GONG BADAK, 13 Ogos – PEMBINA Kuala Terengganu telah mengadakan Majlis Berbuka Puasa bertempat di Surau Al-Amin. Program yang julung kali diadakan ini adalah bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara ahli-ahli PEMBINA Kuala Terengganu yang terdiri daripada pelajar-pelajar IPT sekitar Kuala Terengganu dan juga yang sudah bekerjaya di samping menambah amal di bulan yang mulia ini.
Program bermula seusai solat Asar secara berjemaah diikuti dengan bacaan al-mathurat. Kemudian, aturcara diteruskan dengan perkongsian ringkas yang telah disampaikan oleh Pengerusi PEMBINA Terengganu, Saudara Nasrul Muhaimin Bin Mohd Taib. Beliau telah mengupas beberapa potong ayat dari surah al-Baqarah (ayat 183-185) berkenaan ciri-ciri dan fungsi puasa dalam membina ketakwaan kepada Allah.
Juadah berbuka telah disediakan oleh ahli-ahli PEMBINA Kuala Terengganu sendiri. Majlis berbuka puasa dimulakan dengan bacaan doa oleh ustaz Ahmad Sobri. Program berakhir selepas solat sunat tarawih berjemaah.
PEMBINA Kuala Terengganu mengucapkan terima kasih kepada setiap ahli yang telah bersama-sama menjayakan program ini dan masih tidak terlambat untuk mengucapkan selamat menyambut Ramadhan yang mulia ini dengan penuh ketakwaan dalam proses mencari keredhaanNya.