KUALA LUMPUR, 23 Julai-Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) bersama Gabungan Pertubuhan (NGO)Islam membantah keras kenyataan Duta Vatican City, Joseph Marino yang menyokong penggunaan kalimah Allah.
Bantahan tersebut disuarakan melalui penyerahan memorandum bantahan kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.
“PEMBINA bersama NGO Islam yang lain mewakili ummat Islam di Malaysia terlibat dalam persembahan memo kepada Duli Yang Maha Mulia Seri paduka Baginda Yang Dipertuan Agong sebagai bantahan keras terhadap Joseph Marino yang menyokong penggunaan nama suci Allah oleh Gereja Katolik”, ujar Presiden PEMBINA, Ustaz Ibrahim Mohd Hasan.
Tambah beliau lagi, perkara ini amat penting kepada kedaulatan Islam kerana ini melibatkan campurtangan secara langsung terhadap perlembagaan Negara yang menetapkan Islam sebagai agama persekutuan.
“Jika Allah pun boleh ditafsir ikut suka maka dikuatiri perkara berkaitan Islam yang lain juga akan ditafsir ikut suka”, kata beliau sejurus selepas penyerahan memorandum.
Ulas beliau lagi kalimah Allah tidak boleh sama sekali disamakan dengan Tuhan dalam agama lain termasuk kristian.
“Saya tidak rasa Marino begitu jahil tentang penggunaan kalimah Allah yang dikhususkan kepada agama Islam yang telah ditetapkan oleh JAKIM dan Sultan Selangor”, ulas beliau yang ditemui di perkarangan Istana Negara.
Beliau juga khuatir sekiranya tiada tindakan oleh kerajaan keatas Duta Vatican City ini akan menyebabkan pihak lain bebas mencemari dan mempermainkan agama Islam.
Penyerahan memo tersebut diketuai oleh Pengerusi NGO Islam, Tuan Haji Abdullah Zaik bin Abdul Rahman dan diterima oleh Setiausaha Sulit Kanan kepada SBP Yang Di Pertuan Agong, Muhammad Khairi Abd Rahman.
Memorandom tersebut meminta agar Kedutaan Vatican City ke Malaysia ditutup dan NGO Islam turut sepakat menyifatkan kejahilan Duta Vatican City terhadap kedudukan istimewa yang diberikan kepada Agama Islam sebagai Agama Persekutuan.
Di samping itu juga, ini merupakan perlanggaran kesopanan diplomatik, khususnya perlanggaran terhadap Artikel 41 Konvensyen Vienna mengenai perhubungan diplomatik 1961 yang melarang mencampuri urusan dalaman sesebuah Negara asing.
NGO lain yang turut hadir adalah Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Research & Information Centre On Islam (RICOI), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID), Pro Muslim, Nur Alamiah dan JATI.