Mengapa Perlu Berpesan?

Mari fikir tentang Palestin. Satu kanvas kehidupan yang penuh dengan palitan darah para syuhada. Bagi mereka yang sentiasa cakna tentang epilog dan liku–liku perjuangan intifadah di Palestin, pasti kagum tentang momentum perjuangan yang tidak kenal hilang kudrat ini. Sejak intifadah pertama pada tahun 1987, mereka masih ampuh. Malah puluhan tokoh–tokoh perjuangan yang menjadi ‘mastermind’ dalam mengatur percaturan dan strategi syahid di hujung senjata Israel.

Bermula dengan pembunuhan Syeikh Ahmad Yassin pada tahun 2004 dan diikuti dengan Dr. Abdul Aziz Al-Rantissi  syahid pada tahun yang sama. Gerakan perjuangan ini juga menerima tamparan yang hebat pada tahun yang sama dengan gugurnya salah seorang pemimpin utama briged Al – Qassam, Syeikh Izzuddin Khalil. Sehingga hari ini mereka kekal tegap dan langut di saf hadapan. Malah tahun berikutnya mereka memenangi Pilihan raya Palestin. Membujur lalu melintang patah!

Dimana letaknya rahsia kesinambungan perjuangan ini?  Semacam ada orang–orang baru yang sama hebat dalam citra perjuangan muncul, menyambut panji-panji pahlawan yang telah syahid ini dengan penuh tekad. Langkah–langkah seterusnya disusun kembali dengan penuh cermat.

Hebat bukan?

Ia bermula dengan satu perkataan. PESAN!

Dalam pesanan biasanya ada mesej penting yang ingin disampaikan. Tetapi nanti dahulu. Gunakan mata hati dan lihat apa lagi yang ada dibalik pesanan.

Bila kita berpesan, kita mahukan kebaikan terhadap orang yang dipesan. Bila kita berpesan kita mahu memberi peringatan kepada orang yang dipesan. Dalam perbuatan berpesan, ada kelibat kasih sayang. Dalam berpesan, ada unsur memberi perhatian. Berpesan bukan sekadar melantun perkataan tetapi memyampaikan hikmah dengan penuh hemah.

Pesan menyebabkan seseorang individu menyambung perjuangan. Dengan berpesan, ilmu diturunkan. Dengan berpesan, hakikat hidup dijelaskan. Dengan berpesan, tautan hati antara insan terus berkekalan.

Sebagai seorang individu yang hebat, sifat kehebatan itu tidak seharusnya berpusat pada dirinya sahaja. Demi kepentingan suatu misi, dia perlu menghebatkan orang lain. Maka sifirnya orang hebat akan dikelilingi orang–orang yang hebat. Hanya dengan itu, misi dan syiar agama islam itu akan kekal hebat. Caranya? Mereka selalu berpesan–pesan.

Syeikh Raed Solah-Pahlawan Masjid Al-Aqsa

Keampuhan perjuangan warga Palestin berkaitan rapat dengan berpesan–pesan. Jangan dikhuatiri kematian para syuhada kerana ada seribu satu lagi ‘Sheikh Ahmad Yassin’ yang akan muncul menggalas uslub dan manhaj yang sama. Generasi yang dibina dalam suasana yang menuntut pengorbanan akan  membuahkan generasi yang cekal. Semuanya dimulakan oleh pesanan generasi terdahulu.

Lembaran sirah menggambarkan peristiwa yang sama. Pesanan Rasullulah menghebatkan para sahabat. Hebatnya Rasulullah bukan seorang. Baginda dikelilingi pemuda–pemuda terhebat pada zamannya. Hebat Rasulullah mengalir dalam gagahnya Saidina Umar Al -Khattab, petahnya Saidina Jaafar, unggulnya Ilmu Saidina Ali dan ribuan lagi para sahabat yang menjunjung syiar islam. Saban hari Rasulullah berpesan, setiap hadith yang ditinggalkan Rasulullah juga merupakan pesanan yang kekal sepanjang zaman. Jika pesanan itu simbol kasih sayang, maka cuba bayangkan betapa sayangnya Rasulullah kepada ummatnya . Hidupnya penuh dengan pesanan.

Jikalau contoh–contoh di atas masih gagal lagi mewajahkan perkaitan pesanan dalam pembangunan masyarakat dan insan maka pejamkan mata; bayangkan sahaja wajah mulus ibu anda. Setiap ayun dan alunan peribadinya adalah lambang kasih sayang beliau kepada anda. Adakala sayangnya melibatkan elemen kesakitan melalui cubitan dan tamparan. Adakala sayangnya membelai – belai hati melalui pujian dan hadiah.  Setelah hati dibelai-belai, kadangkala dilambung-lambung dengan leteran dan sindiran. Tatkala anda mula melangkah keluar dari rumah untuk ke menara gading, Si ibu akan menyimpulkan kesemua lambungan, cubitan dan leteran tadi dalam bentuk sepatah dua ayat yang cukup bermakna sebagai tanda kasih sayang si ibu.

Itulah kata–kata yang anda akan terlepas pandang pada mulanya, tetapi bila tiba detik waktunya, kata–kata itu akan datang tanpa dipaksa. Lalu anda akan berkata, “Ohhhhh yelahhh! Mak pernah pesan dulu ni!…”

Walakhirul kalam, dengan berpesan, anda akan jadi orang yang hebat. Dengan berpesan, anda akan menghayati erti kasih sayang. Dengan berpesan, anda akan menjadi penyambung legasi perjuangan. Sampaikan pesanan yang baik dan ambillah pesanan yang baik. Sebaik-baik pesanan adalah Al-quran dan sunnah.

Masih tidak mengerti? Nyanyikan lagu Raihan bertajuk  ‘Demi Masa’  berulang kali.

Nukilan,

Fendi Ali,
Aktivis PEMBINA PERAK,
MBBS Tahun 2 UniKL Royal College of Medicine Perak

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top