Firman Allah : Sekali-kali Yahudi dan Nasrani tidak akan redha kepada kamu (umat Islam) sehinggalah kamu mengikuti cara hidup dan agama mereka. [Surah Al-Baqarah : 120]
An-Nakbah merupakan suatu perkataan Arab yang dari segi bahasa bermaksud malapetaka. Pada 15 Mei setiap tahun bermula pada tahun 1948, hari ini dikenang sebagai An-Nakbah, bukan sahaja semata-mata kepada bangsa Palestin, dunia Arab dan negara-negara Islam, bahkan buat kemanusiaan secara keseluruhan.
Pada 14 Mei 1948, Megilat HaAtzma’ut (Pengisytiharan Kemerdekaan) Israel telah disiapkan sehari sebelum Mandat British di Palestin tamat tempoh. David Ben-Gurion, Ketua Eksekutif Pertubuhan Zionis Sedunia dan Pengerusi Agensi Yahudi Untuk Palestin telah mengisytiharkan penubuhan sebuah negara Yahudi yang dikenali sebagai Negara Israel. Bermula dari hari itu, tarikh keramat 15 Mei disambut sebagai Hari Kemerdekaan Israel bagi orang-orang Yahudi Zionis, manakala ia dikenang oleh bangsa Arab dan umat Islam sebagai Hari An-Nakbah.
Rantaian konspirasi
An-Nakbah pada hakikatnya tidak bermula pada tahun 1948. Bahkan sejarahnya telah tercatat di halaman sejarah bermula kira-kira dua kurun sebelum itu. Pada tahun 1799, Napoléon Bonaparte (1769-1821), Penguasa Diktator Kerajaan Perancis yang telah memimpin bala tentera dalam kempen peluasan jajahan bagi Perancis dan persaingan dengan kuasa penjajahan British, telah cuba maju menakluki bumi Palestin dengan memberikan tawaran kepada bangsa Yahudi untuk mendapatkan bumi Palestin sebagai negara mereka di bawah naungan Perancis.
Setelah persaingan usaha penjajahan dan kolonialisasi di antara British dan Perancis ditamatkan melalui Perjanjian Amiens pada Mac 1802, Palestin kembali menjadi rebutan Yahudi Zionis melalui mandate kolonial British.
Der Judenstaat
Seorang pemimpin penting gerakan Zionisme, Theodore Herzl (1860-1904), seorang wartawan Yahudi berasal dari Austria-Hungari telah menulis sebuah buku, Der Judenstaat (The Jewish State) yang menjadi dokumen asas rujukan agenda penubuhan sebuah negara untuk bangsa Yahudi pada tahun 1895. Buku ini telah diterbitkan pada 1896. Kebencian bangsa Eropah terhadap bangsa Yahudi yang menetap di sana menjadi factor pendesak kepada penubuhan sebuah negara baru untuk seluruh bangsa Yahudi.
Di dalam buku tersebut, beliau telah menzahirkan hasrat bangsa Yahudi untuk meninggalkan Eropah, menyatukan bangsa Yahudi dan membina negara bangsa yang baru, sama ada di Argentina atau di Palestin. Tulisan beliau ini telah mendapat sambutan dari seluruh bangsa Yahudi di seluruh dunia termasuk gerakan-gerakan Zionis seperti Hovevei Zion dan diterjemahkan ke beberapa bahasa.
Kongres Yahudi Sedunia 1
Pada tahun 1897, rentetan sokongan yang diberikan dan desakan yang ada, Kongres Yahudi Sedunia kali pertama telah diadakan di Basel, Switzerland dan Theodore Herzl telah dilantik sebagai Presiden.
Sehari selepas kongres ini, ketika diwawancara oleh wartawan, beliau telah berkata, “Seandainya saya mengisytiharkan kepada dunia berkenaan agenda menubuhkan negara untuk orang Yahudi ini dalam tempoh lima tahun dari sekarang, sudha pasti mereka akan mentertawakan saya. Tetapi dalam tempoh 50 tahun, tiada sesiapa yang berani mentertawakan perkara ini.”
Bermula pada tahun 1898, siri-siri hubungan diplomatik dibina dengan tujuan mendapatkan sokongan kuasa-kuasa dunia terhadap penubuhan negara Israel. Pada tahun ini juga, buat kali pertama, Theodore Herzl telah melawat Palestin.
