Tahniah saya ucapkan kepada SMM dan para mahasiswa atas keberanian berdemonstrasi pada Sabtu lalu di hadapan pejabat UMNO. Saya menyanjung keberanian anda dalam memperjuangkan sesebuah isu.
Namun, pada pandangan saya, mahasiswa tanahair perlu mempunyai gaya dan budaya tersendiri dalam membuat satu tindakan. Kita harus sedar bahawa contoh-contoh dari barat dan timur tengah bukan semuanya baik untuk diikuti. Sebarang demonstrasi yang dilakukan mesti fokus kepada mesej yang ingin disampaikan dan mengelak dari sebarang bentuk konfrontasi yang tidak bermanfaat.
Oleh kerana itu, saya tidak bersetuju terhadap tindakan siswa yang telah mengalihkan bendera Perdana Menteri. Walaupun ada sesetengah pihak mengatakan ini adalah tindakan balas terhadap tindakan yang dilakukan parti lawan sebelum ini, dalam hal ini saya melihat bahawa budaya balas-membalas dan menyimpan dendam sesama muslimin bukanlah budaya umat Islam di Malaysia. Jika senario ini berterusan, saya melihat tidak akan ada penghujungnya, takut nanti menang sorak kampung tergadai.
Sebuah perjuangan perlu jelas apa yang ingin dituntut dan diperjuangkan. Dalam hal ini, perlu kita kaji hakikat, adakah benar-benar mahasiswa tidak bebas? Atau adakah ini hanya satu tuntutan yang bermotifkan politik? Saya melihat bahawa kebebasan mahasiswa sebenarnya terletak di minda. Terkongkongnya mahasiswa adalah pada pemikirannya sendiri, bukan salah orang lain semata-mata. Sedangkan aktiviti membangunkan masyarakat sangat luas skopnya dan tidak hanya terbatas pada saluran politik.
Jatidiri umat Islam di Malaysia yang semakin terhakis perlu diberi perhatian khususnya oleh golongan muda yg akan menjadi pemimpin masa depan. Masalah-masalah sosial sepeti isu hedonisme, gay, tapisan filem, semua ini memerlukan penglibatan pemuda yang berani tersebut untuk berjuang mengatasinya. Oleh itu, mahasiswa harus membuka fikirannya, meluaskan pandangannya, menambahkan pengetahuan amnya, kemahiran komunikasinya, serta kaedah menyampaikan mesej dengan tegas dan objektif, bebas dari sentimen.
PEMBINA, meskipun merupakan sebuah NGO non-partisan, mempunyai ribuan aktivis dan pelbagai aktiviti dan projek untuk membina masyarakat khususnya mahasiswa. Saya juga percaya terdapat banyak lagi NGO dan pertubuhan belia lain yang turut menjadi wadah perjuangan belia untuk membangunkan masyarakat secara konstruktif, dan tidak semestinya terikat kepada politik kepartian.
Akhir kata, PEMBINA menyeru mahasiswa untuk bersama dengan aktivisme yang lebih luas dan berterusan. Perjuangan membina jatidiri ini memerlukan mahasiswa yang cekal dan mampu menongkah arus liberalisme dan hedonisme barat. Kegagalan kita menepis agenda Barat ini akan menyebabkan kita terus menjadi boneka mereka yang ingin merosakkan umat islam dari dalam.
Norzafry Norhalim
Presiden PEMBINA