Pembaca yang dirahmati Allah,
Kisah kemuliaan Ummu Sulaim diteruskan lagi apabila beliau sekali lagi diuji keimanannya. Setelah Anas Ibn Malik dewasa, Abu Tholhah yang masih kufur pada ketika itu telah melamar Ummu Sulaim. Namun Ummu Sulaim menjelaskan “Wahai Abu Tholhah, pinangan lelaki sepertimu pasti tidak akan ditolak. Tetapi, aku sama sekali tidak akan mengahwini seorang lelaki kafir.” Mendengar jawapan darpada Ummu Sulaim, Abu Tholhah menyangka pinangannya ditolak sebab Ummu Sulaim telah terrpikat dengan lelaki yang lebih kaya dan berharta melebihi dirinya. Pada ketika itu, Ummu Sulaim dengan kebijaksanaannya telah mengajak Abu Tholhah berfikir tentang agama nenek moyang yang masih dianuti berbanding dengan agama Islam yang mulia. Ummu Sulaim berkata :
“Wahai Tholhah, tidakkah engkau ketahui kalau tuhan-tuhan kamu itu ialah hasil ukiran dan tempahan seseorang, dan apabila kamu menyalakan api di sekitarnya, nescaya tuhan-tuhan tersebut akan hangus terbakar. Apakah tuhan-tuhan tersebut akan memberi faedah?.“
Setiap kali Abu Tholhah menanyakan jawapan daripadanya, Ummu Sulaim akan mengulangi jawapannnya. Akhirnya pada suatu hari Abu Tholhah mendapat petunjuk daripada Allah s.w.t untuk memeluk Islam. Abu Tholhah berkata:
“ Semua apa yang engkau telah ucapkan kepadaku telah meninggalkan kesan yang mendalam dalam jiwaku”.
Ummu Sulaim berkata, “Aku terima lamaranmu, dan aku tidak meminta mahar melainkan keislamanmu”. Abu Tholhah telah memeluk Islam dan Ummu Sulaim telah seorang wanita yang meletakkan keimanannya kepada Allah melebihi keinginannya kepada harta dan kebendaan serta kesenangan hidupnya di dunia. Dengan keislaman Abu Tholhah, bertambahlah kekuatan umat Islam. Abu Tholhah telah memperuntukkan segala kemampuannya untuk berkhidmat kepada Islam.
Pembaca yang dirahmati Allah,
Wanita yang hebat ini bukannya sengaja dimuliakan. Sememangnya beliau wajar dicontohi oleh semua wanita sama adabergelar isteri, ibu atau pejuang masyarakat. Sebagai seorang isteri yang beriman kepada Allah s.w.t, Ummu Sulaim menjalankan peranannya sebagai seorang isteri yang sentiasa membahagiakan suaminya. Peristiwa kematian anaknya Abu Umair telah memberi tamparan yang hebat kepada wanita yang penyabar dan bertawakkal ini.
Anas Ibnu Malik bercerita, “Aku mempunyai saudara lelaki. Rasulullah s.a.w memberi nama kepadanya Abu Umair”. Pada suatu hari, Abu Umair jatuh sakit dan menemui ajal sedangkan Abu Tholhah tiada di rumah. Sekembali Abu Tholhah, Ummu Sulaim tidak memberitahu terus berita kematian anaknya, sebaliknya melayan makan, minum dan keperluan suaminya dengan sempurna.
Setelah itu, barulah Ummu Sulaim dengan kebijaksanaannya berkata kepada suaminya, “Apakah pendapatmu apabila sebuah keluarga diberikan suatu pinjaman, kemudian mereka menikmati pinjaman tersebut, dan apabila mereka diminta mengembalikan pinjaman tersebut mereka keberatan?” Abu Tholhah berkata “Keluarga tersebut telah berlaku curang dan tidak adil”. Kemudian barulah Ummu Sulaim memberitahu berita yang menyedihkan itu kepada suaminya. Begitulah hebatnya keperibadian seorang isteri solehah yang menjadikan iman kepada Allah sebagai pegangan hidupnya dalam melayari rumahtangga muslim. Kesabaran Ummu Sulaim tiada tolok bandingnya. Tidak hairanlah beliau mampu melahirkan dan mendidik anak yang soleh seperti Anas Ibn Malik.
Pembaca yang dirahmati Allah,
Dalam perjalanan hidup Ummu Sulaim kita akan bertemu banyak perkara yang menakjubkan dan menggetarkan hati yang kadangkala jarang dilakukan oleh kaum lelaki sendiri. Rasulullah telah memuliakan Ummu Sulaim dengan membenarkannya dan beberapa kaum wanita Ansar yang lain menyertai medan jihad. Mereka bertugas untuk memberi minum dan mengubati para pejuang yang terluka. Ketika perang Hunain, Ummu Sulaim telah menyisip sebilah pisau belati di pinggangnya sebagai persediaan melawan musuh sedangkan pada ketika itu beliau sedang mengandungkan anaknya Abdullah Ibn Abu Tholhah. Inilah kehebatan seorang wanita yang mulia disebabkan keimanannya kepada Allah. Tidak ada satu pun pintu kebaikan kecuali Ummu Sulaim telah berbuat baik di dalamnya.
Saudara yang dirahmati Allah,
Begitulah kehebatan seorang wanita yang dimuliakan Allah atas keyakinan dan keimanannya kepada Allah s.w.t . Ummu Sulaim telah mendapat khabar gembira daripada Rasulullah. Rasulullah bersabda “Aku telah masuk syurga dan aku mendengar suara langkah seseorang. Akupun bertanya suara langkah siapakah ini?” Mereka menjawab ini ialah suara langkah Rumaiso binti Milhan ummu Anas Ibn Malik. Ummu Sulaim sebenarnya tokoh wanita yang wajar kita contohi dalam perjalanan hidup kita supaya dapat mencapai keredaan Allah s.w.t. Tiada nikmat yang lebih agung selain mendapat reda Allah.