Herzl bertemu Khalifah, Sultan Abdul Hamid 2
Melihat peluang yang ada, bermula dari tahun 1896 sehingga 1901, Herzl dengan bantuan Raja Philip Michael Newleński, seorang pembesar di Eropah yang bersimpati dengan Herzl dan mempunyai hubungan politik dengan Sultan Abdul Hamid 2, berkali-kali berusaha mengadakan pertemuan dengan Sultan untuk menyampaikan hasrat mendapatkan Palestin, malangnya tidak diendahkan sehingga selepas lima tahun.
Pada 17 Mei 1901, di dalam satu pertemuan, Sultan Abdul Hamid telah menolak semua tawaran Herzl untuk mendapatkan Palestin bagi membina negara untuk kaum Yahudi. Di antara tawaran Herzl kepada Sultan adalah untuk menyelesaikan semua hutang kerajaan Uthmaniyah bersama hadiah wang emas sebanyak 50 juta Lira Emas, diberikan hubungan politik yang baik dengan kuasa-kuasa dunia termasuk Amerika dan Eropah serta dibinakan sebuah universiti dengan nama khalifah di Baitul Maqdis.
Sultan Abdul Hamid telah memberikan jawapan yang tegas terhadap tawaran tersebut dengan kata-kata, “Walaupun kamu membayar aku dengan emas memenuhi bumi, sekali-kali tidak akan aku terima. Sesungguhnya bumi Palestin bukan milik aku, ia milik umat Islam. Ia dibuka oleh Umat Islam dengan darah. Tidak mungkin sesekali ia dijual. Dan seandainya suatu hari nanti, empayarku ini runtuh, boleh jadi kami boleh mendapatkannya tanpa sebarang harga.”
Sultan Abdul Hamid lantas mengeluarkan titah agar mengharamkan penghijrahan Yahudi ke bumi Palestin.
Tawaran British
Dalam Kongres Yahudi Sedunia keenam pada tahun 1903, tawaran British untuk memberikan negara Uganda yang merupakan sebahagian jajahan British untuk idea penubuhan negara Yahudi telah didebatkan dan akhirnya ditolak. Di antara factor-faktor penolakan Yahudi menjadikan Uganda seluas 5,000 batu persegi sebagai negara adalah ia akan menyukarkan usaha mereka mendapatkan Palestin sebagai tanah suci mereka. Dengan mengambil Uganda juga dilihat agak sukar untuk mereka mengabsahkan kelayakan mereka di sudut sejarah untuk mendakwa sebagai hak orang-orang Yahudi.
Selepas kematian Theodore Hersl pada tahun 1904, usaha dan agenda penubuhan negara Yahudi ini tetap diteruskan oleh gerakan Zionis tersebut.
Deklarasi Balfour, November 1917
Suatu perutusan dari Setiausaha Luar Negara British, Sir Arthur James Balfour, telah dihantar kepada Baron Rothschild selaku pemimpin komuniti Yahudi British telah menyatakan sokongan penghijrahan Pertubuhan Zionis British & Ireland ke Palestin. Perutusan ini dikenali sebagai Deklarasi Balfour. Dokumen ini mengandungi penyataan komitmen British terhadap semua usaha menubuhkan sebuah negara sebagai tanahair orang Yahudi di Palestin termasuk memberikan kuasa politik bersama penduduk asal.
Rentetan deklarasi ini, seluruh warga Arab dan umat Islam bangkit menyatakan bantahan mereka. Kuasa-kuasa politik Arab telah menghantar petisyen-petisyen membantah deklarasi tersebut.
Rakyat Palestin menjadi mangsa
Gerakan Zionis telah melakukan persiapan yang rapi dan teliti untuk mendapatkan negara Palestin. Bermula tahun 1947 sehingga Januari 1949, kira-kira 711,000 hingga 725,000 orang rakyat Palestin menjadi pelarian perang meninggalkan rumah, harta dan kampung halaman mereka. Angka yang besar ini meliputi kira-kira 50%-80% penduduk asal Palestin.
Pengganas Yahudi telah membunuh rakyat Palestin dengan kejam bertujuan menakutkan mereka agar meninggalkan rumah dan kampung halaman serta memporak-perandakan sistem masyarakat yang ada, sekaligus menimbulkan perasaan takut di kalangan rakyat Palestin untuk tinggal di bawah pemerintahan Yahudi.
