Syabas Untuk Belia!

Berlalu sudah KASBI Nasional 2009 yang julung-julung kali diadakan oleh PEMBINA. Berlangsungnya karnival yang mengumpulkan seramai hampir 800 orang, lelaki dan perempuan, daripada seluruh negara telah mengajar saya banyak perkara.

Pengalaman saya menganjurkan seminar atau program yang lebih bersifatkan ceramah dan talk, agak kurang mendapat sambutan belia-belia. Namun, penyertaan KASBI09 yang pada mulanya agak perlahan, tetapi bertambah pada saat-saat akhir sehinggakan pihak penganjur terpaksa menolak beberapa penyertaan. Gambaran yang saya dapat adalah belia-belia generasi kini lebih menginginkan program-program yang lebih berbentuk fizikal, melibatkan mereka secara aktif dan lebih bersifat santai – berbanding ‘duduk-duduk sahaja’. Mungkinkah sikap ini terhasil daripada suasana sekeliling yang lebih menggalakkan aktiviti-aktiviti yang lebih tinggi tahap keseronokannya berbanding program-program yang lebih serius dan monotone?

Bukanlah ingin saya katakan bahawa semua program kita mestilah bersifat “asyik-masyuk” sahaja, tetapi program-program sebegini penting untuk, paling kurang, menjadi pintu utama berinteraksi dan memecahkan ais (ice-breaking) dengan generasi belia. Mungkin di lain kesempatan kita boleh adakan karnival kesenian islam, operasi khidmat masyarakat dan sebagainya yang menjadikan belia-belia ini sebagai penggerak utama dalam aktiviti-aktiviti tersebut. Dari situlah kita boleh teruskan kepada program-program yang lebih serius dan banyak ‘duduk-duduk’ yang lebih bersifat ‘membentuk’ pemikiran dan kefahaman seperti seminar dan konvensyen.

Saya juga dapati, secara umumnya belia-belia kita adalah orang-orang yang berdisiplin; berbeza dengan pandangan negatif yang biasa dilontarkan masyarakat. Penganjur meminta peserta tiba seawal jam 7.30 pagi untuk pendaftaran, dan rata-rata peserta datang pada masa yang ditentukan. Malah ada yang datang lebih awal daripada itu. Sebenarnya ini membuktikan belia-belia kita mempunyai potensi yang hebat asalkan setiap daripada mereka mempunyai satu matlamat yang jelas dan keinginan yang kuat untuk mencapainya; dalam konteks ini, piala-piala dan gelaran sebagai juara. Kerana ini, saya ucapkan: SYABAS UNTUK BELIA!

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top