Mahasiswa mesti memanfaatkan masa dengan baik semaksima mungkin

MELAKA, 16 Februari 2012 – Bertempat di Tanjung Bidara, Melaka Bandaraya Bersejarah, Saudara Azril Hanafi b Abdullah Sharwani, Timbalan Presiden PEMBINA telah dijemput sebagai panelis dalam program Minggu Orientasi Pelajar Tajaan MARA-MMU anjuran PEMBINA MMU Melaka untuk berkongsi tips dan pengalaman beliau sebagai mahasiswa.

Beliau mengingatkan para mahasiswa untuk turut terlibat aktif dalam aktiviti mahasiswa dan dalam masa yang sama berjaya dalam bidang pelajaran. Oleh itu, adalah penting bagi mahasiswa untuk bijak menyusun keutamaan hidup dan juga aktiviti seharian. Penyususan keutamaan hidup dan aktiviti seharian memerlukan kepada kemahiran menguruskan masa dengan baik. Pun begitu, mahasiswa mesti bijak menyeimbangkan antara pembelajaran di kampus, dan pembinaan sahsiah juga jasmani.

Pesan beliau lagi, sekiranya kita tidak sibukkan diri kita dengan perkara kebaikan, kita akan akan disibukkan dengan perkara sia-sia. Ini bertetapan dengan kata-kata Imam Hassan al-Banna bahawa masa bagaikan nyawa, harus  dihargai dan dijaga dengan baik. Rasulullah s.a.w juga ada bersabda,”Ada dua nikmat yang membuat ramai orang tertipu, iaitu waktu sihat dan waktu lapang” (Riwayat Bukhari, Tirmizi dan Ibnu Majah). Oleh itu, mahasiswa mesti memanfaatkan masa dengan baik semaksima mungkin.

Program ini dihadiri oleh 40 orang pelajar tajaan MARA yang juga merupakan bekas pelajar MRSM. Sebahagian daripada mereka akan meneruskan pembelajaran di MMU Kampus Cyberjaya dan Kampus Melaka.

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top