Walaupun berdepan masalah padang yang tidak rata dan gangguan pokok ketika perlawanan persahabatan dengan PEMBINA Pulau Pinang Isnin lepas, PEMBINA Kedah tidak gagal untuk mempamerkan semangat juang dan daya ketahanan yang tinggi walaupun tewas tipis dengan jaringan 6-4.
Kehadiran penyerang veteran Pulau Pinang yang digeruni satu ketika dahulu iaitu Ustaz Hamidi dan Ustaz Rahim Sudin, tidak langsung menjejaskan semangat PEMBINA Kedah yang juga turut membariskan penyerang veteran serba boleh, Dr. Zulkifli Yusof dan bekas pertahanan Kolej Proton, UUM, Saudara Fahmi Othman.
PEMBINA Kedah yang hadir penuh semangat untuk beriadah di samping berukhuwwah dengan sahabat PEMBINA Pulau Pinang dikejutkan dengan taktik pihak lawan yang mengelirukan pada separuh masa pertama apabila ketinggalan dengan jaringan 5-1.
Separuh masa kedua mempamerkan kebangkitan menakjubkan barisan pemain PEMBINA Kedah, apabila bangkit menjaringkan 3 gol berturut-turut untuk merapatkan kedudukan 5 jaringan gol berbalas 4. Dalam kerancakan mencari gol penyamaan dan kemenangan, PEMBINA Kedah dikejutkan dengan serangan balas pihak lawan yang menghasilkan gol terakhir perlawanan. Wisel penamat dibunyikan sejurus selepas gol terakhir pihak lawan.
Selepas perlawanan, kedua-dua pihak berkenal-kenalan dan berukhuwwah sambil mendengar tazkirah ringkas dari Ustaz Rahim Sudin sambil menjamu selera nasi lemak bungkus di bawah pohon rendang di tepi padang.
Alangkah indahnya Islam jika ia diamalkan di segenap pelusuk kehidupan kita, tidak kira di masjid atau di padang bola.