
Senawang, Negeri Sembilan, 19 April 2008: Jawatankuasa Pusat PEMBINA yang diwakili oleh Timbalan Presiden, Dr Ahmad Kamsani b. Samingan dan Setiausaha Agung, Saudara Jalil Husni b. Yahaya buat pertama kalinya telah mengadakan pertemuan ringkas dengan ahli dan penggerak belia PEMBINA Negeri Sembilan bertempat di Wisma D’Ark Senawang.
Pada pertemuan ini seramai lebih 40 orang ahli dan penggerak belia dan beliawanis Negeri Sembilan telah hadir. Antara lain pertemuan ini adalah bertujuan untuk memberikan penerangan dengan lebih jelas mengenai PEMBINA dan matlamat penubuhannya. Di samping itu ia juga bertujuan untuk mendapatkan maklumbalas mengenai perkembangan terkini kegiatan belia yang telah dan akan dilaksanakan oleh PEMBINA Negeri Sembilan.
Dalam pertemuan ini, Pengerusi PEMBINA Negeri Sembilan, Saudara Zakri b. Md Zin memaklumkan bahawa bagi memantapkan lagi perjalanan aktiviti belia negeri, Negeri Sembilan dipecahkan mengikut 3 zon utama iaitu Seremban yang juga merangkumi Nilai, selain Port Dickson dan Kuala Pilah. Pelbagai aktiviti telah disusun sejak awal tahun 2008 bagi menarik minat para belia untuk terlibat aktif dalam aktiviti PEMBINA selaras dengan lunas-lunas syariat selain melatih mereka dalam bidang-bidang kepemimpinan dan dakwah. Antara aktiviti yang dirancang pada tahun 2008 ini ialah kelas-kelas bimbingan mingguan, riadah mingguan, seminar-seminar belia, perkhemahan tahunan dan banyak lagi.