Rancang Bajet Anda

Istilah bajet mula dipopularkan ketika pembentangan belanjawan negara bagi tahun 2003 oleh Yang Amat Behormat Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bajet adalah satu istilah lain yang merujuk kepada istilah belanjawan di mana ia ditafsirkan sebagai “perhitungan banyaknya wang yang akan diterima (sebagai pendapatan) dan dibelanjakan, butiran ringkas anggaran pendapatan, dan perbelanjaan”. Dalam erti kata lain, ia adalah pelan perbelanjaan berdasarkan wang yang diperoleh atau dijangka untuk diperoleh.

Bajet merupakan antara perancangan yang penting dalam kehidupan seseorang. Hal ini kerana, perancangan yang teratur ketika menguruskan perbelanjaan mampu membantu seseorang untuk mengelakkan diri dari menghadapi masalah kewangan seperti berbelanja melebihi kemampuan dan seterusnya mengelakkan berhutang.

Seperti yang kita maklum, hutang merupakan sesuatu yang harus dielakkan sekiranya tiada keperluan mendesak. Bahaya hutang dapat dilihat daripada hadith Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh ‘Amr bin al-‘As r.a yang bermaksud “Diampunkan semua dosa bagi orang yang mati syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia)” (Riwayat Muslim).

Walaubagaimanapun, keadaan pada hari ini menyebabkan generasi belia banyak terbeban dengan masalah hutang. Bagi mereka yang terpaksa berhutang kerana memenuhi keperluan asas dan pelajaran, hal ini dapat difahami – selagi mana ia tidak bertentangan dengan syarak dan berdasarkan kemampuan. Namun, malang sekali apabila wang yang dipinjam itu dianggap sebagai wang sendiri lalu wang tersebut digunakan dengan senang lenang untuk perkara yang tidak perlu dan lebih teruk lagi jika wang yang dipinjam menjadikan seseorang itu terlibat dengan riba.

Di kalangan belia yang bekerja, kemudahan kad kredit yang senang didapati digunakan untuk perkara dan keperluan yang tidak mendesak secara tidak terkawal sehingga akhirnya boleh membawa kepada status muflis. Begitu juga di kalangan mahasiswa dan mahasiswi yang terlibat – wang pinjaman pelajaran digunakan ke arah sesuatu yang tidak menyumbang kepada perkembangan dan kematangan minda pelajar.

Oleh yang demikian, sebagai langkah awal untuk merancang bajet, wang yang diperoleh dan yang dibelanjakan hendaklah mula direkodkan supaya seseorang itu boleh mengenali dan menganalisa pola perbelanjaan mereka. Kenal pasti di antara keperluan serta kehendak dan dahulukan yang penting seperti simpanan kecemasan dan sebagainya.

Dengan berbuat demikian, seseorang boleh mengenal pasti sebarang perubahan yang perlu dilakukan ke arah pengurusan wang yang lebih baik. Hal ini penting kerana sebagai seorang Muslim, kita hendaklah memastikan bahawa nikmat yang diperoleh itu diuruskan dan diagihkan dengan baik kerana harta yang diperoleh merupakan satu amanah dari Allah s.w.t. Sesungguhnya, setiap nikmat yang diperoleh akan disoal oleh Allah s.w.t. ketika di akhirat kelak.

Disiplin dan mujahadah yang tinggi juga amat diperlukan untuk memastikan bajet yang telah dirancang dapat dituruti. Walaubagaimanapun, bajet boleh diubahsuai mengikut perkembangan semasa seperti pertambahan pendapatan dan perubahan harga barang.

Kesimpulannya, kita haruslah merancang dalam hal pengurusan harta dan kewangan untuk memastikan setiap pendapatan yang kita belanjakan adalah sesuai dengan kemampuan dan memberi manfaat. Walaubagaimanapun, kita hanya mampu merancang, Allah jua yang berkuasa untuk menentukan.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

”Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari bingung dan sedih. Aku berlindung kepada Engkau dari lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari pengecut dan kikir. Dan aku berlindung kepada Engkau dari lilitan hutang dan kesewenang-wenangan manusia.” Wallahu A’lam. M Hafez B Yusof Setiausaha Persatuan Belia Islam Nasional Cawangan Kuala Lumpur

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top