Kebebasan Demonstrasi

Akhir-akhir ini, kita melihat budaya demonstrasi semakin menjadi popular di kalangan sesetengah mahasiswa tidak kira apa jua tujuan demonstrasi itu diadakan. Demonstrasi juga sering dikaitkan dengan hak dan kebebasan seseorang untuk berhimpun dan menyatakan pendapat serta memperjuangkan sesuatu isu.

Saya berpendapat bahawa dalam sebuah negara demokrasi, tiada masalahnya bagi seseorang untuk berhimpun kerana ia merupakan hak asasi bagi seorang manusia. Lebih-lebih lagi bagi mahasiswa yang mempunyai aktivisma, mereka seharusnya tahu hak-hak yang perlu bagi mereka perjuangkan. Sejarah telah membuktikan bahawa kuasa mahasiswa mampu merubah landskap dan halatuju sesebuah Negara termasuk di Malaysia.

Namun demikian, kebelakangan ini demonstrasi telah digunakan secara bebas oleh mahasiswa untuk menyatakan pendapat mereka seolah-olah di sana tiada kriteria yang perlu dipertimbangkan sebelum berdemonstrasi. Di dalam Islam sendiri, di dalam menjustifikasikan sesuatu, perlu ada kriteria-kriteria atau garis panduan yang perlu dipertimbangkan sebelum sesuatu tindakan diambil. Ini bagi memastikan bahawa setiap amal perbuatan kita terpandu oleh syara’ dan tidak hanya berlandaskan logik akal dan rasional sahaja. Tiada dalam Islam hak kebebasan tanpa had atau sempadan atau ‘ini hak kami, ikut suka hati kamilah!’.

Pertama sekali ialah tujuan (niat) perlu jelas dan objektif (berdasarkan fakta dan bkn hanya sentimen). Setiap amal kita perlu dipaksikan kepada niat yang betul yang dijelmakan melalui matlamat dan objektif kerana setiap perbuatan kita pasti akan dipersoalkan diakhirat kelak. Secara mudahnya, tiada satupun perbuatan kita yang dibuat atas dasar ‘saja-saja’ atau ‘suka-suka’. Amal perbuatan tanpa objektif atau matlamat yang jelas hanya sia-sia sahaja. Kerna itu perlu jelas mengapa kita perlu turun ke jalanan dan bukan hanya terdorong oleh faktor ikut-ikut atau emosi sahaja.

Demonstrasi hanyalah salah satu wasilah (platform) daripada pelbagai platform yang ada. Mahasiswa perlu faham awlawiyat, priority dalam memilih cara untuk menyatakan pendirian dan tidak mengambil jalan pintas untuk terus berdemo tanpa mempertimbangkan cara berdiplomasi yang sepatutnya diutamakan. Sepatutnya demonstrasi merupakan pilihan terakhir apabila cara diplomasi tidak berjaya dan di sana tiada cara lain selain daripada demonstrasi. Saya percaya, mahasiswa mempunyai bayak ruang untuk menyatakan pendapat seperti ‘speaker’s corner’, tulisan-tulisan dalam blog dan media cetak, bertanding dalam PRK serta berdialog dengan pihak terbabit. Kita tanya kepada mereka yang ingin berdemo, adakah mereka telah mencuba cara2 ini?

Sekiranya kita lihat dalam kes AUKU sendiri, pelbagai usaha yang telah dilaksanakan bagi meminda memansuhkan AUKU. Usaha ini terbukti berjaya apabila AUKU telah dipinda pada 2009 dan sekali lagi dalam proses untuk dipinda. Seharusnya kita merasa positif dengan perkembangan ini dan memberi sokongan penuh kepada Dato’ Saifuddin kerana memahami aspirasi mahasiswa.

Saya percaya bahawa mahasiswa adalah golongan profesional dan tidak mudah terpengaruh dengan unsur2 luar. Sudah menjadi ‘nature’ demonstrasi untuk mudah dieksplotasikan oleh pihak tertentu terutamanya ideologi2 barat serta parti politik yang ingin mengambil kesempatan untuk menjalankan agenda masing2. Jika betul2 ingin bebas, demo perlu dilakukan dgn penuh cermat, berhati2 dari dicemari unsur politik dan ideologi yang bertentangan dengan Islam. Kita tak mahu mahasiswa diperkudakan untuk memperjuangkan agenda pihak lain. Lebih-lebih lagi dalam suasana liberalisme dan sosialisme yang sedang cuba menguasai pemikiran belia masa kini.

Akhir sekali, dalam apa cara kita ingin menyampaikan pandangan, ia haruslah bersesuaian dengan akhlak Islamiyyah. Kita menolak segala budaya-budaya negatif, keganasan, provokasi, menghina pihak lawan, perbuatan yg melampaui batas dan bertentangan dengan nilai-nilai murni.  Sesuai dengan tujuan Nabi diutuskan utk menyempurnakan akhlaq ummah.

Kesimpulannya, saya melihat demonstrasi merupakan salah satu cara yang sihat bg mahasiswa menyatakan pendirian sekiranya ia berpaksi pada garis paduan di atas. Semoga aktivisma mahasiswa terus subur dan bebas memperjuangkan agendanya yang tersendiri.

 

 

Ibrahim Mohd Hasan

Timbalan Presiden PEMBINA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top