Objektif Hidup Muslim











Oleh:

Dr. Ahmad Kamsani Samingan

Timbalan Presiden

Persatuan Belia Islam Nasional(PEMBINA)

 

 

Lazimnya, setiap hujung tahun kita akan meletakkan azam baru untuk dicapai pada tahun yang berikutnya. Menurut Kamus Dewan versi maya, azam ditakrif sebagai kemahuan, keinginan atau cita-cita yang sangat kuat. Oleh itu, orang yang berazam adalah orang yang bercita-cita kuat untuk melakukan atau mencapai sesuatu.

 

Ramuan kejayaan

 

Islam adalah agama fitrah. Di atas fitrah inilah Allah s.w.t mencipta manusia


. Agama ini tahu bagaimana untuk memimpin manusia ke arah kebahagiaan yang hakiki di dunia dan akhirat. Inilah satu-satunya agama yang lurus. Firman Allah s.w.t:

 

“(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, Wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”. (Rum: 30)

 

Islam menghimpun segala ramuan kejayaan, sesuai dengan statusnya sebagai sistem kehidupan yang sempurna. Sesiapa yang sudi mengambil pengajaran daripada agama ini, lalu mempraktiskan prinsip-prinsipnya di alam realiti, pasti akan meraih kejayaan yang didamba. Salah satu ramuan Islam dalam resipi kejayaan manusia adalah mempunyai objektif hidup yang jelas. Sabda Rasulullah s.a.w:

 

“Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan”

 

Niat untuk melakukan sesuatu adalah qasad dalam hati yang dibuktikan dengan amalan. Dengan ini, niat hanya akan dikira sekiranya disertai perbuatan yang mendorong kepada terlaksananya tujuan tersebut. Tanpa perbuatan, qasad ini hanyalah sekadar lintasan hati, yang tiada implikasi balasan, sama ada pahala, mahupun dosa, kecuali apabila perbuatan tersebut terhalang oleh sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Kesungguhan untuk menterjemahkan keinginan hati yang diniatkan inilah yang dinamakan azam! Allah s.w.t berfirman dalam surah Ali Imran, ayat 159:

 

“kemudian apabila Engkau telah berazam (Sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya”

 

Sepatutnya setelah berazam, tiada lagi di sana istilah berpatah balik. Sebaliknya, yang ada hanyalah iltizam dalam perlaksanaan sehingga Allah memakbulkannya.

 

Dengan ini, dapat kita fahami bahawa objektif yang jelas itu mengandungi dua paksi; pertama ialah tahu apa yang hendak dicapai, dan kedua ialah tahu bagaimana hendak mencapai objektif tersebut.

 

Apa objektif hidup muslim?

 

Alhamdulillah… segala puji bagi Allah! Islam selaku agama fitrah tidak membiarkan umatnya terumbang-ambing tanpa objektif hidup yang jelas. Islam bukan sahaja telah menggariskan objektif, malah Islam juga telah menunjukkan cara untuk memenuhi objektif tersebut. Firman Allah s.w.t:

 

“Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu, serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di Akhirat). Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah Dengan jihad yang sebenar-benarnya Dia lah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamaNya); dan ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim. ia menamakan kamu: “Orang-orang Islam” semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dialah Pelindung kamu. maka (Allah yang demikian sifatnya) Dia lah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan” (Al-Hajj: 77-78)

 

Inilah dia objektif umat Islam! Allah s.w.t telah memilih kita, umat Islam, sebagai pemimpin yang mentadbir dunia dengan rahmat dan keadilan. Umat yang menjadi saksi kepada seluruh manusia. Umat pertengahan yang membuktikan kebenaran dan kesucian Islam dengan melaksanakan syari’at Allah dibawah petunjuk Al-Qur’an Al-Karim dan As-Sunnah Al-Mutahharah. Identiti umat ini adalah ubudiah total kepada Allah, manakala syiarnya adalah amar ma’aruf dan nahi munkar! Umat inilah yang ditunggu-tunggu oleh seluruh kemanusiaan. Matlamat ini tidak akan terlaksana melainkan wujud di atas muka bumi ini sebuah negara Islam yang mendokong dan memperjuangkannya.

 

Bagaimana caranya?

 

Perbincangan di atas menjelaskan kepada kita objektif umat Islam yang sebenar, iaitu menegakkan kembali sosok Islam yang syumul dan sempurna bagi mentadbir kehidupan manusia. Jalan untuk mencapai matlamat agung ini tidak lain dan tidak bukan, adalah melalui jalan jihad yang sebenar (Haqqa jihadih). Jihad yang berterusan tanpa mengenal letih. Jihad dengan mafhum yang luas yang didasari ilmu dan kejelasan, bukan didorong desakanan-desakan emosi yang sementara. Jihad yang hanya mampu dilaksanakan oleh orang yang berpegang teguh kepada Allah. Melalui jalan jihad inilah Allah akan memuliakan Islam dan umatnya.

 

Islam juga mengajar kita agar segera menyediakan bekalan. Sesungguhnya, sebaik-baik bekalan adalah takwa yang lahir daripada amal ibadah yang tulus ikhlas semata-mata mengharap keredhaan Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t:

 

“… dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah takwa; dan bertakwalah kepadaKu Wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).” (Al-Baqarah: 197)

 

Takwa hanya akan dapat dicapai melalui usaha yang bersungguh-sungguh untuk mentaati Allah. Ia berhajat kepada tarbiah individu yang rapi, iaitu tabiah yang mampu mengubah ilmu menjadi suluk dan tingkah-laku secara beransur-ansur dan berterusan; tarbiah rabbani yang berkiblatkan Al-Qur’an, As-Sunnah dan kehidupan salafussoleh; dan tarbiah waqi’e yang menghimpunkan pengalaman-pengalaman generasi yang terdahulu. Tarbiah inilah yang menjadi asas kepada perubahan dan kebangkitan umat ini.

 

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri” (Ar-Ra’d: 11)

 

Individu-individu bertakwa yang lahir melalui proses tarbiah ini digabungkan dalam organisasi yang tersusun, sehingga tenaga mereka menjadi arus yang mampu mempengaruhi keluarga dan masyarakat kepada Islam. Masyarakat inilah yang kemudiannya merintis kepada penegakkan sebuah negara yang bakal melaksanakan syari’at Allah. Negara-negara yang diasaskan di atas prinsip-prinsip Islam ini bergabung untuk membentuk empayar Islam yang terus berusaha membebaskan tanahair Islam yang masih terjajah serta berusaha mengembangkan Islam ke wilayah-wilayah yang belum diterokai, sehingga akhirnya, Islam muncul sebagai peneraju dunia dengan rahmat dan keadilan.

 

Penutup

 

Setelah segala perbincangan di atas, dapatlah kita simpulkan bahawa mempunyai objektif hidup yang jelas adalah suatu perkara yang penting dalam kehidupan manusia. Tanpanya, kehidupan manusia tiada ertinya. Kejelasan objektif hanya wujud jika kita tahu bagaimana cara untuk mencapai objektif tersebut. Islam tidak membiarkan umatnya tercari-cari objektif hidup. Setiap individu muslim mesti memahami bahawa Islam mentaklifkan mereka sebagai pemimpin dan pentadbir urusan kehidupan seluruh manusia, dan caranya adalah melalui jihad yang berterusan. Jihad yang sebenar berhajat kepada individu-individu muslim yang bertakwa, yang lahir daripada proses tarbiah yang rapi.

 

Allahu A’lam.

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top