Kontinjen Melaka Ungguli Persada Nasional

UKM, Bangi – 19 Nov 2009: Sekitar jam 9 pagi, kira-kira 600 orang peserta Karnival Sukan Belia Islam Nasional (KASBI) 09 sudahpun berbaris segak di hadapan Astaka Universiti Kebangsaan Malaysia untuk acara perasmian. Tidak ketinggalan kontinjen Melaka  seramai lebih kurang 60 orang yang hadir menaiki bas dan beberapa buah kereta  usai solat subuh di Masjid MMU. Kontinjen Melaka mempertaruhkan 3 pasukan bolasepak dan 1 pasukan bola keranjang untuk belia manakala bagi beliawanis, terdapat tiga acara dipertandingkan dan kontinjen Melaka menyertai ketiga-tiga acara tersebut iaitu Bola Jaring, Bola Keranjang dan Bola Tampar.

KASBI-09-16

KASBI 2009 yang dianjurkan oleh PEMBINA dengan kerjasama ISMA ini bertitik tolak dari kesedaran bahawa Islam bukan sahaja satu agama yang merangkumi aspek peribadatan semata tetapi satu cara hidup yang menyediakan peraturan dan panduan dalam segala aspek kehidupan manusia termasuk kerohanian, ekonomi, politik, sosial, kesenian, ketenteraan dan tidak terkecuali, sukan. Ini kerana Islam sebagai agama yang syumul, senantiasa mengambil berat tentang hal ehwal umatnya disamping menjaga hubungannya dengan Pencipta Yang Maha Agung. Walau bagaimanapun, Islam turut menetapkan beberapa syarat dan peraturan yang perlu digunapakai sebagai rujukan dalam menjana setiap gerak-geri umatnya bertujuan agar tidak terpesong daripada ajaran Islam yang hakiki.

Usai acara perasmian, kontinjen wanita bergerak ke GMI untuk melangsungkan acara yang dipertandingkan berasingan dengan golongan lelaki. Ini kerana penglibatan kaum wanita di dalam sukan turut dibatasi dengan tata cara dan tertib yang telah digarispanduankan oleh Islam bertujuan sebagai suatu penetapan bagi mencipta garis keseimbangan di antara hal wanita Islam di dalam sukan dan kepentingan dalam memelihara maruah dan kedudukannya sebagai seorang Muslim.

Di padang utama, kontinjen Melaka mencuri perhatian lawan dengan ketiga-tiga pasukan bola menunjukkan aksi kemas dan mempersonakan. Kemenangan demi kemenangan diraih menjadikan kontinjen Melaka antara lawan yang digeruni. Gol demi gol tanpa bolos tidak langsung menggambarkan persediaan kurang rapi kontinjen belia Melaka.

Di padang GMI yang menempatkan peserta wanita, acara dimulakan serentak di mana para peserta memanaskan badan terlebih dahulu. Seterusnya wakil kontinjen dipanggil untuk mencabut undi bagi setiap acara yang dipertandingkan. Bagi acara Bola Jaring, ia disertai oleh 10 pasukan di dalam 3 kumpulan yang berlainan. Terdapat 6 perlawanan di pusingan 1 dan 5 perlawanan di pusingan kedua, seterusnya peringkat separuh Akhir dan Akhir. Kontinjen Melaka terus mengharungi satu persatu perlawanan dengan tenang berbekalkan latihan intensif yang dijalankan selama seminggu dan satu persatu kemenangan terhasil sehinggalah memasuki peringkat akhir.

Akhirnya dengan semangat yang tidak pernah mengalah dan kemahuan yang cukup kuat, mereka berjaya di perlawanan akhir menentang DHL A, 13 gol berbalas 7. Tentunya ia terhasil dari perserta yang  berdisiplin, bersungguh dan sanggup bersusah sejak awal. Diumpamakan kesusahan dan kesulitan adalah laksana musim dingin, basah dan lembab, tidak disukai insan. tetapi sesudah musim sejuk itulah tumbuh bunga-bunga yang harum dan buah-buahan yang subur.

Bagi acara bola tampar, cuma 4 pasukan yang mengambil bahagian dan setelah mengharungi 3 perlawanan tanpa kalah, peserta Melaka turut dinobatkan sebagai juara walupun hanya berlatih selama hampir 2 jam sahaja. Berbeza dengan peserta bagi acara bola keranjang secara ‘impromtu’. Mereka tidak melakukan apa-apa persediaan baik fizikal mahupun mental, namun berkat keikhlasan dan kesungguhan yang dipamerkan, mereka berjaya memperolehi tempat kedua dan pasukan dari Johor dinobatkan sebagai Johan Bola Keranjang Wanita. Syabas kepada pasukan Melaka atas keputusan yang tidak terduga walaupun datang awalnya hanya untuk memeriahkan KASBI 2009, tetapi nampaknya pengiktirafan dan ganjaran datang kepada mereka yang menunjukkan kualiti yang baik dalam usahanya. Syabas juga kepada kesemua para peserta yang menunjukkan komitmen dan kesungguhan yang begitu tinggi sejak awal hingga wisel penamat walaupun terpaksa bermain dalam hujan yang rintik dan lebat sekali sekala.

Akhirnya, acara penutup KASBI 2009 bagi acara wanita dijalankan kira-kira pukul 4 petang setelah tamat semua acara yang dipertandingkan.

Berbalik ke padang belia, pasukan bawah 20 tahun dinafikan hak ke peringkat seterusnya setelah mana penganjur kesuntukan masa. Walaupun mengharungi pertarungan peringkat kumpulan tanpa kalah, pasukan bawah 20 tahun terpaksa akur dengan keputusan penganjur. Pasukan PEMBINA Melaka pula mempamerkan aksi juang yang hebat sebelum akur dengan kehebatan lawan yang kelihatan kaya dengan pengalaman. Namun begitu, satu lagi pasukan dari Melaka, KUIM FC, meneruskan aksi bergaya ke perlawanan akhir.

 

Dengan sedikit nasihat “abang kembarnya” yang tewas kepada lawan yang sama, KUIM FC bermula garang dengan menjaringkan gol awal. Bagai buku bertemu ruas. KUIM FC dipaksa berkubu sehingga wisel penamat sebelum dinobatkan JOHAN Acara Bolasepak Terbuka KASBI 09. Tahniah diucapkan.

Moga di tahun-tahun mendatang Melaka akan terus gigih melakukan persiapan awal dan komited menjalani latihan secara konsisten kerana Islam menganjurkan umatnya agar beriadhah  dalam mencari keseimbangan antara sukan dan kesihatan. Aktif dalam sukan sama pentingnya dalam menghasilkan produktiviti kerja kerana manfaat sukan yang ternyata melahirkan individu yang cekap dan pantas bertindak serta berfikiran kreatif. Yang penting terus berusaha dan tidak ada usaha yang gagal, kegagalan adalah usaha untuk mencapai kemenangan.

 

Dilaporkan oleh,
Urusetia Kontinjen Melaka,
KASBI 2009

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top