PEMBINA bidas BSM, gesa Menteri Besar lebih tegas

baem

BANGI, 8 Dis – Presiden Pertubuhan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Ustaz Ibrahim Mohd Hassan membidas kenyataan Presiden Pertubuhan Bible Malaysia (BSM) Datuk Ng Moon Hing yang menuntut permohonan maaf daripada pihak berkuasa agama Islam Selangor berhubung tindakan mengecop Bible berbahasa Melayu dan Iban oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Ustaz Ibrahim mempertahankan tindakan yang diambil oleh pihak agama Islam Selangor dan menegaskan tuntutan oleh BSM itu sebagai melampau batas.

“Tindakan BSM melampau kerana apa yang dilakukan oleh pihak JAIS adalah untuk mempertahankan akidah umat Islam.

“Sepatutnya dia (Ng Moon Hing) yang perlu meminta maaf kepada umat Islam,” katanya.

Ustaz Ibrahim juga menggesa Menteri Besar Selangor, Azmin Ali agar lebih tegas mempertahankan prinsip dan kepentingan umat Islam khususnya di negeri Selangor.

“Saya minta supaya MB Selangor jalankan tanggungjawab. Jangan membisu apabila ada pihak yang cuba bermain dengan sensitiviti umat Islam,” tegasnya.

Beliau juga berharap agar pihak pertubuhan dan NGO Islam yang lain agar lebih berani dan tampil mempertahankan Islam, serta tidak memberi alasan ‘Rahmatan lil alamin’ sebagai suatu bentuk justifikasi mendiamkan tindakan mereka.

Semalam sebuah portal berita online melaporkan BSM memohon pihak berkuasa agama Islam Selangor supaya memohon maaf kerana merampas kitab Bible serta memulangkannya berserta cop yang tertera larangan mengedarkan kitab itu kepada umat Islam.

1 thought on “PEMBINA bidas BSM, gesa Menteri Besar lebih tegas”

  1. Pingback: PEMBINA bidas BSM, gesa Menteri Besar lebih tegas | Portal Islam dan Melayu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top