PEMBINA Buka Lembaran Baru Di UIA Gombak

GOMBAK 12 Dis 2011 – Satu lonjakan baru buat Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) dengan tertubuhnya PEMBINA UIAM sebagai sebuah persatuan rasmi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak. Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pertama telah berlangsung dengan jayanya pada hari ini dihadiri ahli-ahli dan siswa-siswi yang bersemangat untuk beraktiviti menerusi wadah yang baru di kampus UIA ini.

AGM telah disempurnakan oleh Norzafry Norhalim, Presiden PEMBINA. Beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada penggerak-penggerak PEMBINA dari sebelum tertubuhnya kelab hingga ke hari ini. Beliau juga menggesa supaya terus istiqamah dalam usaha menggerakkan PEMBINA di UIAM sebagai agen perubahan menerusi aktiviti dakwah. Turut berucap pada majlis tersebut adalah Suria Affendi, wakil PEMBINA Gombak bagi pihak Ketua Cawangannya. Beliau juga mengingatkan para siswa dan siswi bahawa pelajaran tidak harus diabaikan dalam kesibukan menjalankan usaha-usaha dakwah khususnya di UIAM.

Selepas pertabalan barisan ahli jawatankuasa PEMBINA UIAM bagi sessi 2011/2012, Presiden PEMBINA UIAM yang baru, saudara Eqwan bin Mohd Roslan menyeru mahasiswa dan mahasiswi untuk turut sama dalam program-program yang akan diadakan disamping menyebarkan visi dan misi PEMBINA itu sendiri. Beliau berharap agar PEMBINA dapat membawa impak positif kepada mahasiswa bertepatan dengan moto PEMBINA sendiri yakni, ‘memacu aktivisme mahasiswa’ khususnya dalam suasana kampus di UIAM.

AGM pada malam itu diserikan lagi oleh persembahan daripada kumpulan nasyid PEMBINA iaitu Sohwah. Turut hadir dalam AGM  tersebut adalah Nurul Aizat binti Ariffin, Bendahari PEMBINA.

 

 

Sumber: http://uiam.pembinagombak.com/agm-pembina-sessi-20112012/

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top