Oleh: Hanafi Muidnudin
BANGI 2 Nov –Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) hari ini tidak penuhi peranan sebenar mereka berada di posisi tersebut.
Demikian menurut saudara Muhd Aiman bin Ahmad Faudzi, JK Kajian dan Informasi PEMBINA mengulas lanjut isu kredibiliti MPP dalam Pilihan Raya Kampus (PRK).
“Mereka bekerja keras untuk baiki dan tingkatkan infrastruktur kampus. Tapi itu tak cukup!. Kalau baca balik sejarah kampus mahasiswa antara dalam dan luar negara, sangat jauh berbeza ketinggalan kita di Malaysia ini”, tegasnya lagi.
Peranan MPP bukan hanya membawa isu di dalam kampus semata-mata, tetapi ianya jauh lebih besar daripada itu. MPP sepatutnya mampu membawa agenda pemikiran mahasiswa selaras dengan perkembangan pergerakan negara.
Beliau menyifatkan mahasiswa di Malaysia hari ini umpama ketinggalan dalam banyak perkara, tidak cakna akan perkembangan negara di luar kampus lantaran tiada pembawaan dari mana-mana pihak MPP berhubung isu ini.
“Berapa ramai hari ini MPP yang sentuh isu status kenegaraan antara ketegangan agama dan kaum, ekonomi Malaysia, permasalahan ancaman musuh di luar dan serangan ideologi?
“Langsung tidak ada”.
Dalam temuramah antara wartawan PEMBINA dengan saudara Aiman, beliau turut memberikan saranan tindakan untuk memperkasakan peranan MPP dalam kalangan mahasiswa di kampus universiti. Berikut adalah merupakan saranan penuh beliau:
1) MPP perlu kembali kepada peranan yang sebenar, bahkan perdayakan lebih jauh lagi agenda yang diketengahkan.
2) MPP perlu berperanan dalam menyampaikan suara mahasiswa mengikut laluan yang betul dan terbaik.
3) MPP perlu kisah akan situasi ancaman umat dan tindakan yang berlaku di luar.
4) MPP perlu lebih agresif berkomunikasi dengan badan kerajaan mahupun NGO luar bagi mendapatkan idea sekaligus mampu melahirkan graduan yang selari dengan perkembangan negara semasa.
5) MPP perlu berinteraksi dengan lebih dekat bersama masyarakat luar berhubung isu negara dan antarabangsa.