Media Perdana jangan suburkan budaya lucah dalam masyarakat

Rentetan tindakan media perdana termasuk akhbar Utusan Malaysia, Kosmo dan TV 3 menyiarkan gambar yang dikatakan skandal seks membabitkan pimpinan pembangkang, PEMBINA mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan yang wajar sama ada menyaman atau menggantung lesen penyiaran sehingga media terbabit mengemukakan permohonan maaf kepada rakyat Malaysia dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan yang sama.

Media mempunyai tanggungjawab dan peranan yang besar dalam mendidik dan membina masyarakat yang bermaruah. Sebagai media arus perdana, seharusnya pengamal media sedar akan kesan buruk terhadap tahap pemikiran masyarakat terutamanya remaja dan kanak-kanak apatah lagi di zaman masyarakat kita dilanda krisis sosial yang parah.

Politik tanahair semakin hari semakin berkiblatkan acuan real-politik yang diperkenalkan barat. Budaya ‘character-assasination’ yang menjadi amalan biasa ahli politik di negara kita hari ini dilihat telah mengheret sama anggota masyarakat ke dalam permainan politik mereka, yang akhirnya merugikan dan memangsakan masyarakat. Politik tanah air bukan lagi bertanding atas kredibiliti agenda pihak-pihak yang bertanding, tetapi di atas pertarungan menjatuhkan maruah antara satu sama lain.

Media seharusnya memainkan peranan penting dalam mendidik masyarakat mengamalkan etika, moral dan akhlaq yang tinggi, serta yang paling utama meletakkan agenda nasional sebagai neraca pertimbangan.

Sesuatu yang dianggap amat malang untuk masyarakat apabila media terus dijadikan alat politik murahan berbanding menjadi medium membangun masyarakat yang bermaruah tinggi. Dengan momokan sebegini dikhuatiri akan membentuk normalisasi kepada masyarakat dengan menganggap adegan tidak bermoral itu sebagai satu kebiasaan yang harus diterima.

Insiden ini bukanlah kali pertama yang berlaku pada media terbabit sebagai institusi-institusi media profesional. Dengan tahap penerbitan seperti ini, memberi signal negatif kepada integriti institusi media serta kewartawanan di negara kita.


Profesionalisme media perlu dipertingkatkan dan diperkukuhkan sejajar dengan tanggungjawab sosial yang besar.

Apa yang lebih membimbangkan, tindakan media-media pro-kerajaan pada hari ini akan menjadi lampu hijau kepada media pro-pembangkang untuk bertindakbalas dengan cara yang sama atas alasan kebebasan media. Ðan akhirnya masyarakat awam terutama kanak-kanak dan remaja yang menjadi mangsa di atas sikap tidak bertanggungjawab pengamal media.

Justeru itu, PEMBINA menyeru kepada SEMUA pengamal media untuk kembali memuhasabah tanggungjawab mereka dalam membina masyarakat yang berakhlak dengan menapis berita mereka sesuai dengan keperluan masyarakat.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top