MANISNYA RAMADHAN MEREKA, RAMADHAN KITA?

Alhamdulillah , ketika ini kita masih lagi sempat beribadah dengan penuh penghayatan dalam bulan Ramadhan.Bermunajat pada sang Pencipta siang dan malam, peluh penat dalam beribadah sungguh manis rasanya.

 

Ingin saya membawa pembaca mengingati peristiwa Ramadhan tahun lepas, apa ya ?

 

Mesir,sebuah Negara yang berpresiden sah iaitu Dr. Morsi, dirampas kuasanya dengan kejam, rakyat yang dibunuh beramai-ramai tanpa belas kasihan, sepanjang Ramadhan itu mereka berkumpul, terawih bersama-sama, berbuka, bersahur bersama-sama, dan juga berdoa bersama-sama, namun ujian Allah tetap ada selepas itu seperti yang kita ketahui, itulah manisnya Ramadhan  mereka, penuh dengan perjuangan yang berkat, insyaAllah.

 

Tahun ini, Ramadhan 1435H, sekali lagi umat islam di seluruh dunia dikejutkan dengan kekejaman Israel, mengebom rakyat Palestin di Gaza tanpa ehsan sedikit pun,namun tentera Al-Qassam bangkit dengan kekuatan perang yang hebat tahun ini, itulah mereka, berlandaskan jihad pada Allah segalanya mampu dilaksanakan walaupun disekat-sekat pergerakkannya. Ketahuilah umat islam itu kuat, kuat pada segalanya jika mereka mahu! Dan hari ini terbukti dengan keimanan yang terletak tinggi pada Allah, mereka mara menentang Israel.

 

Itulah manisnya Ramadhan mereka,penuh dengan perjuangan yang penuh berkat! insyaAllah. Dan Ramadhan kita, apa yang kita mampu tolong mereka?

Jawapannya terletak pada kita, banyak yang boleh kita buat sebenarnya,antaranya dengan berdoa dan memberi sumbangan , kita boleh juga memberi sumbangan tenaga dengan mengutip derma orang ramai.

Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya .Al-Baqarah :261

 

Jika dulu,pada suatu ketika peristiwa perang Badar, bagaimana Allah mengatur segalanya dengan teliti, umat islam menang dengan bilangan tenteranya yang sedikit . Dan hari ini umat islam akan terus diuji ,itulah sunnatullah.

Ketahuilah firman Allah yang berbunyi;

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).
Al-Baqarah, 214)

Ayuh kita kembali kepada Ramadhan kita, adakah semanis yang diimpikan, dikala kesibukkan bekerja ramai yang mungkin terlupa Ramadhan bulan yang penuh keberkatan, ramai yang berpuasa kerana apa? Rayakah ?

 

Jika dulu kita diusik dengan ungkapan orang tua “ Siapa tidak berpuasa tidak boleh Raya”.Tapi hari ini, usiklah diri kita dengan ungkapan “siapa tak beribadat bersungguh-sungguh di bulan Ramadhan pasti dia rugi!”

 

Dua per empat Ramadhan telah berlalu, ayuh koreksi diri, apa yang kita telah buat, sejauh mana kesungguhan kita?, maniskah Ramadhan kita?

 

Ketahuilah , masih belum terlambat mengejar kemanisan Ramadhan. Jadikan Ramadhan anda semanisnya Ramadhan mereka.

 

Nordie bt Hashim

Ketua Beliawanis

PEMBINA Pasir Puteh.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top