Pernahkan terjadi kepada anda, memasuki sebuah ‘Butik Muslimah’, namun akhirnya keluar dengan kecewa kerana baju-baju dan tudung yang dijual tidaklah ‘muslimah pada segi syariat’ tetapi sekadar muslimah pada label jenamanya. Hanya sekadar dilabelkan dengan pelbagai nama srikandi muslimah terdahulu mahupun nama-nama Islamik yang indah ertinya, namun apabila diteliti rekaan pakaian, jenis kain mahupun perhiasan padanya jelas tidak mematuhi tuntutan syariat dalam menutup aurat wanita.
Pernahkah juga anda melihat rancangan televisyen yang bertemakan fesyen muslimah, tetapi anda tidak sanggup menontonnya sehingga tamat rancangan kerana merasa pelik dan hairan dengan fesyen yang ditayangkan, tidak lebih sekadar muslimah pada kain-kain yang dibelit membaluti kepala.
Berbanding sepuluh tahun lalu, kini kesedaran wanita untuk berpakaian muslimah adalah jauh lebih baik. Tidak kira baik di kalangan masyarakat biasa mahupun golongan artis. Suatu ketika dahulu, tidak terjangkau fikiran bahawa seorang artis boleh berhijab, kini seorang demi seorang telah berhijrah kembali kepada fitrah. Pastinya, ini dalah fenomena yang positif, dan membentuk arus baru kepada dunia fesyen di kalangan generasi muda. Namun sayangnya, kesedaran ini diambil kesempatan oleh sesetengah pengusaha, penjual pakaian mahupun pereka fesyen untuk menjual dan mereka produk mereka atas label ‘Muslimah’ tanpa mengira tanggungjawab mereka untuk memastikan pakaian tersebut benar-benar mematuhi syariat Islam. Bagi sebahagian besar wanita muda khususnya yang sering terperangkap antara keperluan menutup aurat, tetapi tetap ingin dilihat trendy dan tidak ketinggalan zaman dalam berfesyen, sering terpedaya dalam membuat pilihan.
Suatu yang jelas haram, mudah untuk dijauhi dan dielakkan. Suatu yang bercampur antara halal dan haram, bukan sekadar sukar untuk dikenal pasti, malah lebih bimbang lagi masyarakat semakin keliru dan tidak faham definisi sebenar menutup aurat dan berhijab. Kini, bukan sekadar untuk membeli baju, jubah dan tudung, malah membeli telekung juga perlu berhati-hati supaya pakaian yang dibeli benar-benar menepati syariat Islam.
Kita tidak mahu pakaian muslimah yang sepatutnya menyelamatkan wanita dari api neraka, berubah menjadi punca fitnah yang membawa derita. Hadith Rasulullah SAW wajar kita renungi,
Dan orang-orang perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang, berjalan dengan bergaya (melenggang lenggok), kepala-kepala mereka seperti bonggol-bonggol unta (mereka meningalkan gumpalan-gumpalan rambut mereka dan berhias), mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mendapati baunya.” (Sahih Muslim).
Sempena Ramadhan dan Syawal yang bakal menjelang, sudah pasti ramai wanita di luar sana masih ramai yang teracari-cari ‘baju raya’ untuk tahun ini. Semoga neraca syariat Islam, dijadikan panduan dalam membeli pakaian anda untuk aidilfitri yang bakal menjelang. Ingat enam formula ini; tidak ketat, tidak jarang, tidak menyerupai lelaki, tidak menyerupai agama lain, tidak tabarruj (berlebih dalam berhias) dan bukan untuk menunjuk-nunjuk. Dan jadikanlah diri kita Model Busana Muslimah yang sebenar seperti yang dicintai Allah pada Syawal nanti.
Salam Aidilfitri,
Dr Norbaiyah Mohamed Bakrim,
Ketua Beliawanis PEMBINA Cawangan Pahang.