Seminar Daurah Tausiah Di Ipoh

Pada 6 dan 7 Ogos 2010, PEMBINA Perak cawangan Perak Tengah telah mengadakan program Daurah Tausi’ah bertempat di Darul Furqan, Seri Iskandar. Program yang bermula pada malam Jumaat itu disertai oleh para peserta dari Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Institut Teknologi MARA Cawangan Seri Iskandar (UITM Seri iskandar). Seramai 30 peserta hadir dan memberikan komitmen yang tinggi di sepanjang program.

Pengisian pertama oleh Akh Fakhrurozi berkisar tentang bekalan yang perlu ada pada diri seorang daie dalam jalan dakwah. Al-akh menekankan pemahaman tentang tujuan hidup yang agung sebagai seorang manusia yang seharusnya difahami oleh semua muslim, apatah lagi para penyeru ke jalan Allah. Akh Fakhrurozi turut menjelaskan kepada para peserta tentang konsep pengorbanan dalam dakwah dan hakikatnya bahawa pengorbanan yang sedikit tidak akan mampu membawa Islam menuju kemenangan.

“Al-Akh perlu memahami bahawa sesungguhnya dakwah ini tidak akan terbangun dengan sedikit duit dari hasil pendapatan atau sedikit luka, akan tetapi dakwah ini terbangun dengan penat jerih, pengorbanan jiwa dan raga para mukhlis yang mengharapkan redha Allah”– Imam Syahid Hassan Al-Banna

(Salah seorang peserta menekuni mushafnya)

Keesokan harinya, pada Sabtu pagi, Ustaz Zamri Hashim selaku ketua biro dakwah Ikatan muslimin malaysia (ISMA) Perak menyampaikan taujihat dan tazkirah kepada para peserta program. Peserta perempuan turut hadir untuk mendengar slot pengisian oleh Ustaz Zamri. Pengisian Al-Ustaz berkisar tentang kemenangan individu dan kemenangan ummah setelah selesai 30 hari berpuasa dalam bulan Ramadhan. Kemenangan individu adalah sesuatu yang biasa berlaku setelah selesai Ramadhan yaitu kemenangan mengawal nafsu amarah, nafsu makan dan sebagainya. Namun, ummah tidak pernah menang sejak runtuhnya khilafah Islamiyyah yang terakhir. Tahun demi tahun, ummat Islam di Palestin, di Iraq, dan di seluruh dunia di tindas dan dizalimi. Ustaz Zamri menyeru para peserta program merealisasikan kemenangan ummah melalui amal dakwi, menyeru manusia seluruhnya kembali kepada jati diri islami yang sebenarnya.

(Ustaz Zamri Hashim menerima cenderamata daripada pengarah program, Akh Iman)

Setelah selesai pengisian Al-ustaz, para peserta dihidangkan dengan slot lakonan drama, bertujuan menguji kreativiti para peserta dan mengasah ketajaman fikiran peserta membumikan ‘fiqh keutamaan’ dalam diri masing-masing sepanjang kehidupan sebagai seorang mahasiswa yang bersama saf perjuangan.

Setelah selesai lakonan drama, tamatlah program Daurah Tausi’ah. Para peserta bersalaman dan berselawat, bersama bekalan tarbawi dan ukhuwwah yang manis dibawa pulang ke tempat masing-masing.

Moga Allah memenangkan Islam melalui tangan-tangan mereka.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top