Institusi Perundangan Syari’ah di Malaysia baru-baru ini digemparkan oleh tindakan seorang peguam wanita bukan Muslim, Victoria Jayaseele Martin. Buat pertama kalinya dalam sejarah perundangan di Malaysia, seorang bukan Muslim mencabar enakmen khas Undang-undang Syari’ah yang mensyaratkan seorang peguam syar’ie mestilah beragama Islam.
Ada beberapa perkara yang perlu diperhatikan dengan serius dalam memberikan penilaian yang adil di dalam isu ini.
Perkara utama yang perlu diinsafi adalah teras syari’at dan perundangan Islam yang diajar oleh Baginda Muhammad SAW berdasarkan wahyu Allah SWT adalah aqidah. Bagaimana seseorang yang tidak beriman kepada Allah, Malaikat, Kitab, para Rasul, hari Akhirat serta Qadha’ dan Qadar, mampu memberikan penilaian yang tepat berdasarkan tujuan pensyariatan Islam.
Seseorang yang tidak mempercayai kewujudan dan sifat-sifat kesempurnaan Allah, tidak menyerahkan diri kepada Allah dalam kepercayaan, keimanan, dan ketundukan dalam segenap aspek kehidupan, apakah layak membawa tugas yang diperintahkan Allah untuk menegakkan syari’atNya di dalam kehidupan manusia?
Seseorang yang tidak beriman akan kewujudan malaikat yang menjadi saksi kepada seluruh perbuatan dan kata-kata manusia, sama ada dalam sembunyi mahupun terang-terangan, apakah akan jujur dalam setiap perbuatan, apatah lagi dalam menangani perundangan syari’at Islam.
Islam dan perundangannya bersumberkan wahyu yang disampaikan melalui Nabi Muhammad SAW. Andainya seseorang itu tidak mempercayai kenabian dan kerasulan Baginda, bagaimana dia berhujah dengan hujah-hujah Al-Quran dan Hadith dalam proses pengadilan syari’at?
Penguatkuasaan undang-undang syari’at matlamatnya adalah untuk menjadikan seluruh manusia tunduk kepada Allah SWT. Adakah seseorang yang tidak beriman dengan kebenaran Hari Akhirat akan mampu menyempurnakan matlamat syari’at itu sendiri? Hukuman di dunia hanyalah sebahagian hukuman Allah terhadap kesalahan pelaku dosa atau jenayah. Seseorang yang terlepas hukuman dunia tidak akan terlepas hukuman dan penghakiman Allah pada hari Akhirat nanti. Dasar perundangan Islam berkait rapat dengan dosa, pahala, syurga dan neraka.
Saya merasakan, dengan ilmu pengetahuan semata-mata berkaitan perundangan syari’at tidak menjadi lesen yang membenarkan seorang bukan Muslim menjadi seorang peguam syar’ie. Keputusan yang diambil mahkamah sivil dalam mencabuli dan menggoyah sistem perundangan syari’at akan membawa kesan buruk ke dalam masyarakat. Agama Islam akan difahami dalam bentuk yang lebih bercelaru dan orang awam akan menjadi semakin bingung.
Bagi peguam-peguam bukan Islam, tidak ada cara lain untuk mereka menjadi peguam syar’ie melainkan beriman kepada Allah dan tunduk kepada seluruh kehendak, ajaran dan perintahNya. Lesen-lesen ciptaan manusia tidak seharusnya menjadi lesen yang membenarkan mereka mencemari sistem perundangan Islam.
Ustaz Salman Abdul Rahman
JK Media PEMBINA