Pecut Kencang Bagai Kuda ‘Adiyat – Dr. Abu Hassan

Dr. Abu Hassan berbincang dengan JKP

 

KUALA LUMPUR, 8 Jun 2011 – Satu sesi ramah mesra telah berlangsung diantara Wakil JKP PEMBINA bersama Dr. Abu Hassan Hasbullah, pengerusi Zentrum Future Studies Malaysia. Sesi tidak formal itu telah diatur bagi mendapatkan pandangan tokoh penganalisa tempatan itu berkenaan idealisme belia dan situasi semasa belia di Malaysia berdasarkan pengamatan dan kajian beliau.

 

Dalam pertemuan tersebut, Dr. Abu Hassan banyak menekankan kepentingan penerapan nilai kesedaran sivil dan partisipasi dikalangan belia. Beliau juga menggesa agar golongan belia bangkit dan sedar akan hak dan potensi mereka sebagai belia kerana aktivisme belia dilihat kian lesu dan membeku menurut pandangan beliau. Apabila  ditanya tentang realiti belia Islam terutamanya berbangsa Melayu di Malaysia, Professor di Universiti Malaya itu bersetuju dengan kenyataan bahawa belia Melayu berada dalam keadaan kritikal dan ketinggalan berbanding belia lain khususnya jika dibandingkan dengan belia di Eropah yang jauh terkehadapan dalam memperjuangkan agenda masa hadapan yang sejahtera untuk semua. Beliau kemudian memberi gambaran ideal belia yang aktif terlibat dalam aktiviti-aktiviti kesukarelawan, bijak dan berani menuntut hak, serta cergas, bertenaga dan kreatif dalam menjalani kehidupan dan membentuk masa depan.

 

Di akhir sesi tersebut, Dr. Abu Hassan menyeru belia agar sentiasa bergerak laju ke hadapan dan tidak diperalatkan untuk mengekalkan status quo atau mundur ke belakang. Beliau membuat seruan demikian dengan memberi perumpamaan kuda berlari dalam Surah Al-‘Adiyat, tidak dicipta untuk mundur, tetapi kencang memecut ke hadapan. Beliau berharap agar PEMBINA mampu membuktikan diri sebagai peneraju gerakan belia baru dalam mencipta arus ketamadunan Islam moden demi kesejahteraan masa depan negara.

 

Dalam pertemuan tersebut, JKP PEMBINA telah diwakili oleh Naib Presiden I Aizuddin Khalid, Setiausaha Agung Ust Salman Abdul Rahman dan Ketua JK Aktivisme Mahasiswa Usamah Izer.

Naib Presiden, Aizuddin menyerahkan cenderahati kepada Dr. Abu Hassan
JKP PEMBINA bersama Dr. Abu Hassan

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top