KUALA LUMPUR, 31 Ogos- “Mahasiswa di IPT sebenarnya mampu melakukan lebih banyak perkara yang boleh membantu saudara kita di Palestin daripada mana-mana kelompok umur yang wujud di masyarakat sekarang ini. Selain memberi bantuan dalam bentuk kewangan dan sokongan moral, mahasiswa mampu dan seharusnya bersungguh-sungguh dalam menyedarkan orang ramai termasuk mahasiswa lain akan keadaan dan situasi yang sedang berlaku di Palestin. Gunalah kelebihan pemuda yang ada pada sosok bergelar mahasiswa untuk menyeru orang ramai dengan berkempen dan sebagainya.
“Mahasiswa berada dalam satu usia yang kita boleh panggil sebagai ‘usia emas’, yakni usia yang sangat berharga, iaitu usia seorang pemuda. Pemuda telah memainkan peranan yang sangat penting dalam mana-mana sejarah tamadun atau kebangkitan mana mana kerajaan. Sebab itulah, bukan sekadar isu remeh-temeh sehaja seorang mahasiswa harus uruskan, malah mahasiswa juga harus cakna perihal isu umat Islam sejagat lalu bertindak semampunya dala kapasiti mahasiswa. Mahasiswa yang hanya mengambil berat akan urusan remeh temeh adalah mahasiswa yang tidak realistik dan layu dari segi aktivisme dan semangat himmahnya,” ulas saudara Rais Abdul Rahman, Ketua PEMBINA UM.
Beliau berkata demikian dalam sesi wawancara selepas program konvoi Honk4Gaza pada hari ini.
Saudara Rais Abdul Rahman merupakan tokoh muda yang sering ke hadapan dan lantang bersuara menentang liberalisme dan anasir-anasir lain yang semakin berleluasa di Universiti Malaya. Bukan itu sahaja, beliau juga aktif menyertai aktiviti kesukarelawanan memperjuangkan isu Gaza. Pada hari ini, beliau telah menyertai satu kempen sempena Bulan Kemarahan Ummah anjuran PEMBINA Kuala Lumpur dan Aman Palestin iaitu program konvoi Honk4Gaza.
Program yang diadakan pada 31 Ogos 2014 itu melibatkan sukarelawan dari seluruh pelosok ibu kota. Sebanyak 15 buah kereta telah bergerak menelusuri lebuh raya NKVE bersama sepanduk beserta kibaran bendera Malaysia dan Palestin yang berkibar megah menandakan kegembiraan atas kemenangan Gaza dan kemerdekaan Malaysia yang disambut pada hari ini. Konvoi itu melibatkan 20 buah kereta dan lebih 50 orang peserta yang mula bergerak dari Kampung Pasir pada pukul 10 pagi tadi.
Di akhir wawancara beliau berpesan kepada mahasiswa untuk berpegang dengan ajaran Islam yang sebenar dan mahasiswa diseru supaya mengambil inisiatif untuk mempersiapkan diri serta pegangan aqidah, dan menjadikan Islam sebagai cara hidup yang menyeluruh. “Jadikan Allah itu sebagai matlamat dan tujuan hidup, sunnah Rasulullah dan Al-Quran sebagai panduan, dan syurga itu sebagai destinasinya,” ujarnya.