Mari Bekerja

Fenomena Hari Pekerja

Baru tidak sampai seminggu hari Pekerja atau ‘May Day’ disambut di seluruh dunia. Hampir semua pekerja menarik nafas lega kerana 1 Mei merupakan cuti umum. cuti bermakna tidak bekerja, rehat. Namun tidak semua orang meraikan hari pekerja dengan menarik nafas lega. Rata-rata di seluruh dunia terutamanya di negara-negara dunia ketiga fenomena harga barang yang melambung dan tidak stabil seumpama meragut kerehatan dan erti hari pekerja. itu belum lagi apabila bercerita mengenai peperangan dan penindasan yang tidak akan henti di sesetengah Negara di dunia, terutamanya di dunia umat Islam. Alangkah menyayat hati..

Umat Islam: Umat yang bekerja

bila disebut perkataan kerja, boleh diteka apa yang menerpa ke fikiran.. Pejabat, baju kemas dan tali leher, kepenatan, dan barangkali apa sahaja yang berkaitan. Malah, kalau kita diminta memberi contoh pekerjaan, boleh jadi jawapan-jawapan yang sinonim ialah doktor, jurutera, kerani, guru, pegawai, pekerja am dan sebagainya. Semua jawapan kepada dua persoalan tadi adalah tepat, bahkan diketahui oleh segenap lapisan masyarakat, hatta seorang kanak-kanak. Islam sememangya menggalakkan umatnya untuk bekerja, bahkan Rasulullah S.A.W sendiri merupakan seorang pengembala kambing pada usia mudanya dan seorang peniaga di zaman belianya. Coretan sirah nabawiyah pula menceritakan kisah beberapa sahabat yang sangat pintar dalam urusan perniagaan dan perdagangan, sehingga mampu memperoleh pulangan yang luar biasa lumayannya. Telitilah kisah Abdurrahman bin Auf dan Uthman bin Affan R.A…

Itu Sahaja..??

Pelik. Tidak mungkin Islam hanya melihat pekerjaan dari aspek duniawi semata-mata! kalau begitulah ukurannya, apakah kedudukan orang yang tidak mampu bekerja, disebabkan kecacatan umpamanya? atau yang masih belum layak untuk bekerja, kerana belum ada kelulusan secukupnya? apa pula perbezaan kita dengan orang bukan Islam jika pekerjaan hanya ditafsir dari sudut material dan kebendaan? Apakah mereka lebih baik kerana kebolehan mereka untuk menguasai ekonomi dan bidang-bidang pekerjaan yang lain?

Nah, inilah uniknya Islam. Yang utamanya pekerjaan dengan mudahnya boleh diiktiraf sebagai ibadah. Asalkan ada niat yang betul dan kerjanya menepati syara’. Soal banyak atau sedikit gaji tidak menjadi penentu keredhaan di sisi Allah Taa’la. Soal jawatan juga tidak masuk kira. Yang lebih penting, pekerjaan sama sekali tidak terbatas kepada amal 8pagi sehingga 5petang, bahkan ada pekerjaan yang lebih utama dan besar di sisi Allah S.W.T; Kerja yang menjadi rebutan para sahabat dan orang soleh, serta menjadi pekerjaan utama mereka. bahkan pekerjaan ini diutamakan apabila bertembung dengan kepentingan pekerjaan duniawi. Bunyinya seperti hebat. Pekerjaan apa itu..? siapa pula yang layak memohonnya? perlukah kelulusan dari universiti terkemuka atau ijazah yang berbilang sebelum layak menceburkan diri dengan pekerjaan tersebut…?

Da’wah: Kerja Tanpa Hari Cuti

YA, inilah pekerjaan yang mulia itu. Bahkan pekerjaan inilah yang menyebabkan para sahabat yang kaya tidak terpengaruh dan terpesona dengan kekayaan mereka. Bahkan pekerjaan inilah yang memandu mereka untuk menggunakan hasil titik peluh perniagaan mereka ke jalan yang diredhai oleh Pencipta.

  • Pekerjaan inilah yang mendorong Abdurrahman bin Auf menyedekahkan harta yang tidak terkira banyaknya untuk Islam. Dua ratus uqiyah pada perangan Tabuk sahaja.

  • Pekerjaani inilah yang membawa Mush’ab bin Umair yang asalnya terkenal sebagai seorang yang berada dan mewah untuk meninggalkan kemewahannya, menerima tugas berhijrah ke Madinah serta menyampaikan Islam di sana, sehingga rumah-rumah di Madinah disinari cahaya Islam.

  • Pekerjaan inilah yang mendorong Uthman bin ‘Affan menginfaqkan sejumlah sembilan ratus unta dan seratus ekor kuda, tidak termasuk wang ringgit dalam sebuah peperangan, serta mengeluarkan perbelanjaan untuk menggali telaga Raumah, yang dijanjikan syurga bagi sesiapa yang menggalinya

  • Pekerjaan inilah yang melakar peribadi Abu Bakar yang membawa semua harta bendanya kepada Rasulullah S.A.W pada Tabuk hingga apabila ditanya apakah yang ditinggalkan untuk keluarganya, jawapannya ringkas; Hanya Allah dan Rasulnya. . .

Siapakah lagi yang boleh diharapkan untuk memikul dan melaksanakan pekerjaan ini selain kita? Sampai bila pulakah kita harus menunggu sehingga kita merasa layak dan tergerak untuk mendaftarkan diri dengan pekerjaan ini? Lihatlah keadaan masyarakat sekeliling. Tanyalah persoalan ini berulang kali. . .

Mari Bekerja

Ayuhlah menyedari erti sebenar pekerjaan dan bekerja. Memikul tanggungjawab da’wah seharusnya menjadi tugas semua, terutamanya golongan belia. Kita mungkin boleh bergembira dengan cuti satu hari pada Hari Pekerja, tapi masyarakat akan meratapi cuti kita yang sudah beribu-ribu hari daripada kerja mengislah dan membimbing masyarakat ke arah jalan yang benar. . Bangkitlah!

“ Dan siapakah yang lebih baik perkataanya daripada orang yang mengajak kepada Allah Ta’ala dan berkata sesungguhnya aku dikalangan orang-orang yang menyerah diri. . ” (QS:41:33)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top