Pasukan Muda Bolasepak Negara : Tahniah & Semoga Berjaya

Sudah tentu minggu ini surat khabar tempatan banyak menceritakan tentang kehebatan anak muda kita di Piala Suzuki AFF 2010. Kehandalan anak muda Malaysia yang semuanya di awal 20an amat membanggakan kita, malah memberi inspirasi kepada bukan sahaja masyarakat belia di Malaysia, bahkan rakyat Malaysia keseluruhannya kerana mengharumkan nama negara di persada sukan antarabangsa.


Kemenangan 3-0 ke atas Timnas Indonesia begitu mempersonakan dengan adegan yang amat menarik dipamerkan. Bak kata orang, “ Tak rugi duit tiket , rasa RM50 tu murah aje”. Gandingan mantap Safee Sali dan Norshahrul , dibantu bahagian sayap S. Kunanlan dan Ashari Samsudin nyata menggegar gawang Indonesia. Pertahanan yang kemas begitu kukuh untuk dibolosi oleh Christian Gonzales mahu pun Bambang Pamungkas.

Sudah pastinya Malaysia akan lebih berhati-hati untuk perlawanan timbal balik di Gelora Bung Karno. Strategi bertahan seperti di Hanoi pastinya akan digunakan oleh Rajagobal. Kita berharap 90 minit seterusnya dapat dihadapi dengan penuh tabah, semangat kesukanan dan aksi yang terbaik dari pemain kebangsaan.

PEMBINA mengucapkan tahniah kepada pemain muda kita dan pastinya mendoakan yang terbaik buat pasukan Negara. Moga Allah menjadi lafaz yang pertama disebut tatkala kita meraih kemenangan. Majulah sukan untuk semua.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top