Belia adalah permata umat, bangsa dan negara. Apabila dikatakan permata, memberi makna ianya sangat berharga. Proses penggilapan dan pemantapan permata ini akan melahirkan belia yang berkualiti. Sekiranya permata ini tidak digilap dan dijaga rapi maka kilauannya akan makin malap. Itulah realiti belia kita, pudar dan kusam.
Tinjauan yang dilakukan oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mendapati 6 juta belia Melayu Musllim celaru identiti diri. Mereka tidak sedar mereka ialah insan yang telah diberi hak keistimewaan oleh Allah SWT untuk membawa watak seorang Muslim. Mereka lebih bangga mengagungkan idola-idola Barat daripada berbesar hati menjadi seorang Melayu Muslim sejati.
Tidak dapat tidak, belia yang berkualiti adalah belia yang mempunyai agenda yang jelas dalam kehidupannya. Agenda untuk menyatukan bangsanya dan mendaulatkan agamanya. Bagi mendokong agenda yang besar ini dalam kehidupan ianya amat ditentukan oleh disiplin diri. Bermula dari sekecil-kecil perkara sehinggalah kepada sebesar-besar perencanaan, semuanya bergantung kepada sejauh mana kita mampu meneliti disiplin kendiri dengan rapi.
Sedarkah kita menjaga disiplin sama ertinya dengan mengekang hawa nafsu? Cuba fikirkan dengan sedalam-dalamnya. Disiplin membawa kita kepada patuh kepada satu garis panduan. Contoh mudah ialah menepati masa. Apa yang menyebabkan kita selalunya gagal menepati masa? Sudah tentu jawapan popular yang bakal diberi ialah banyak kekangan yang menyebabkan kelewatan. Bijak sekali menyusun alasan. Tetapi sebenarnya kita semua tahu jawapan yang hakiki, kita suka melengah-lengahkan segala macam perkara. Gagal dalam merancang kerangka masa sesuatu aktiviti menyebabkan kita lewat untuk meneruskan aktiviti kehidupan yang seterusnya.
Isunya mudah dan ringkas; kita kalah dengan nafsu yang suka kepada leka dan alpa sehinggakan kita tidak sedar masa berlari meninggalkan kita. Akhirnya syaitan bertepuk sorak melihat kedangkalan kita hanyut dibuai nafsu sedangkan kita hanya mampu menopang dagu termanggu-manggu dan tertanya-tanya akan sebab musabab mengapa kita masih juga belum mencapai apa yang kita telah rencanakan. Disiplin bukanlah teori yang hanya mampu dituliskan berkajang-kajang atas lembaran. Ianya lebih menjurus kepada praktikaliti dan pengaplikasian. Amal lebih penting daripada hanya duduk menulis kata ataupun bersila melebarkan bicara. Begitulah dengan disipilin, ia mesti diamalkan secara istiqamah dan jujur.
Disipilin dengan peraturan Allah SWT yang telah ditetapkan memerlukan kepada mujahadah yang berpanjangan. Berusaha menidakkan keinginan hawa nafsu yang sentiasa sukakan kepada kebatilan bukanlah semudah meniup api lilin. Adakalanya kita juara tapi ada masanya kita tewas jua. Inilah lumrah kehidupan seorang manusia yang pasti terpalit noda.
Apa yang lebih utama ialah kita mesti tekun berusaha memantapkan disipilin diri dari semasa ke semasa tanpa rasa putus asa supaya amal kita semakin hari semakin baik disisi Allah SWT. Apabila kita mampu mencorak disiplin diri, insyaAllah kita akan mampu mencorak disiplin masyarakat di sekeliling kita dan akhirnya kita akan berupaya mencapai matlamat kita dalam mempersepakatkan bangsa dan mendaulatkan agama kita.
“Tegakkanlah Islam di dalam dirimu nescaya engkau akan melihat Islam akan tertegak di sekitarmu.”
Wallahu’alam.
Norinsafrina Mustaffa Kamal
AJK PEMBINA Perak