Gombak, 15 Oktober 2011- Kepesatan perkembangan teknologi maklumat dan media pada era masa kini telah berjaya membuka mata banyak pihak supaya berusaha menguasai kemahiran-kemahiran yang ada dalam bidang ini. Bidang yang berkembang bagai cendawan tumbuh selepas hujan ini semakin pesat berkembang seiring dengan perkembangan zaman.
Biro Media, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) telah mengambil langkah menganjurkan program ‘PEMBINA Got TALENT’ bagi memberikan pendedahan kepada ahli-ahli PEMBINA khususnya dan pelajar secara umumnya tentang kemahiran-kemahiran yang boleh diperolehi daripada bidang ini. Objektif bengkel selama sehari yang dianjurkan oleh PEMBINA ini lebih memberi penekanan kepada dua kemahiran yang sangat penting iaitu rekaan poster dan mengedit video. Hal ini selaras dengan gerak kerja dakwah Biro Media, PEMBINA di kampus dalam menghasilkan poster-poster dan video-video yang lebih menarik untuk ditayangkan bagi tujuan promosi mahupun persembahan media.
Program selama sehari yang dianjurkan ini telah berjaya menjemput tiga pembentang yang mempunyai kemahiran dan bakat yang hebat di dalam menggunakan aplikasi-aplikasi yang ada di dalam bidang teknologi ini. Mereka juga dibantu oleh para fasilitator yang terdiri daripada pelajar-pelajar yang mempunyai kemahiran dalam bidang ini. Manakala, para peserta pula terdiri daripada mereka yang mempunyai minat mendalam untuk mempelajari ilmu-ilmu dalam bidang ini.
Slot pertama program membentangkan kepada para peserta tentang sejarah kewujudan dan perkembangan teknologi di dunia. Globalisasi media, propaganda media dan pluralisme media merupakan antara isu-isu utama yang sangat menarik untuk diketahui. Kewujudan ruang lingkup teknologi yang lebih luas dan pelbagai telah menyebabkan berlakunya globalisasi media yang hebat, yang telah berjaya merentas benua-benua di alam raya ini.
Hal ini kerana, kebanyakan teknologi dan media yang telah dikembangkan oleh blok barat ini mempunyai propagandanya yang tersendiri untuk diraih dan dicapai. Lebih-lebih lagi isu ini telah disokong pula dengan pluralisme media umpama ‘pisau bercabang dua’, yang kelihatannya seperti membantu tetapi ianya juga boleh menikam kita pada masa yang sama. Jadi, sebagai seorang Islam, kita seharusnya mengambil bahagian yang sewajarnya dalam bidang teknologi dan media ini sebagai ‘pemandu’ yang dapat memimpin umat supaya tetap berada di atas landasan yang betul dan benar.
Slot kedua program merupakan slot bengkel yang mengajar tentang penggunaan Adobe Photoshop sebagai aplikasi menghasilkan poster. Slot ini telah dikendalikan oleh saudara Aiman Rosli. Para peserta kelihatan begitu bersemangat dan bersungguh-sungguh untuk mempelajari kemahiran menggunakan Adobe Photoshop. Setelah sesi pengenalan tentang aplikasi-aplikasi Adobe Photoshop diberikan, para peserta telah diminta untuk menghasilkan karya mereka sendiri dengan menggunakan perisian yang sama.
Selepas itu, saudara Faisal Kamarul Zaman pula mengisi slot ketiga bengkel yang mendedahkan kepada para peserta mengenai kemahiran menyunting video menggunakan perisian Adobe Premiere dan After Effect. Slot ini agak mencabar bagi para peserta kerana ianya berkapasiti tinggi untuk di muat turun ke dalam komputer riba masing-masing. Namun begitu kepuasan jelas terpancar daripada wajah para peserta kerana berpeluang untuk belajar kemahiran ini.
Majlis berakhir dengan penyampaian cenderahati penghargaan kepada para pembentang yang sanggup hadir pada program berkenaan. Semoga para peserta yang hadir dapat memanfaatkan segala kemahiran yang dipelajari dan mengaplikasikannya dalam lapangan kerja dakwah masing-masing. InsyaAllah.
Nurkamila bt Khazali,
Setiausaha,
Program PEMBINA Got Talent 2011.