Assalamualaikum w.b.t
Ketika membincangkan intipati dakwah para nabi dan Rasul a.s, Dr. Said Ramadhan (Fiqh Sirah) telah membawakan sebuah hadith yang telah diriwatkan oleh Saykhan;
‘Aku dan Para Anbia’ sebelumku ibarat satu bangunan yang dibina oleh seorang lelaki. Lalu ia membinanya dengan baik dan dipercantikkan kecuali pada sekeping batu-bata pada sesuatu sudut. Maka orang ramai datang mengelilinginya dan kagum melihat dan berkata mengapa tidak diletakkan seketul batu ditempat yang kosong itu, maka akulah batu-bata itu dan penyudah segala Nabi.’
Jelas beliau lagi, bahawa Nabi s.a.w diutuskan bagi memperteguhkan dakwah para Nabi dan Rasul a.s yang terdahulu. Seluruh seruan itu pula bersendikan kepada dua perkara iaitu pertama aqidah kepercayaan dan kedua, perundangan dan akhlak. Inilah sebab Baginga s.a.w dan para Nabi dan Rasul a.s dilahirkan kepada umat manusia.
Kedua-duanya adalah asas dalam sistem kehidupan manusia, yang selaras dengan fitrah mereka. Betapa ‘simple” atau canggih pun kehidupan manusia mereka pasti berhajat kepada tempat bergantung dan berdoa (terutama ketika susah) dan garis dasar ‘do and don’t’ dalam kehidupan bermasyarakat.
Dr. Said Ramadan juga merujuk kepada kitab Ibn Hisham yang menceritakan bagaimana cara Amru Bin Luhay menerapkan penyembahan berhala ke dalam bangsa arab; ketika Amru berniaga ke Syam, ia melihat mereka (orang-orang Syam) menyembah berhala, lalu ia bertanya, ‘Apa bendanya yang kalian sembah ini’, ‘Ínilah patung-patung berhala, kami sembahnya untuk meminta hujan maka ia menurunkan hujan, kami meminta pertolongan ia memberi pertolongan’, ‘Mahukah kalian beri kepada saya salah satu berhala itu, saya akan bawa pulang ke bumi orang-orang arab untuk mereka menyembahnya’ lalu diberikan kepadanya berhala bernama ‘Hubal’.
Begitu mudah mereka menyelesaikan masalah kurangnya hujan dan tempat meminta pertolongan.
Adakah kita berfikir mereka berbuat demikan disebabkan jahil atau kebodohan semata-mata. Kalau ya, apakah kita lebih cerdik berbanding mereka jika beranggapan hanya dengan melaksanakan keperluan ibadah berbentuk individu e.g solat, puasa, zakat, haji dll. (yang menjadi manifestasi aqidah) telah sempurna keIslaman kita?. Apa kaitanya pula?. Ini kerana kita juga tertakluk kepada sebahagian lagi tuntutan iaitu tuntutan perundangan dan akhlak yang menjadi antara tujuan kenapa Baginda s.a.w dilahirkan pada 22 April 571 (1400 tahun yang lalu) bersamaan Isnin 9 Rabiulawal (tarikh Syeikh Sofy; al-Raheeq al-Makhtum).
Akhirnya kita mengikut langkah Amru; kita ambil perlembagaan British dan Pakistan (pada persolalan yang melibatkan sebahagian kecil juzuk Islam) dan kita tiru akhlak mereka dan bawa balik ke Tanah Malaya. Sistem pentadbiran, sistem pendidikan, sistem perundangan …… dan akhirnya seluruh sistem nilai masyarakat kita terbina berdasarkan paksi ini.
Persoalanya adalah kita selesa dan redha keadaan ini?.
Tidak! Alhamdulillah, masih ada yang tidak redha. Tapi apa yang kita buat?
Kita kena mengajak masyarakat kembali kepada Islam yang syumul berdasarkan kemampuan kita. Bukan semua perlu jadi penceramah, pemidato atau menjawat jawatan Ustaz atau jawatan di Jabatan Agama baru kelak akan dipersoalkan Allah s.w,t. Saya, anda dan kita semua akan ditanya.
Inilah tanggung jawab dakwah!. Ya, kalam yang di geruni, di pandang sepi atau dilupakan oleh kebanyakan ahli mayarakat. Tuntutan yang dimaklumkan oleh al-Quran dan jalannya ditunjukkan oleh Baginda s.a.w. Inilah permata yang hilang dari dalam diri masyarakat muslim kini, tanggungjawab dakwah!!.
Janganlah kita hanya memada dengan menyimpan perasaan resah atau tidak redha juga pengetahuan kesyumulan Islam dan tuntutanya itu dalam diri kita sahaja, bimbang kita akan dilaknati oleh seluruh alam.
‘Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan berupa keterangan-keterangan (yang jelas) dan petunjuk setelah menerangkan kepada manusia dalam al-Kitab, mereka itu dilaknati Allah dan dilaknati (pula) oleh semua (makhluk) yang dapat melaknati’ (Al-Baqarah; 159).
Selamat bekerja di medan dakwah!
Wassalam.
Dr Kamil Azmi Bin Tohiran
Presiden
Persatuan Belia Islam Nasional ( PEMBINA )