Contohnya dalam peristiwa berdarah di Deir Yasin yang berlaku pada 9 April 1948, kira-kira satu minggu sebelum pengisytiharan negara Israel, 120 orang pengganas Yahudi dari kumpulan Irgun Zevai Leumi dan kumpulan Lohamaei Herut Israel telah menyerang di awal subuh tidak kurang 600 penduduk kampung Deir Yasin dan membunuh 250-360 orang termasuk wanita dan kanak-kanak.
Pengisytiharan Malapetaka 1948

Deklarasi penubuhan negara Israel telah diadakan di Independence Hall di Tel Aviv, dan dijalankan secara tertutup, manakala jemputan disampaikan secara rahsia. Israel ketika itu bimbang pengisytiharan secara meluas akan menarik perhatian pihak berkuasa British di Palestin dan ancaman tentera Arab terhadap mereka ketika itu.
Sebaik sahaja penubuhan negara Israel diisytiharkan, Presiden Amerika merupakan individu terawal yang mengisytiharkan sokongan mereka. Ini diikuti oleh pemimpin negara Iran, Guatemala, Iceland, Nicaragua, Romania dan Uruguay. Manakala Soviet Union Rusia merupakan negara pertama menyatakan sokongan rasmi terhadap penubuhan negara Israel, diikuti oleh Poland, Czechoslovakia, Yugoslavia, Ireland dan Afrika Selatan.
Perang Arab-Israel
Rentetan pengishtiharan negara haram Israel ini, negara-negara Arab termasuk Mesir, Jordan, Iraq dan Syria mula melancarkan pengisytiharan perang terhadap Israel. Walaubagaimanapun, kekalahan negara-negara Arab di dalam peperangan ini telah mengukuhkan lagi kedudukan Zionis Israel di bumi Palestin.
Ketika perjanjian perdamaian yang ditandatangani di antara Israel dan Syria pada 24 Julai 1949, Israel telah pun menguasai hampir 50% lagi kawasan negara Palestin berbanding sebelumnya.
Penghijrahan

Dalam tempoh tiga tahun bermula 1948, kira-kira 700,000 orang Yahudi telah berhijrah ke bumi Palestin. 250,000 dari angka tersebut adalah orang Yahudi yang tidak mempunyai tempat tinggal setelah tamatnya Perang Dunia Kedua. Sehingga tahun 1970-an, kira-kira 1 juta Yahudi telah meninggalkan negara-negara Arab yang mereka tinggal sebelum itu menuhu ke negara haram Israel.
Sebaliknya, dilaporkan kira-kira 711,000 orang rakyat Palestin yang merupakan penduduk asal, terpaksa meninggalkan tanah air mereka dan menjadi pelarian di negara-negara sekitar Palestin.
Pengajaran
Usaha Yahudi Zionis menjajah negara Palestin telah dilakukan secara terancang, teliti dan tersusun dalam satu tempoh masa yang panjang. Konspirasi Yahudi Zionis yang melibatkan kuasa-kuasa besar telah meruntuhkan simbol kekuatan dan perpaduan umat Islam iaitu sistem Khilafah yang merupakan banteng terakhir umat Islam. Kekalahan umat Islam di dalam penentangan mereka terhadap kekejaman Yahudi Zionis berpunca daripada kelemahan mereka sendiri termasuk perpecahan, peperangan sesama sendiri dan jauh dari ajaran Islam yang sebenar.
Selama lebih 60 tahun, hak rakyat Palestin untuk mendapatkan kembali negara mereka yang dirampas telah didiskriminasi dan dinafikan oleh mana-mana kuasa dunia termasuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Pendirian Sultan Abdul Hamid 2 membuktikan bahawa isu Palestin bukan semata-mata isu bangsa Arab, bahkan ia adalah isu umat Islam secara keseluruhan kerana di sana terletaknya Masjid Al-Aqsa, tempat suci umat Islam. Seluruh umat Islam harus kembali bangkit menghayati ajaran Islam seterusnya membebaskan Masjid Al-Aqsa dan bumi Palestin.
Firman Allah di dalam Al-Quran :
“Maha suci (Allah) yang telah memperjalankan hambaNya (Nabi Muhammad SAW) pada suatu malam, dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Baitul Maqdis) yang telah Kami berkati di sekelilingnya, untuk Kami memperlihatkan kepadanya (Nabi Muhammad SAW) tanda-tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Dia (Allah) Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” [Surah Al-Isra’ : 1]
Oleh,
Ustaz Salman Abdul Rahman
Setiausaha Agung,
Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)
**Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Palestin, lawati www.amanpalestin.net