Atau dalam bahasa Inggerisnya adalah “ Choice or Demand”. Ini lumrah sejak azali lagi dalam fitrah mahasiswa dan mahasiswi kala ini, keputusan dalam kehidupan mereka berlegar dalam dimensi pilihan atau tuntutan. Sungguh, hak untuk membuat pilihan dan hak untuk menuntut adalah kelebihan makhluk yang telah Allah swt bekalkan. Dalam dunia yang semakin hari menghakis survival Islam dan umatnya, ideologi sesat memakan satu persatu diri manusia maka setiap mahasiswa juga mempunyai hak untuk memilih dan menuntut dalam perkara ini. Mereka bebas “memilih” dalam keadaan hidupnya dipenuhi masa kuliah dan tutorial, mereka memilih untuk menyesakkan masa memikul tugas berat membangun ummat. Juga mereka boleh “memilih” untuk tidak langsung peduli, tidak langsung kisah dan endah. Menjalani kitaran hidup pendek seperti robot rosak berkerja menunggu masanya dipanggil Illahi.
Lebih parah! dalam mereka “memilih” untuk berkerja demi ummat, mereka memilih untuk “menuntut”. Menuntut wang, tenaga, belanja dan hak hidup daripada agama dan teman-temannya. Lalu, agama dan teman-temannya pula yang perlu memenuhi keinginan dan “tuntutan” dirinya. Sedangkan agama dan teman-temannya lebih memerlukan dan lebih layak menuntut. Kemanjaan, kelemahan, keseorangan, ketidak upayaan, kesibukan urusan hidup menjadi alasan mereka untuk lari daripada tugas. Lari meninggalkan agama dan teman-temannya lelah terkontang-kanting melawan musuh Islam besar dan gagah. Sedang mereka tidur menunggu seruan kerja yang memberi pulangan, kesenangan dan keseronokan. Raut wajah serta suara mereka sibuk membincangkan dakwah dan tugas berat sekali sekala tetapi lumrahnya mereka masih lagi menuggu tidak berbuat apa-apa.
KAMU PILIH! KAMU TUNTUT!
Usah kita bicara panjang merenung nasib kehidupan seorang mahasiswa samada ingin terlibat ataupun tidak dalam projek ummat ini. Usah biarkan orang-orangmu menunggu lagi. Kami tidak ingin mendengar kerisauan daripada kamu tetapi kami menagih jawapan. Wahai Ahli PEMBINA! Maka pilihlah:
- Saat ummat menuntut agar kejahilan dalam akal fikir mahasiswa dibaiki oleh kamu yang kaya tarbiyah. Kamu punya pilihan duduk sendiri tak endah dan buat-buat tak mengerti membiarkan mutiara-mutiara zikrullah yang kamu milik tidak dikongsi.
- Saat kuasa ummat menuntut dibela daripada dirobek dan dipecahkan oleh musuh-musuh Islam. Kamu punya pilihan untuk tidak mempersiapakan mahasiswa sebagai tentera membela nasib. Adakah cukup yang tersisa daripada usrah kamu adalah mereka yang menjadi baik sahaja? Kamu harus memahami bahawa misi Muhammad tidak semudah itu!
- Saat liberalisme dan sosialisme datang menuntut meracuni pemikiran setiap mahasiswa di universiti. Kamu punya pilihan tidak mempersiapkan diri dengan ilmu, hujah dan dalil. Kamu bisa bermalas-malasan. Kamu juga tidak menutut mengalami sendiri berdepan dengan puak-puak ini membela kedudukan agama Islam.
- Saat cobaan menuntut bukti keteguhan iman dan peribadi. Kamu punya pilihan untuk berhenti dan membina jalan keluar daripada projek ini. Mengucapkan salam dan melambaikan tangan kepada perjuangan teman dan agama kamu.
Ataupun…kamu boleh memilih yang berbeza.
- Saat ummat menuntut agar kejahilan dalam akal fikir mahasiswa dibaiki oleh kamu yang kaya tarbiyah. Kamu “tuntut dan pilih” meneraju arus memimpin tangan menarik mereka keluar daripada kejahilan. Kamu memenuhi ciri “khairu ummat” menyedarkan mereka.
- Saat kuasa ummat menuntut dibela daripada dirobek dan dipecahkan oleh musuh-musuh Islam. Kamu “tuntut dan pilih” meneraju arus menyatukan cebisan-cebisan kekuatan mahasiswa islam. Menyedarkan mereka bahawa semboyan musuh telah ditiup lama, gendang telah dipalu kuat. Boleh jadi, mereka juga terperangkap dalam dunia mereka sendiri. Tidak sedar.Kamulah yang menyedarkan mereka.
- Saat liberalisme dan sosialisme datang menuntut meracuni pemikiran setiap mahasiswa di universiti. Kamu “tuntut dan pilih” meneraju arus membaiki saf dan melaungkan perang ke atas mereka, iaitu taghut juga boneka yang ada. Kamu mengadakan ceramah, seminar, pengucapan ataupun apa-apa sahaja medium yang ada untuk mengejutkan mahasiswa islam kala ini. Kamu juga “tuntut dan pilih” untuk mempersiapkan senjata ilmu, hujah dan dalil dalam diri kamu supaya ia sentiasa boleh digunakan menentang ilmu, hujah dan dalil mereka.
- Saat cobaan menuntut bukti keteguhan iman dan peribadi. Kamu “tuntut dan pilih” meneraju arus kekal di jalan ini. Menapak ke hadapan dan ke atas meninggalkan individu-individu yang ragu-ragu dengan keimanan bahawa mahasiswa islam yang ditarbiyahlah yang selayaknya menjadi khalif di medan kampus mereka. Ia adalah hak kamu yang kamu wajib tuntut iaitu kamu adalah peneraju arus mahasiswa.
Musnahkan segala “jalan keluar” kamu daripada terus menguruskan projek “Meneraju Arus Mahasiswa” ini. Tumpukan sepenuh perhatian dan ikatlah janji kepada Allah, Rasulallah, Al-Quran, ummat Muhammad dan diri kamu sendiri bahawa tugas mengemban perjuangan ini adalah kamu yang akan teruskan.
Pemuda serta pemudi! Belia juga Beliawanis! Mahasiswa dan Mahasiswi! Kamu binalah perjuangan golongan muda kamu di atas titian sejarah golongan tua dan terdahulu. Pandanglah kehadapan dan sesekali jenguklah ke belakang. Takut-takut ada bekal yang tercicir. Persiapakan bekal di pundak mu dengan ilmu dan hujah serta keyakinan yang tidak berbelah-bahagi sehingga tiada satu arus pun baik liberalisme, sekularisme, sosialisme, hedonisme, humanisme dan isme-isme yang lain dapat menggoncangkan kamu walaupun sedikit.
Era ini adalah satu perlumbaan antara mahasiswa berideologi Islam dan tidak dalam mencari takhta sebagai nakhoda kapal arus mahasiswa. Kejayaan meneraju arus mahasiswa akan membawa kepada kesinambungan dakwah kampus 50 tahun akan datang, dan kegagalan akan membawa kepada terbantutnya agenda Islam di dalam kampus puluhan tahun pula. Akhirnya, ia masih terletak pada tangan kita untuk menentukannya.
Sekali lagi.
“PILIHAN ATAU TUNTUTAN”
“CHOICE OR DEMAND”
Oleh
Muhammad Aiman Bin Ahmad Faudzi
Jawatankuasa Kajian dan Informasi
Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)