Mantan Naib Presiden 2 PEMBINA Terpilih Sebagai Tenaga Pengajar Rancangan Solehah

PEMBINA mengucapkan tahniah kepada mantan Naib Presiden 2 PEMBINA, Ustazah Suriani Sudi dan Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustazah Norsalehah Mohd Saleh kerana telah terpilih untuk menjadi tenaga pengajar kepada calon-calon rancangan realiti TV Al-Hijrah, iaitu Solehah.

Ustazah Suriani mempunyai kelulusan Sarjana Muda Usuludin Pengkhususan Hadith dan berkelulusan Sarjana di bidang yang sama. Kini beliau bertugas sebagai Pensyarah di Jabatan Al-Quran & Sunnah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor. Di dalam rancangan Solehah, beliau akan menjadi tenaga pengajar bagi subjek Hadith, Tafsir dan Tahsin al-Quran.

Ustazah Norsalehah pula merupakan Pensyarah di Jabatan Usuluddin Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor. Beliau mempunyai latar belakang pendidikan dalam Sarjana Muda Aqidah dan Falsafah, Sarjana Usuluddin dan Falsafah dan sekarang sedang melanjutkan pelajaran di peringkat PhD Pendidikan Islam & Psikologi, UKM. Dalam rancangan Solehah tersebut, beliau akan menjadi tenaga pengajar bagi subjek Akhlak dan Dakwah.

Di dalam rancangan Solehah, para peserta akan dikuarantin selama lebih kurang 13 episod untuk melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan tentang Islam bagi membolehkan mereka “graduate” sebagai pendakwah. Rancangan ini bukanlah seperti rancangan realiti TV yang menyingkirkan para peserta tetapi lebih berbentuk rancangan pendidikan dan praktikal.

PEMBINA amat yakin penerbit rancangan tersebut telah membuat pilihan yang tepat dengan perlantikan kedua-dua tokoh wanita ini. PEMBINA juga amat yakin bahawa kedua-dua tokoh ini cukup berkaliber bagi memastikan program ini berjalan dia atas landasan syariah dan melahirkan tokoh-tokoh belia Muslimah yang berakhlak, berilmu, dan berperanan di dalam masyarakat.

 

Nor Hasni Hayati Hanapi
Naib Presiden 2
PEMBINA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top