungan kosong, bahkan itulah realiti di bumi Malaysia pada tahun hadapan.

Oleh,

Saudara Iqbal Hakim Abdul Razak,

JK Latihan dan Kepimpinan PEMBINA.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top