Pemberian Lesen Judi Bola




Takrif Al-Maysir dan Al-Qimar

Al-Qimar dari segi bahasa bermaksud perjudian atau pertaruhan. Dari istilah syara’ ia dedefinisikan sebagai permainan dengan menggunakan alat-alat atau cara-cara tertentu yang bergantung semata-mata kepada nasib, orang yang bertaruh perlu membayar suatu harga dan berjaga-jaga agar tidak terlepas taruhannya.

Mazhab Syafi’e mendefinisikan Al-Maysir sebagai pertaruhan di antara dua pihak, kedua-dua pihak disyaratkan meletakkan wang pertaruhan, dan kesemua wang pertaruhan akan menjadi milik pihak yang menang. Ia termasuk di dalam Al-Qimar yang diharamkan.

Pengharaman Judi dalam Islam

Di dalam al-Quran, Allah swt telah merakamkan perintah-perintahNya di dalam ayat-ayat yang jelas, diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW untuk disampaikan kepada seluruh manusia. Ayat-ayat ini merupakan panduan agar semua manusia selamat dalam kehidupan di dunia dan Akhirat. Hanya ajaran Islam, yang bersumberkan wahyu dan didikan Nabi Muhammad yang mampu menyelamatkan manusia daripada segala bentuk kehancuran, bukan idea-idea atau teori-teori yang diilhamkan sistem ciptaan manusia.

Allah SWT telah mengingatkan kita, dalam menjalani kehidupan di dunia yang hakikatnya merupakan medan ujian ke atas manusia, agar tidak terjebak kepada agenda perancangan syaitan, musuh Allah dan musuh orang-orang beriman. Kehidupan syaitan ke dunia hanya dengan satu atas satu matlamat, iaitu agar seramai mungkin manusia dicampakkan ke dalam neraka. Firman Allah SWT  bermaksud:

Wahai manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; karena sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagimu. (Al-Baqarah:168)

Dan lagi;

Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji, dan mengatakan kepada Allah apa yang tidak kamu ketahui. (Al-Baqarah:169)

Manusia sejak dari zaman dahulu sehingga kini mencari hakikat tentang isu  perjudian ini. Allah SWT telah memberikan jawapan yang tepat dan jelas kepada persoalan ini.

Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya”. (Al-Baqarah : 219)

Walaupun manusia berhujah tentang kebaikan dan manfaat yang boleh diperolehi dari perjudian ini, keburukan dan dosa yang ada padanya lebih besar. Musyrikin Quraisy sebelum perutusan agama Islam, sangat kuat berjudi. Apabila seorang lelaki menang dalam perjudian, mereka akan memberikan makan kepada orang-orang miskin. Tetapi Allah SWT sebagai Tuhan kepada manusia lebih mengetahui akan setiap perkara. Allah SWT telah memutuskan kehendak dan perintahNya yang wajib ditaati dalam perkara ini :

Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, berkorban untuk berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu berjaya. (Al-Ma’idah : 90)

Dan lagi;

Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingat Allah dan shalat; maka berhentilah dari mengerjakan pekerjaan itu. (Al-Ma’idah : 91)

Berjudi, sebagaimana meminum arak telah diputuskan secara qat’iy di dalam syariat Islam tentang pengharamannya. Ia telah diputuskan oleh Allah SWT sendiri secara jelas, bukan melalui ijtihad-ijtihad ulama’.

Barah di Dalam Masyarakat

Baru- baru ini kita telah dikejutkan dengan pemberian lesen perjudian bola sepak Piala Dunia oleh kerajaan atas alasan menghindarkan pertaruhan secara haram di Malaysia. Di peringkat masyarakat kelas bawahan, kedai-kedai yang menjual tiket perjudian sudah lama beroperasi dengan lesen sah yang dikeluarkan kerajaan. Walaupun penguatkuasaan larangan orang yang beragama Islam membeli tiket-tiket judi, masih ada yang terlibat secara sembunyi-sembunyi mahupun  terang-terangan.

Di peringkat yang lebih elit, walaupun tidak dilaporkan secara meluas di dalam media, hakikatnya wujud kasino dan pusat perjudian yang lebih berprestij, khusus untuk golongan peringkat atasan. Pelanggan-pelanggan elit tidak kira beragama Islam atau tidak. Bahkan ada jaminan agar kegiatan mereka tidak diheboh-hebohkan daripada pengetahuan pihak penguatkuasa undang-undang Islam.

Kesan Buruk Perjudian kepada Individu dan Masyarakat

1.       Ancaman aqidah, berserah kepada nasib

2.       Menanam sifat malas berusaha dan tidak mahu bekerja

3.       Merencatkan produktiviti

4.       Menimbulkan permusuhan, pergaduhan dan perbalahan di dalam masyarakat

5.       Meluaskan jurang perbezaan dalam masyarakat, yang kaya terus kaya, yang miskin terus miskin

6.       Terhalang dari rahmat Allah, terdedah kepada bala

Peranan Belia Islam

1.       Kembali kepada ajaran Islam, memperkuatkan aqidah dengan ilmu dan ibadah

2.       Meningkatkan aktivisme belia bagi meningkatkan kemahiran diri dan menjauhi kegiatan tidak bermoral

3.       Membina daya saing dan kekuatan ekonomi kendiri

4.       Menjauhi segala bentuk perjudian dan pertaruhan atas apa jua bentuk dan nama

Tarbiyah Islamiyah Adalah Jalannya

Masyarakat Islam di Malaysia harus kembali kepada ajaran Islam yang sebenar sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah. Para belia dan generasi muda perlu dididik dengan ajaran Islam yang sebenar, barulah barah dan penyakit-penyakit di dalam masyarakat mampu dirawat dan dibuang.

Syeikh Sa’id Ramadhan Al-Buti di dalam memberikan komentar tentang kepentingan tarbiyah di dalam tulisannya, At-Tariq Min Huna (Jalannya Bermula Di Sini) menyatakan, hanya didikan Islam yang sebenar mampu mengembalikan ajaran Islam seluruhnya. Dengan bergantung semata-mata kepada usaha mendapatkan kuasa politik hanya akan melahirkan suatu masyarakat yang apabila rakyat golongan bawahan mencuri, mereka dipotong tangan. Akan tetapi apabila orang-orang kaya dan punya kedudukan mencuri, mereka dibiarkan sahaja.

 

Ustaz Salman Abdul Rahman

JK Media PEMBINA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top