MBM Khuatir Langkah Benarkan Penggiat Filem Tapis Filem Bawa Mudarat Kepada Belia

Oleh Fadzli Ramli

KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) — Majlis Belia Malaysia (MBM) pada Jumaat melahirkan kekhuatiran terhadap langkah kerajaan membenarkan penggiat filem menapis sendiri filem mereka dan bukan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) mulai tahun depan akan membawa mudarat kepada golongan belia.

Presiden MBM Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata ini kerana penggiat filem dilihat cenderung menggunakan elemen tarikan negatif bagi melariskan filem mereka dan penapisan oleh penggiat filem juga dikhuatiri tidak mempunyai keberkesanan yang tinggi bagi memastikan elemen itu tidak mempengaruhi belia di negara ini.

“Belia sekarang sudah dilimpahi elemen negatif daripada media baru di internet yang sukar kita selesaikan, sekarang kita hendak tambah elemen negatif daripada filem.

“Tindakan ini (penapisan oleh penggiat filem) mengancam kita daripada segala segi. Kita perlukan badan yang ‘credible’ seperti LPF untuk pastikan filem disiarkan sesuai untuk kita,” katanya kepada Bernama.

Rabu lepas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Mahmood Adam mengumumkan berkuatkuasa tahun depan semua penggiat filem di negara ini dibenar melakukan pengawal seliaan dan penapisan sendiri terhadap filem atau drama dihasilkan.

Pada Khamis Setiausaha Agung Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Norman Abdul Halim berkata PFM mampu menjadi badan yang menentukan rating kesesuaian tontonan sesebuah filem berdasarkan pengalaman luas yang dimiliki persatuan itu.

Mohamed Maliki berkata selain bebas elemen negatif, filem yang disiarkan juga perlu sesuai dengan budaya masyarakat berbilang kaum di negara ini bagi memupuk semangat 1Malaysia di kalangan belia.

“Proses penyesuaian perlu dilakukan kepada sesebuah filem bagi memastikan filem itu sesuai untuk memajukan minda belia kita dan supaya filem itu tidak menyentuh sensitiviti masyarakat berbilang kaum di Malaysia,” katanya.

Ditanya adakah penapisan oleh penggiat filem itu dapat memberi kebebasan kepada pengembangan pemikiran masyarakat terutamanya golongan belia, beliau berkata pendapat itu merupakan pendapat dangkal sesetengah pihak.

“Elemen negatif tidak mungkin dapat mengembangkan pemikiran belia, kita harap pihak yang berkaitan jangan lepaskan tanggungjawab mereka. Lakukan yang terbaik demi generasi akan datang,” katanya.

Setiausaha Agung Persatuan Belia Islam Nasional Salman Abdul Rahman berkata penapisan filem yang ketat tidak mengganggu kreativiti sesuatu filem asalkan kreativiti itu berbentuk positif.

“Jika kita lihat di Barat terutamanya, filem yang dihasilkan pembuat filem bebas mempunyai dua sudut kreativiti iaitu negatif dan positif. Kreativiti negatif berbentuk ganas dan seks misalnya tidak perlu diikut pembuat filem kita.

“Kreativiti positif seperti filem bercorak jati diri dan semangat kenegaraan pula perlu kita contohi dan ikuti. Maka kita perlu badan seperti LPF untuk menapis filem dihasilkan daripada kreativiti pembuat filem kita,” katanya.

Salman berkata walaupun LPF punyai kelemahan tertentu dalam proses penapisan filem mereka, namun memberi tanggungjawab menapis filem kepada pembuat filem bukan penyelesaian untuk memastikan filem di negara ini bersih daripada unsur negatif.

Beliau berkata LPF sebaliknya perlu mengukuhkan proses penapisan itu sendiri dengan melantik para cendekiawan bidang perlu seperti agama, sosial dan budaya menganggotai jawatankuasa penapisan.

“Proses penapisan ini perlu seperti ‘menarik rambut dalam tepung’, bila ditapis belia masih gemar menonton filem itu, penggiat filem tidak terganggu kreativiti dan filem itu bersih daripada unsur negatif,” katanya.

Nur Jaziedah Jeed Zulkefli, 23, pula berpendapat langkah membenarkan penapisan dilakukan oleh penggiat filem akan memberi lebih ruang kepada penggiat filem untuk berkarya, dalam masa yang sama dapat menghasilkan filem yang mempuyai ‘pandangan lebih luas’.

“Filem yang mempunyai pandangan luas akan memberi impak kepada masyarakat antaranya memberikan pengajaran dan nilai moral tinggi. Sebelum ini LPF selalu menerima kritikan atas ‘penapisan keterlaluan’ atas sesebuah filem.

“Bila penapisan diberi kepada penggiat filem, mereka akan diberi lebih tanggungjawab memastikan penapisan mereka tepat dan mengikut kesesuaian penonton. Ini mematangkan mereka bagi menghasilkan filem yang lebih bermutu, bukan filem ‘lepaskan batuk ditangga’,” katanya yang bertugas di sebuah stesen penyiaran.

Amileen Nadia Roslee, 20, seorang pekerja swasta berkata filem perlu ditapis oleh LPF kerana LPF merupakan badan yang mampu menapis filem dengan lebih berkesan daripada penggiat filem itu sendiri.

“Penapisan perlu dibuat dengan berkesan supaya unsur negatif dalam filem tidak mempengaruhi golongan belia seterusnya menggalakkan belia melakukan gejala negatif,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top