Majlis Ramah Mesra Bersama Finalis Solehah

Barisan finalis Solehah bersama moderator

 

GOMBAK 26 Disember 2011 – Majlis yang dianjurkan oleh Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Pusat dengan kerjasama PEMBINA cawangan Gombak dan UIAM telah mendapat sambutan dari para beliawanis terutamanya dari kawasan Gombak dan KL.

Terlebih dahulu sebelum majlis bermula, para pemenang rancangan realiti Solehah ini telah menghadiri satu sesi khas bersama JKP PEMBINA.

Dalam sesi tersebut, JKP PEMBINA mengambil peluang untuk menyampaikan penghargaan atas kesungguhan yang ditunjukkan oleh mereka, juga berbincang ruang-ruang amal dakwah yang boleh dilakukan bersama mereka pada masa akan datang.

Kemudian, majlis dimulakan dengan kata-kata aluan oleh YDP ISMA Gombak, Encik Zuraidi Zakaria & Naib presiden II PEMBINA merangkap Ketua Beliawanis, Puan Nor Hasni Hayati Hanapi. Beliau mengharapkan ketokohan dan kepimpinan ini dapat dicontohi oleh ahli-ahli PEMBINA serta para belia dan beliawanis  di luar sana.

Dengan menggunakan peluang yang ada, acara majlis diteruskan dengan sesi forum perkongsian bersama tiga finalis Solehah iaitu Saudari Amie Sofea bt Ahmad, Saudari Nurul Eswani Syafazlin Abdul Halim dan Saudari Wan Nor Mazuani Wan Mokhtar. Topik forum berlegar tentang pengalaman dan tujuan ketiga-tiga finalis menyertai rancangan Solehah.

Antara yang menarik dikongsikan ialah kesemua mereka menyertai dengan tujuan untuk memperbaiki ilmu masing-masing dengan membina jati diri agar tidak berada di takuk yang sama.

Selepas 13 minggu dilatih oleh para musyrifah, mereka mula menyedari bahawa Allah telah mentakdirkan mereka berada dalam program ini untuk menggalas satu tanggungjawab yang besar iaitu berdakwah apabila melihatkan keadaan umat Islam yang semakin hari semakin tenat.

Harapan ketiga-tiga panelis ini terhadap para beliawanis yang hadir khususnya agar mencari platform masing-masing untuk mendekati masyarakat.

Menyoroti penglibatan awal mereka dalam Solehah, walaupun terdapat segelintir manusia yang memberi tanggapan negatif namun mereka dapat membuktikan bahawa produk yang mereka hasilkan bukan untuk dimegah-megahkan, bahkan ia merupakan satu wasilah untuk mereka lebih mudah mendekati masyarakat.

Selain itu, bagi mereka para beliawanis patut menggunakan peluang yang ada untuk terjun dalam masyarakat.

Amie Sofea berkongsi pengalaman

Jika Malaysia dilambakkan dengan rancangan realiti yang merosakkan masyrakat, maka kita harus mengambil peluang untuk melawan mereka dengan menyokong rancangan-rancangan realiti yang baik dan mendatangkan manfaat untuk ummah ini.

Menurut juara Solehah, saudari Amie Sofia yang juga merupakan aktivis PEMBINA, beliau merasakan penglibatan beliau dalam organisasi ini menambahkan lagi kefahaman serta keyakinan beliau ketika berhadapan dengan ujian-ujian semasa program tersebut dijalankan.

Dengan anugerah yang telah Allah anugerahkan ini menjadikan beliau semakin bersemangat untuk menyumbang tenaga kepada ummah. Beliau turut berkongsi sebuah hadith yang bermaksud:

“Sebaik-baik manusia antara kamu ialah mereka yang banyak memberi manfaat kepada orang lain” -Hadith Riawayat Bukhari

Forum turut membuka sesi soal jawab bersama para hadirin yang terdiri dari majoriti pelajar UIAM dan UM. Para peserta menggunakan peluang tersebut semaksima mungkin untuk mendapatkan tip-tip yang bermanfaat untuk diaplikasi dalam kehidupan masing-masing.

Majlis diakhiri dengan sessi penyampaian cenderahati oleh Puan Hjh Haliza bt Abdul Aziz, Timbalan Ketua Wanita ISMA Gombak diiringi oleh Puan Shazwin b. Hasan, Ketua Beliawanis PEMBINA Gombak.

Para peserta mengambil peluang untuk bergambar dan mendekati ketiga-tiga finalis Solehah dengan lebih rapat. Rata-rata peserta menyatakan kegembiraan dan mendapat inspirasi dari perkongsian yang diberikan oleh ketiga-tiga panelis forum tersebut.

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top