Memorandum Bantahan Keras Terhadap Diplomat Vatican

Mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun sembah patik harap diampun,

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh.

 

PERSEMBAHAN MEMORANDUM BANTAHAN KERAS TERHADAP KANDUNGAN TEMUBUAL DIPLOMAT VATICAN KE MALAYSIA, ARC JOSEPH MARINO YANG MENYOKONG PENGGUNAAN NAMA SUCI “ALLAH” OLEH GEREJA KATOLIK TEMPATAN

Ampun Tuanku,

Patik mewakili Gabungan Pertubuhan (NGO) Islam dalam negara, dengan penuh hormat dan takzimnya merafak sembah dan memohon perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku untuk menyembahkan memorandum ini.

Memorandum ini adalah bersabit dengan perkembangan terkini isu penyalahgunaan nama suci “Allah” oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, malah hal ini dipandang lebih serius kerana ia melibatkan seorang yang berkedudukan tinggi sebagai Duta Vatican City, Pusat Kerajaan Kristian Katolik dunia, ke negara ini.

Kenyataan Duta Vatican City, Joseph Marino,  yang menyokong penggunaan nama suci “Allah” oleh Gereja Katolik tempatan, bukan saja telah menimbulkan kegusaran dan kekhuatiran di kalangan Pertubuhan (NGO) Islam daripadapelbagai lapisan masyarakat Islam dalam negara, (termasuk para tokoh pemimpin Islam, gagasan individu Melayu-Muslim terkemuka, para pemikir arus perdana serta badan-badan yang berkongsi keprihatinan yang sama,) malah juga telah menjejaskan keharmonian perhubungan antara agama,apabila Islam diletakkan setaraf dengan agama lain dan Allah S.W.T. disekutukan menurut tafsiran yang terpesong.

Justeru itu, patik-patik umat Islam yang prihatin dan berpegang teguh pada akidah Islam yang suci ingin menyembahkan taat setia dan kesediaan hingga ke titisan darah yang terakhir untuk bersama-sama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku bagi mempertahankan kesucian kalimah tauhid selaras dengan amanah yang dikurniakan Allah S.W.T. kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku sebagai Ketua Agama Islam.

Ampun Tuanku,

Patik-patik secara muafakat menyifatkan kenyataan Duta Vatican City seperti berikut:-

1.  Satu perlanggaran kesopanan diplomatik,   khususnya perlanggaran terhadap Artikel 41 Konvensyen Vienna mengenai Perhubungan Diplomatik 1961 yang  melarang mencampuri urusan dalaman sesebuah negara asing.

2.  Ketidakfahamannya terhadap sebab-sebab dan keadaan-keadaan kontroversi yang meliputi pengunaan nama suci “Allah” dalam kalangan bukan Islam atau boleh dianggap dengan sengaja mencari sebab untuk mengeliru atau memutarbelitkan perkara yang  sama.

3.  Membayangkan kejahilan Duta Vatican City terhadap kedudukan istimewa yang diberikan kepada Agama Islam sebagai Agama Persekutuan dan lafaz sumpah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong seperti yang dinyatakan dalam Jadual Ke-4 Perlembagaan Malaysia dan amalan konvensional mengangkat sumpah jawatan oleh para menteri Kerajaan Persekutuan untuk melindungi Agama Islam sepanjang masa.

4.  Sesuatu yang tidak kena pada masa dan tempatnya dan boleh dianggap bertujuan untuk mencampuri proses perundangan Malaysia (due proses ofMalaysian Laws) sebagai sebuah negara Islam yang berdaulat.

5.  Walaupun Duta Vatican City itu telah memohon maaf (melalui Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman), namun Gabungan Pertubuhan (NGO) Islam dan para sekutunya menolak tuntutan maafnya kecuali jika iadilakukan secara terbuka kepada seluruh umat Islam di Malaysia.

Ampun Tuanku,

Selanjutnya, patik-patik Gabungan Pertubuhan (NGO) Islam ingin menyembah usul supaya Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku menitahkan agar Kedutaan Vatican City ke Malaysia ditutup dan tiada lagi status seumpama itu diberikan oleh kerajaan Malaysia pada masa depan kerana ianya memperjudikan kesucian Islam sebagai Agama Persekutuan.

Patik-patik Gabungan Pertubuhan (NGO) Islam, serta seluruh umat Islam, berdoa agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku sentiasa dianugerahkan daulat dan kudrat oleh Allah SWT untuk menzahirkan titah-titah yang bertepatan dan syumul untuk terus mempertahankan kesucian akidah Islam.

 

Daulat Tuanku,

Persembahan patik pohon diampun.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top