Kursus Kepimpinan dan Komunikasi

Alhamdulillah, pada Ahad, 27 Januari 2008 yang lalu, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) telah menganjurkan “Kursus Kepimpinan & Komunikasi” untuk para pelajar dari kolej-kolej and institusi pengajian tinggi (IPT) sekitar daerah Hulu Langat. Kursus ini telah diadakan di Institut Latihan Islam Malaysia, ILIM, Bandar Baru Bangi dan berlangsung dari pukul 8.00 pagi sehingga 6.45 petang. Lebih kurang 50 orang peserta lelaki dan perempuan, yang mewakili 11 IPT dari sekitar Hulu Langat, telah menyertai kursus ini.
Kursus telah dimulakan dengan ucapan alu-aluan dari pengarah program, saudara Aizuddin Khalid yang menimbulkan kesedaran tentang betapa orang ramai tidak lagi mementingkan kesejahteraan masyarakat melainkan sekadar memikirkan diri sendiri. Ini terbukti dengan melihat survey bahawa cita-cita masyarakat tidak lagi berkisar tentang pencapaian kemajuan umat tetapi hanya tertumpu kepada kesenangan hidup individu semata-mata. Sedangkan umat Islam hari ini berada dalam kepincangan iman dan aqidah serta memanggil-manggil untuk dipimpin dan diselamatkan.
Ust Mejar Nadzri Munsman seterusnya dalam slot pertama menerangkan kewajipan kita memimpin dan menyeru masyarakat untuk kembali kepada Islam. Mejar menekankan dalil-dalil dari Al-Quran dan Hadith yang mewajibkan ummat Islam menegakkan yang ma’ruf dan mencegah kemungkaran. Ini bukan sekadar penting untuk mengimbangkan alam yang semakin berat dengan kemungkaran, tetapi untuk menyelamatkan diri dari azab Allah di akhirat kelak.

” Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih? 11. (yaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu Mengetahui.” (61:10-11)

Mejar Nadzri turut menekankan kepentingan tarbiyyah Islam dalam membina individu-individu yang teguh berdakwah di jalan Allah dengan hujah, ilmu dan keimanan. Mejar Nadzri turut menyelitkan perumpamaan-perumpaan praktikal supaya konsep yang disampaikannya mudah digarap oleh para peserta. Akhirnya, semua peserta bersetuju bahawa menyeru kepada Allah merupakan kewajipan semua bagi memelihara eksistensi Islam di muka bumi.

Slot kedua diberi tajuk “Bagaimana Menyentuh Hati” yang dibentangkan oleh Saudara Mohd Noor Azib b. Asmangi. Dalam pembentangan beliau yang banyak merujuk buku motivasi karangan Abbas As-Sisii, beliau membentangkan teknik-teknik dan contoh-contoh pelaksanaan bagaimana cara untuk mengajak seseorang untuk bersama dalam amal-amal Islam. Beliau juga menerangkan bekalan-bekalan dan akhlak-akhlak mulia yang perlu ada pada seorang da’i yang ingin menyeru kepada Allah.

Selepas makan tengahhari, para peserta dipersembahkan dengan slot wawancara bersama saudara Mohd Khoushaini b Mohd Naim dari Melaka, yang merupakan seorang jurutera mekanikal di Petronas Penapisan Melaka Sdn Bhd, dan mempunyai rekod kepimpinan dan akademik yang mengkagumkan. Beliau kini juga bertindak sebagai Naib Presiden Australasian Tertiary Institutions Alumni
Islamic Society (AUSIS). Wawancara telah dikendalikan oleh Saudara Muadz bin Mohammed Zain dari PEMBINA Hulu Langat. Saudara Khoushaini telah berkongsi pengalamannya sewaktu menuntut di Australia, pengalamannya bermula dalam arena dakwah dan tarbiyyah dan pengalamannya dalam medan dakwah kampus di Melaka. Para peserta telah mengambil kesempatan untuk bertanya banyak soalan kepada tetamu ini, namun, masa tidak mencukupi sehingga soalan-soalan terpaksa dihadkan.

Program seterusnya berjalan dengan sesi bengkel dimana para peserta berbincang dalam kumpulan bersama fasilitator mengenai beberapa soalan dan ‘case study’ yang telah disediakan pihak penganjur. Para peserta juga berbincang mengenai bagaimana mengaplikasi teori-teori dan konsep-konsep yang telah dibentangkan sepanjang kursus di peringkat IPT masing-masing.

“Kursus Kepimpinan & Komunikasi” PEMBINA ditutup dengan sedikit pengenalan ringkas mengenai PEMBINA oleh Dr. Ahmad Kamsani Samingan yang merupakan Naib Presiden PEMBINA.

Di harapkan kursus ini telah berjaya mencapai matlamatnya bagi melahirkan insan-insan yang celik mengenai kewajipannya memimpin dan menyeru ummat kepada Islam serta mampu mengaplikasikan konsep-konsep dakwah di medan IPT masing-masing.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top